• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Haji, sebuah perjalanan menuju Allah

Byadmin

Nov 10, 2009

“Ustaz, jemput datang rumah esok ya. Nak buat kenduri doa selamat, nak pegi haji tak lama lagi…” Gitulah lebih kurang jemputan-jemputan yang datang. Alhamdulillah, seronoklah mereka yang sudah terpilih daripada jutaan manusia di atas dunia ini untuk datang bertamu ke rumah Allah. Datang membawa hati dan diri yang hina untuk mendapatkan ampunan dan kasih-sayang Allah. Mudah-mudahan, mereka semua beroleh haji yang mabrur dan kelak pulang ke tanah air dengan iman yang subur. Meninggalkan segala kelakuan yang tidak baik diganti dengan akhlak yang molek…amin.

Saya pernah terdengar celoteh sahabat baik saya Ustaz Ghazali Ibrahim, pengarang Kembara Hati di Tanah Suci, beliau memetik kata-kata Saiyidina Ali k.wj, bahawa manusia ini semasa pergi ke Mekah (atau umumnya semasa melakukan ibadah), dibahagikan kepada tiga kelompok:

1. Manusia bisnesman. Mereka menjadikan haji sebagai jalan mencipta keuntungan duniawi, misalnya semasa berdoa di Raudhah, Hijr Ismail atau di mana-mana tempat yang makbul doa, mereka memohon supaya selepas ini perniagaan mereka maju atau mereka dimudahkan mendapat projek atau paling kurang dimurahkan rezeki dalam pekerjaan.

2. Manusia yang buat amal sebab takut, yalah…takut nanti ditimpa dosa dan bala, akhirnya di akhirat dimasukkan ke dalam neraka. Maka, golongan ini buat amal ibadah sebab takut diazab.

3. Manusia yang berbuat ibadah totally kerana Allah SWT, hatinya meletakkan benar-benar kerana Allah. Jika tidak ditawarkan pahala pun dia beribadah dan jika tidak diancam dengan dosa pun dia beribadah juga. Inilah yang paling hebat.

So, di manakah kita dan bagi orang yang mengerjakan haji, di manakah niat mereka? Walau bagaimanapun, apa sahaja niat mereka, di sisi Allah SWT amalan itu masih diterima. Ini kerana, jika kerana nakkan keberuntungan, atau takut diazab dan jika semata-mata kerana mendambakan keredaan Allah SWT, hakikatnya mereka melakukannya memang kerana Allah juga. Dosa atau pahala, Allah SWT juga yang menjanjikannya.

Selamat menunaikan ibadah haji kepada semua muslimin dan muslimat. Doakan agar saya sekeluarga juga dapat ke sana nanti…hajat di hati tahun hadapan atau dua tahun lagi…insya-Allah…amin!

Related Post

Leave a Reply