• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Halal, Haram dan Syubhah

Byadmin

Jul 23, 2009

Sewaktu menyampaikan kuliah Zakat Saham dan Pelaburan kepada para peserta kursus Pelaburan Islam di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), saya pernah berhadapan dengan isu pelaburan yang bercampur-baur, antara halal dan haram. Saya menegaskan bahawa, mengikut amalan di Selangor, jika sesuatu pelaburan itu bercampur dengan yang haram maka kahalammi mengambil jalan selamat, dengan meninggalkannya. Jika harta itu mahu dizakatkan, maka kami di Lembaga Zakat Selangor hanya akan mengenakan zakat ke atas nilai pokok pelaburan. Segala perkembangan daripada pokok, misalnya dividen dan bonus akan kami asingkan dan tolak ke tepi.

Isu ini menjadi polemik yang berpanjangan, justeru di Malaysia ini ada dua pandangan mengenainya. Satu pihak berpegang bahawa pelaburan yang bercampur halal dan haram akan menjadi haram atau paling kurang syubhah; manakala satu pihak lagi berpandangan jika percampuran itu berlaku; namun yang halal mengatasi yang haram, maka hukumnya adalah halal atau harus. Maka, inilah yang sering diperdebatkan.

Namun begitu, saya bukan bermaksud mahu mempertikaikan mana-mana pandangan. Saya hanya mahu berkongsi isu ini agar kita sama-sama berfikir. Nanti tak fasal-fasal pihak-pihak yang berautoriti dalam mengeluarkan fatwa akan memarahi saya. Hmmm…menyebut isu fatwa, anda fikir…di Malaysia ini, agak-agak banyak atau tidak fatwa yang tidak dipatuhi? Anda jawablah sendiri.

Baiklah, kita mungkin pernah terjumpa sebuah hadis mengenai isu halal dan haram ini. Ada sebuah hadis yang sering dijadikan pedoman dalam membicarakan halal, haram dan syubhah, iaitu:

“Sesungguhnya yang halal itu telah nyata, dan haram juga telah nyata, dan di antara keduanya perkara-perkara yang masih diragukan, yang kebanyakan orang ramai tiada mengetahui. Orang-orang yang memelihara diri dari perkara-perkara yang syubhat itu samalah seperti orang yang telah melindungi agamanya dan kehormatannya. Orang yang tergelincir ke dalam perkara-perkara yang syubhat itu akan tergelincir pula ke dalam perkara yang haram, laksana seorang pengembala yang sedang menggembala di sekitar tempat larangan, akhirnya ia lalai memasuki tempat larangan itu,” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini jelas dan terang sekali. Maka, tidak hairanlah sehingga ke saat ini, masih banyak wujud pertikaian dalam sesuatu isu, khususnya menyentuh aspek pelaburan dan saham yang bercampur. Memanglah, manusia selalu kalah apabila dihadapkan dengan harta kekayaan. Siapa yang tak teringin jika dividennya banyak…maka tak peliklah ramai yang memejam mata dan menyandarkan tindakan mereka kepada pihak yang mengeluarkan fatwa. Ya…tak apa, sebagai orang awam, saya beranggapan taklid itu valid. Mereka yang memutuskan hukum itulah yang akan menjelaskannya di hadapan Allah akan segala pertimbangan yang telah mereka lakukan di dunia ini.

Kenapa Selangor menolak ASN dan ASB? Isu ini menarik kerana Selangor dan Kuala Lumpur hakikatnya sama namun berbeza. Seperti yang saya jelaskan, pihak berautoriti agama di negeri-negeri ini memberikan respons yang berbeza terhadap status pelaburan ASN dan ASB. Selangor misalnya, masih mempertikaikan pelaburan PNB ke dalam beberapa sektor yang mereka anggap HARAM. Namakan sahaja…misalnya dalam sektor perbankan konvensional yang melibatkan riba. Maka, jelas haramnya.

Namun, Wilayah Persekutuan seperti yang difatwakan, mereka menerima pelaburan itu atas illah (alasan), yang halal lebih banyak daripada yang haram. Saya tidak membaca kronologi fatwa yang mereka keluarkan; namun saya terjumpa satu perbincangan di dalam kitab Ihya’ Ulumiddin karangan Imam al-Ghazali yang dijadikan hujah jawapan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam. Petikannya begini:

Menurut Al-Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ Ulum Ad-Din: “Jika bercampur benda-benda halal yang tidak terbatas dengan benda-benda haram yang tidak terbatas, seperti mana harta-harta yang ada pada masa kini, maka tidak haram mengambil sesuatu daripadanya walaupun ia mengandungi benda-benda halal dan haram itu, melainkan ada bukti yang menunjukkan benda-benda itu haram. Kalau tidak ada pada benda itu sesuatu tanda yang menunjukkan ianya haram, meninggalkannya adalah warâ’ dan mengambilnya adalah halal yang tidak akan menjadi fâsiq memakannya.

Sebagai khulasah, terpulanglah kepada anda untuk membuat penilaian sendiri. Seperti jawapan saya kepada salah seorang wanita yang bertanya ketika memberikan ceramah di Keramat: ”Adakah saya wajib mengeluarkan zakat ASN dan ASB berserta pendapatannya? Saya berpegang dengan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan.”

Jawapan saya: ”Jika itu yang puan yakini, maka berzakatlah…”

WALLAHUA’LAM!

p/s: Sila rujuk di sini dan di sini untuk bacaan lanjut.

Related Post

Leave a Reply