• Sun. Jan 24th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Hari ketiga di Kemboja

Byadmin

Jul 12, 2010

11 Julai 2010 – Hari ini kami bercadang untuk ke Seam Reap, kerana di sanalah terletaknya Angkor Watt. Angkor Watt adalah kuil Hindu terbesar yang wujud di dunia ini, kata Azlan. Dia beriya-iya mahu mengadakan trip ke sana, walaupun dalam jadual rasmi kami tiada rancangan untuk ke Angkor Watt. “Engkau tahu, tidak sah perjalanan kita ke Kemboja jika kita tak sampai ke Angkor Watt!” Demikianlah dia meyakinkan kami semua ahli rombongan LZS. Azlan memerlukan 15 orang untuk menyewa kereta, tapi yang menyetujui ideanya hanya lima orang. Akhirnya, kami terpaksa mengurungkan niat itu begitu sahajalah jawabnya…

Pagi ini saya dan Azlan mengambil kesempatan pada sebelah pagi dengan menghirup udara segar di pesisir Sungai Mekong. Cuaca agak baik dan mentari sesekali memanah wajah kami. Waktu itu masih awal di Phnom Penh, jarum jam baharu menjengah ke angka tujuh. Tetapi, matahari makin galak bersinar.

Kami mengambil kesempatan berjalan dari hotel ke Sungai Mekong. Baharulah kami dapat melihat sendiri sekelumit kehidupan rakyat Kemboja. Ramai juga yang tidak berumah, mereka tidur di bawah pokok atau di dalam tut-tut beroda empat yang siangnya mereka gunakan sebagai kenderaan pengangkut orang.

Kami sempat singgah di sebuah kaunter menjual tiket bagi pengangkutan air ke Seam Reap langsung ke Vietnam…dan tiketnya tidaklah terlalu mahal, hanya dalam lingkungan USD30. Kami juga melewati hadapan Istana Raja Kemboja yang tersergam indah menghadap Sungai Mekong. Di istana inilah bersemayamnya raja Kemboja. Kami turut melalui hadapan Muzium Kemboja, sayangnya masih belum dibuka. Ia hanya akan dibuka pada jam lapan pagi nanti.

Setelah berpeluh dan merasa segar, kami pulang ke hotel. Sarapan pagi ini agak tidak mengena di tekak saya, nasinya seperti nasi goreng yang digoreng bersama tomato. Di samping itu ada juga mee goreng, tapi masih gagal merangsang selera saya. Saya sekadar mencicip kopi susu dan roti mentega dan jem. Bimbang juga, kerana rancangannya kami akan berjalan dan juga shopping juga nanti hari ini.

Selepas bersarapan, kami kemudiannya di bawa ke Killing Field yang terletak kira-kira 25 minit perjalanan dari hotel. Inilah momen yang saya tunggu-tunggu, kerana ingin menatap sendiri kekejaman Regim Komunis Pol-pot semasa memerintah Kemboja dari tahun 1974-1978. Tidak lama, Pol-pot yang kejam lagi zalim itu hanya menguasai Kemboja kira-kira tiga tahun lapan bulan sahaja, tetapi dia telah membunuh secara sadis lebih satu juta manusia dan membunuh tanpa secara langsung tiga juta manusia yang lain.

Sukar untuk saya gambarkan kekejaman mereka. Misalnya, askar Pol-pot akan membunuh waima anak-anak kecil, caranya…mereka akan dihayunkan ke sebatang pokok besar di Killing Field itu sehingga mati! Ngeri dan kekejaman itu amat menyentuh hati. Jika sempat, saya akan menulis catatan mengenai Killing Field ini nanti, insya-Allah.

Selepas itu, kami dibawa ke Penjara S21. Tahanan di sini mencecah 20 ribu dan daripada angka itu, hanya tujuh orang yang selamat dan hidup untuk menceritakan kembali kekejaman tentera Pol-pot dalam menyiksa tahanan. Asalanya juga, penjara tersebut adalah sekolah tinggi. Saat memasuki dari sebuah ke sebuah kelas yang pernah menjadi penjara maut kepada tahanan, hati saya meronta-ronta bagaikan mahu melarvakan sebuah kemarahan. Tapi kepada siapa?! Puluhan gambar bisu menjadi bukti kekejaman mereka di sini.

Kami kembali ke hotel untuk makan tengah hari. Sebelum itu ramai yang mahu mencari penggurup wang, akhirnya kami mendapat sebuah dan menukarkan sedikit dolar kepada riel. Ada juga yang menukarkan ringgit kepada dolar. Satu dolar menyamai 4000 riel. Saya sendiri pun pening, kerana duduk di Kemboja tetapi membeli-belah dengan USD. Saya juga sudah kena tipu beberapa kali kerana tidak memiliki matawang Riel…adakah patut, dua botol air mineral harganya USD1!

Selepas kami, maka bermulalah episod membeli-belah kami. Masing-masing sudah tidak sabar mengunjungi Russian Market. Ingatkan ia dipenuhi dengan orang Russia, rupanya tidak. Samalah macam di Sabah, Bazaar Philiphine, yang penuhnya orang Sabah juga.

Keadaan Russian Market ini banyak persamaannya dengan Bazaar Philiphine. Ia adalah pusat menjual kraftangan di Kemboja. Pelbagai jenis ukiran dan cenderamata ada dijual di sini. Bezanya, di pasar ini juga turut dijual buku dan alatulis, VCD, pakaian dan alatan ketukangan besi. Tidaklah 100% menjual cenderamata.

Mr. Virak juru pelancong kami mengingatkan kami agar berhati-hati, kerana katanya jika tidak kami mungkin ditipu tentang harganya. Saya meminta agar dia mengiringi saya membeli baju, kerana pada malamnya nanti kami turut diundang khas oleh Menteri Buruh dan Kebajikan Kemboja untuk makan malam bersama, semua baju saya sudah berbau masam. Kata Virak, no…I can not help you, they also cheat me! Pengakuannya itu membuat kami semua ketawa terbahak-bahak…masakan tidak, dia yang fasih berbahasa Kemboja pun boleh kena tipu. akhirnya saya beli juga sehelai dengan harga USD3.50.

Malam ini kami menjadi tetamu istimewa menteri. Setelah berbual-bual kami makan malam di restoran miliknya. Enak sekali. Saat berbual, baharulah saya tahu bahawa kini antara yang giat membangunkan potensi umat Islam Kemboja ialah rakyat Malaysia. Selangor turut membantu apabila menaja Akademi Aidit milik Datuk Aidit untuk membuat kajian dan training di sini.

Saya yakin, insya-Allah dalam tempoh 10 tahun akan datang, akan ada perubahan yang lebih ketara di bumi Kemboja ini…khususnya kepada umat Islam di sini.

Related Post

Leave a Reply