• Fri. Jan 22nd, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Hikayat TV Dalam Hidup Saya!

Byadmin

Aug 16, 2009

Semasa saya masih remaja dan tinggal di rumah opah, TV adalah termasuk dalam kategori ‘BAHAN LARANGAN’ oleh opah. Maksudnya, saya tidak boleh bebas menonton TV mengikut sesuka hati saya. Jika ada tayangan lewat malam, jangan haraplah. Opah sanggup bangun dari tidurnya dan memadamkan TV sambil mulutnya pot-pet memarahi saya.

Pernah satu malam minggu jika saya tak salah, saya diam-diam bangun pada tengah malam dan memasang TV. Saya begitu berhati-hati memasangnya dan suara saya pastikan di tahap paling minima. Harap biarlah opah tak perasan. Tengah dok berdebar melayan cerita itulah, tiba-tiba opah menyergah: “Hah! Tak tido lagi, kenapa tengok TV?!” Alamak…kantoi…itulah opah yang amat saya kagumi ketegasannya!

Semasa di sekolah menengah, TV di rumah opah pernah rosak. Maka, dengan ketiadaan TV, saya lebih banyak menghabiskan masa dengan membaca. Semasa itu, saya memang gila dengan buku. Bertuah saya rasa apabila TV rosak, kerana saya menjadi orang yang menyukai buku. Jadual saya kala itu, Maghrib akan solat di masjid, kemudian menekuni kuliah maghrib di sana sehingga Isyak, kemudian pulang ke rumah dan menelaah. Jika tiada kerja sekolah, maka saya akan membaca. Cuma seingat saya, jika malam Jumaat saya dan opah akan ke rumah Pak Ngah Wahin di sebelah rumah opah untuk menonton Forum Perdana Ehwal Islam. Itulah rancangan favourite kami dengan tokoh-tokoh hebatnya: Dr Harun Din, Dr Hasan Ali, Hashim Yahya, Hussein Yee dan ramai lagi.

Saya jadi tidak kisah dengan ketiadaan TV. Bahkan saya ingat lagi, masa yang terluang akan lebih terisi dengan aktiviti bersama keluarga. Semasa itu, Cik Nab dan Atih Juriah pun belum menikah lagi, jadi kami sering memanfaatkan waktu itu untuk bermain catur. Saya yang tidak mahir bermain catur pada mulanya, kemudian menjadi begitu ketagih bermain catur. Saat bermain caturlah, kemesraan antara ahli keluarga akan terbina. Semua itu tidak akan terjadi jika TV ada di hadapan mata.

Setelah berkahwin, saya hanya membeli sebuah TV kecil 14 inci. Jadilah, habuan menonton bersama isteri. Apabila kami mempunyai seorang anak, iaitu Along…TV kami rosak. Semasa itu kami sudah di Serendah, teringat lagi bukan main susahnya untuk mendapat siaran TV. Jadi, apabila rosak, saya merasa tidaklah terganggu sangat. Saya lebih suka membaca dan melakukan kerja lain, misalnya saya dan isteri membeli jigsaw puzzle bagi mengisi masa lapang.

Namun, Along mula menunjukkan minatnya kepada TV. Semasa itu Along kami titipkan ke rumah pengasuh, Kak Ram namanya. Semasa petang, Along liat sahaja untuk pulang. Dia sudah naik syiok pula menonton TV di rumah mak asuhannya. Akhirnya, saya mengalah dan terpaksa membeli lagi sebuah TV.

Tahun 2002, kami membeli kereta baharu – Proton Iswara. Turut ditawarkan ialah Astro, dengan syarat kami harus melanggannya tiga tahun. Saya serba salah, semasa itu untuk memasang Astro agak mahal. Sekarang, FREE aje. Semasa menziarahi rumah jiran pada hari raya, mak aih…bukan main terang TV mereka dengan Astro. Akhirnya, saya gagahkan diri melanggan Astro pula. Ah…rupanya, ia merupakan suatu kesilapan. Anak saya, khususnya Along sanggup berjaga malam menonton cerita kartun di Astro. Sudah, saya naik gelisah. Akhirnya, penghujung tahun 2005 rasanya, saya nekad memotong Astro.

Kini, di rumah saya hanya ada sebuah peti TV bersaiz kecil 14 inci. Tanpa Astro dan tanpa areal sempurna. Gambarnya pun kelam dan kabur. Saya malas nak membetulkannya sangat. Saya lebih suka anak-anak saya memberikan masa mereka kepada buku daripada TV. Maka saya menghabiskan wang yang lebih kepada buku dan majalah. Saya harap, anak-anak saya memahaminya. Maka, itulah secebis hikayat TV dalam diari hidup saya!

Related Post

Leave a Reply