• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kembara Jakarta 2#

Byadmin

May 16, 2010

Hari kedua – 15 Mei 2010

Azan subuh berkumandang merdu sekali dari masjid kampus UI. Saya menunaikan solat Subuh kira-kira jam 5 pagi waktu Malaysia dan jam 6 pagi waktu Indonesia Barat. Alhamdulillah, saya sudah tidak terkeliru lagi gara-gara perubahan jam dan waktu seperti tahun lalu. Saya hanya memegang satu formula mudah, jika jam tangan saya menunjukkan angka lapan pagi, maka kurangkan sahaja satu jam, maknanya sudah jam tujuh di Indonesia. Pedulikan bahawa waktu Indonesia adalah satu jam lebih awal dari Malaysia. Memanglah, waktu solat lebih cepat masuk di sini. Subuhnya seputar 4.30 pagi, Zuhurnya 11.50 pagi, Asarnya dalam lingkungan 3.30 ptg dan Maghribnya 5.45 petang…itu jam kita di Malaysia. Jika saya masih menggunakan jam Malaysia, maka saya akan pening.

 

Jam lapan pagi kami bersarapan di kafe Wisma Makara. Menunya hanya nasi goreng, telur mata dan keropok. Ada roti juga jika mahu. Usai sarapan pagi, kami memetik beberapa keping foto di sekitar kawasan Makara. Maklumlah, semalam kami tiba sudah gelap. Kami dapati kawasan sekitar kampus UI ini masih hijau. Senibina asrama pelajarnya juga cantik dari luar. Tidak berapa lama kemudian bas tiba, dan kami dibawa ke Tanah Abang di Jakarta Pusat. 

Seperti biasa, perjalanan kami melewati jalinan jalan raya yang agak macet walaupun masih pagi. Masa yang diambil juga kira-kira sejam setengah begitu. Kian hampir ke destinasi kian macet, khususnya berdekatan Tanah Abang, bas kami kian sukar bergerak. Kami turun di Pintu Timur Komples Tanah Abang dan memulakan operasi mencari barang-barang yang diingini.

Seperti biasa juga, jika kita ke Tanah Abang ini, maka sediakanlah wang yang lebih. Tidak berbaloi rasanya jika datang dan hanya melihat orang lain sibuk membeli-belah. Ini kerana, harga barangan di sini relatifnya jauh lebih murah berbanding di luar, walaupun di Indonesia sendiri. Ini kerana, di sini lazimnya ia adalah untuk pembelian cara borong atau grosir istilah di sini. Maka, harganya amat berbaloi-baloi.

Saya dan isteri mengambil peluang berborong sakan. Kami tahu, pasti lepas ini akan ada yang mengusik kami kerana berbelanja sakan. Tapi, pedulikanlah…alang-alang dah ke Tanah Abang…bukannya dekat macam Chow Kit di KL. Kami menghabiskan wang lebih dua juta rupiah di sini. Berbaloi sungguh…

Kira-kira jam 1 tengah hari, kami sepatutnya bergerak ke Mangga Dua, kemudian lanjut ke Kota Tua kemudian ke Monas. Tetapi, kelewatan berlaku dek kerana ahli rombongan kami seramai 20 orang – termasuk 13 orang pelajar pasca siswazah UKM dan empat orang pelajar pasca ijazah UI – masih tidak kelihatan di Pintu Timur Kompleks Tanah Abang.

Kelewatan memaksa Pak Syarif – orang kuat misi UKM ke UI – mengubah rencana. Atas perbincangan dengan Pak Giri – wakil UI – kami kemudiannya ke Monas. Saya akur, walaupun saya dan isteri serta Hanim anak kami sudah ke Monas tahun lalu, tetapi masih ramai daripada anggota rombongan kami yang tidak pernah ke sana.

Cuacana panas, saya sekadar berlegar di luar Tugu Monas. Encik Jamil – Pegawai Sains Kanan FSKB dan En Ramli – suami Kak Nini (Dr Nihayah) hanya berfoto kenang-kenangan di sekitar Monas. Kemudiannya kami menapak perlahan-lahan menuju ke bas pariwisata yang sedang menunggu. Manakala ramai yang lain, mengambil peluang memasuki Monas – ada muzium dan catatan susur galur sejarah yang menceritakan kronologi penubuhan kerajaan Indonesia bermula dari era Sriwijaya sehinggalah kemerdekaan Indonesia di dalamnya dan jika anda bernasib baik, anda boleh naik hingga ke puncak menara Monas – saya sudah masuk dahulu, maka saya tak berminat untuk masuk lagi kali ini. Oh ya, kita akan dikenakan tiket untuk masuk ke dalamnya…berapa ribu rupiah saya sudah lupa.

Belakang badan kami mula basah disimbah peluh yang mercik dari leliang roma. Tadi, dari pintu masuk kami menaiki gondola bergerak – alah…kereta macam kat Taman Tasik Perdana atau di Zoo Negara itulah – maka berjalan kaki memang memenatkan jugalah, kerana jaraknya agak jauh. Para penjual jalanan bertebaran menjual air dan cenderamata berlambangkan Monas. Saya tidak tergerak hati pun untuk membelinya dan hanya membeli air mineral berharga Rp2 ribu yang menyamai kira-kira 76 sen duit Malaysia. Saat itu, suara azan dari Masjid Istiqlal yang kubah putih dan menaranya jelas kelihatan dari Monas kedengaran. Saya masih belum solat Zuhur, maka saya berharap kami akan solat di situ untuk jamak dengan Asar sekaligus.

Niat dan cita-cita saya dikabulkan Allah SWT. Pak Giri menyarankan kami semua ke Masjid Istiqlal, memandangkan Kota Tua mungkin sudah ditutup saat itu. Dalam perjalanan ke Istiqlal, kami dibawa terlebih dahulu mengelilingi sekitar kawasan pusat pentadbiran kerajaan di Jakarta – yang terdiri daripada beberapa kompleks dan bangunan kerajaan yang menempatkan beberapa kementerian, antaranya Kementerian Pertahanan dan Kementerian Penerangan dan Informatika. Bangunan Radio Republik Indonesia juga ada di sini – yang menurut Pak Giri – menjadi sasaran pemberontak Indonesia satu waktu dahulu dalam usaha rampasan kuasa mereka; tetapi gagal. Di kawasan sekitar itu jugalah seringnya berlaku demonstrasi rakyat Indonesia – fenomena baharu pasca kejatuhan Presiden Soeharta di Indonesia.

Jika dahulu saya dan Ismarul tidak dapat merakamkan gambar dengan jelas, kerana kami tiba waktu Maghrib di Masjid Istiqlal. Kali ini, kami merakamkan lebih banyak gambar. Tapi awas, ramai peminta sedekah di sini yang akan cuba menarik perhatian anda. Mereka akan cuba ‘menjual’  kresek – atau plastik hitam – kepada anda kononnya untuk dimasukkan kasut ke dalamnya dan dibawa ke dalam masjid. Sebenarnya, tak payahlah anda membelinya kerana anda boleh menyimpan sepatu dan alas kaki anda di kaunter yang telah dikhaskan dan ada petugas di sana. Anda juga tidak digalakkan oleh pihak masjid daripada memberi derma atau wang kepada petugas masjid, kerana banyak tabung sedekah sudah disediakan. Bila anda mengambil kasut nanti – masukkan di depan mata petugas itu wang sedekah anda ke dalam tabung yang sudah disediakan – jika tidak mereka bisa sahaja meminta dengan kalimah ini… “Seikhlasnya pak!” Tapi anda harus memberi – sekurang-kurangnya Rp 2 ribu!!

Usai jamak dan qasar di ruang Masjid Istiqlal yang luas itu, kami bersantaian sebentar. Saya mengitari ruang solat masjid ini, tidak banyak yang berubah berbanding tahun lalu. Cuma saya agak kurang senang kerana beberapa orang tidur dengan kaki mereka melunjur menghadap ke arah mihrab atau kiblat – suatu tindakan yang kurang sopan di dalam masjid. Bahkan ada yang tidur meniarap –suatu aksi terlampau bagi saya jika dilakukan di dalam masjid. Hairan saya, kenapa tiada pengawal masjid yang menegurnya.

Cuma hati saya tersentuh saat terpandangkan sosok kanak-kanak lelaki seputar usia empat tahun yang berdiri di sisi ayahnya mendirikan solat. Baharu saya perasan, tiada satu pun papan tanda yang berbunyi begini “Kanak-kanak berusia tujuh tahun ke bawah dilarang masuk ke ruang solat masjid” ditampal di pintu masuk masjid di sini. Tidak seperti di Malaysia, masjid adalah ‘kota larangan’ bagi kanak-kanak, seolah-olah kanak-kanak kurang diraikan di rumah Allah. Walhal, pada zaman nabi dahulu…kanak-kanak bahkan bayi sekali pun diraikan oleh nabi, jika tidak, masakan ada hadis yang mengisahkan nabi mempercepatkan solatnya saat terdengar suara tangisan anak di belakangnya. Itu menunjukkan, sifat seorang nabi yang amat bertimbang-rasa dan sentiasa bijak meraikan suasana…

Kami pulang ke Depok sekitar jam 5 petang dan singgah di Bakmi GM di Jalan Gadjah Mada (baru saya tahu, Bakmi GM itu maknanya Bakso Mi Gadjah Mada). Pak Syarif memesan Teh Botol dan Bakmi GM Bakso Spesial – saya menambah Iced Coffee Jelly –kami kekenyangan sekali saat menaiki bas dan ingin segera kembali ke bilik di Wisma Makara. Di minda saya sudah terbayangkan bilik mandi dan air panasnya juga tilam empuk buat melelapkan mata!

Related Post

Leave a Reply