• Sun. Jan 24th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

IKTIBAR DIUJI ALLAH

Byadmin

Nov 21, 2011

Ada manusia merasa selesa dalam kesenangan, bagi mereka kesenangan tandanya Allah SWT sayang. Dengan kesenangan itulah, mereka mudah berbuat ibadah. Kecukupan dan kekayaan, menjadikan mereka suka bersedekah. Dalam pada itu, ada pula orang berkata, kesenangan yang melimpah ruah, bisa pula membuat manusia lupa daratan bahkan jadi serakah. Akhirnya, mereka menjadi manusia yang dimurkai Tuhan.

Dalil mereka, ada manusia menjadi derhaka kerana kesenangan melampau, misalnya Qarun. Dalil mereka lagi, ada juga dalam kalangan sahabat merasa susah hati, bila Allah tidak menguji mereka lebih dari tiga hari. Ini kerana, ujian menjadikan diri mereka lebih dekat dengan Tuhan, lagi dan lagi.

Maka, betulkah demikian? Adakah kesenangan itu baik, dan adakah kesusahan itu juga baik. Atau kedua-duanya tidak baik. Dalam aspek yang lain, bukankah susah dan senang itu datangnya daripada Allah. Bahkan Allah SWT menjadikan keseluruhan hidup manusia ini adalah suatu ujian, bagi menapis siapa yang benar-benar beriman dan siapa yang enggan atau hidup kepura-puraan.

Firman Allah SWT: “Dialah (Allah) yang menciptakan kematian dan kehidupan, buat menguji siapakah dalam kalangan kamu yang lebih baik amal perbuatan,” (al-Mulk: 2).

Allah SWT sentiasa memberikan manusia pilihan di sebalik ujian yang datang. Mereka boleh menukarnya menjadi peluang, samalah seperti kita menukar kesusahan sebuah peperiksaan menjadi peluang bagi mendapat keputusan cemerlang dan dengannya, melayakkan kita memasuki universiti paling gemilang. Inilah namanya, asalnya susah, akhirnya bertuah. Itulah pun ajaran pakar motivasi. Menukar cabaran menjadi peluang.

Namun, jika dibandingkan kesusahan kita hari ini, rasanya tidak akan dapat menyamai kesusahan yang pernah dialami oleh para nabi dan sahabat pendokong perjuangan mereka. Kita tidak perlu menahan sakitnya dada menahan sabar dicaci dihina. Kita tidak perlu bersusah payah mengelakkan intaian musuh untuk menadah ilmu di masjid dan surau bersama kekasih Allah. Kita tidak perlu pun mengangkat senjata bagi mempertahankan keselamatan akidah dan Islam, seperti mana sahabat nabi zaman silam berdada dengan musuh di medan berdarah.

Inilah kita, hingga kesenangan akhirnya hampir menjadikan kita terlupa atau lalai segala. Mungkin inilah taktik musuh-musuh Islam, seperti mana madah Snock Hungrodge kala menjulang al-Quran, seraya menyatakan: “Kita mesti menjauhkan umat Islam dari buku ini, jika kita mahu mengalahkan mereka.”

Maka, akhirnya Allah datangkan kepada kita ujian, buat mengingatkan manusia bahawa mereka dalam kealpaan. Allah datangkan ribut taufan, goncangan bumi, bukit gelongsor, kemarau dan tanah yang merekah, hujan dan banjir meruah melimpah, gempa dan tsunami dan sebagainya lagi, agar manusia sedar kembali kelalaian mereka. Agar kesusahan itu, mampu menarik mereka untuk kembali bersujud kepada Allah yang Maha Esa. Agar manusia sedar, hidup ini, kemudaratan atau kebaikan, semuanya adalah daripada Allah SWT. Dialah Tuhan yang di sisi-Nya tidak akan bergerak hatta sebesar zarah tanpa keizinan-Nya, tempat kita akan kembali bersama bekalan amal yang dicari di dunia ini.

Firman Allah SWT: “Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melain Dia dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu,” (al-An’am: 17).

Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply