• Tue. Jan 19th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Innalillah

Byadmin

May 23, 2011
Anak-anak asrama dan madrasah at-Taqwa di sisi jenazah sahabat mereka yang gemulah.

Musibah melanda lagi negara ini. Kisahnya, tanah merudum menimpa. Mangsanya anak-anak sekolah agama. Ada yang yatim dan ada yang beribu bapa. Hebohlah satu negara. Pak menteri semua turun. Para YB sebuk bergelut. Semuanya ambil cakna. Semua nak bagi itu dan ini. Bantuan diumum. Bantuan dihulur. Yang mati tidak akan hidup lagi. Yang cedera menanggung sengsara. Yang ditinggalkan pasti hampa. Soalnya, salah siapa?

Sudah penat kita memberikan jawapan. Isu tanah runtuh, tanah gelincir dan tanah menimpa manusia dan bangunan ini, bukan isu baru. Ia dah sering berlaku. Ramai orang pasti tidak bisa melupakan Tragedi Highland Tower di Ulu Klang. Ia menjadi titik hitam dalam sejarah tanah runtuh di Malaysia. Kisah itu terakam kukuh sebagai buktin nyata, gagalnya manusia membaca sifat semulajadi alam. Sungai dan mata air, pokok dan akarnya, tanah dan strukturnya dan segala-galanya yang berkaitan dengan alam.

Maka kerajaan jadi gelabah. Dikeluarkan perintah: DILARANG MEMBINA BANGUNAN DI LERENG BUKIT. Hingar sekejap, sunyinya lama. Masa berlalu, manusia pun lupa. Maka, berderet semulalah projek di lereng bukit. Tanah ditarah, dibikin teres, dibuat penghadang tanah, digali, ditimbus, ditebuk, dicucuk dan diapa-apa lagilah.

Cuba anda lihat di KL dan sekitarnya. Atau pergi sahaja ke mana-mana bandar besar di Malaysia yang harga tanahnya mahal. Membina rumah dan bangunan di lereng bukit, kini seakan kegilaan. Makin tinggi, makin mahal. Makin cerun, makin tinggi harganya. Ambil contoh, di Selayang sudahlah. Berapa banyak projek yang sifatnya menarah bukit, membina rumah dengan konkrit menahan tanah dan mencucuk besi di sana sini.

Kita musykil dengan perangai manusia. Kerana wang yang besar, pedulikan bahaya. Wang besar…wang besar. Musibah tak besar. Nyawa pun tak besar. Pemaju bikin rumah. Rumah mereka jual. Dapat untung juta-juta. Yang tanggung risiko pembeli. Duit habis, keselamatan tiada jaminan. Siapa nak ambil perduli?

Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply