• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Interaksi Buku: Bilal – Pengumandang seruan langit

Byadmin

Mar 22, 2010

Tajuk: Bilal bin Rabah – Pengumandang seruan langit
Pengarang: Abdul Latip Talib
Terbitan: PTS Publication
Tahun diterbitkan: 2009
Jumlah halaman: 274
Harga: RM26.00 (sebelum diskaun)
ISBN:978-983-3892-32-7

Bilal bin Rabah r.a adalah salah seorang sahabat nabi yang tidak betah mendiami bumi Madinah pasca kewafatan Rasulullah SAW. Bilal membawa dirinya dan Hindon isterinya ke Syam. Di sana, Bilal memanfaatkan ilmunya mendidik masyarakat yang baharu sahaja disapa bayu hidayah. Apatah lagi kala itu, adalah musim pembukaan wilayah baharu Islam, atau dinamakan sebagai era futuhat. Manusia-manusia yang baru diIslamkan amat memerlukan bimbingan.

Hakikatnya juga, Bilal enggan menyahut pujukan Umar al-Khattab untuk mendiami Madinah, kerana kesedihannya yang amat sangat setelah perginya Nabi Muhammad SAW. Kesedihan yang belum reda itu bertambah berat setelah Abu Bakar as-Siddiq turut dijemput Allah SWT, dua tahun kemudian. Bilal menanggung derita batin yang amat sangat. Abu Bakar adalah ‘tuan’ yang membelinya untuk dibebaskan. Nabi Muhammad pula adalah lelaki yang ‘dijanjikan’ ibunya yang datang untuk memuliakan, mengangkat martabat dirinya daripada seorang budak hitam suruhan kepada seorang pengumandang seruan dari langit yang pertama buat umat Islam.

 Ya, sejarah mencatatkan bahawa Bilal r.a adalah pengumandang seruan langit yang pertama di sisi nabi. Bahkan, namanya kini lestari diabadikan kepada setiap juruazan atau muazzin di mana sahaja di ceruk dunia ini. Selagi mana manusia mendengar dan menerima seruan itu, pasti nama Bilal juga disebut. Begitulah Allah SWT mentakdirkan suatu kemuliaan buat hamba yang dimerdekakan. Hamba yang saat jasadnya dipalu bertalu-talu oleh tuannya yang zalim; namun lidahnya tidak kelu menyebut Allahu Ahad…Allahu Ahad.

Hakikatnya, seruan itulah yang mengajak manusia muslim lainnya menemui al-Khalik, mengabdikan diri dan merafakkan sembah hanya kepada Allah.

Siapa si Bilal ini? Bilal dicatatkan di dalam sejarah sebagai anak yang dilahirkan daripada rahim seorang hamba, hamba kepada keluarga Bani Abdudar dan akhirnya diwarisi oleh lelaki yang sangat zalim dan memandang hina kepada mereka, iaitu Umayyah bin Khalaf laknatullah’alahi. Ibunya bernama Hamamah, bapanya bernama Rabah dan mempunyai seorang abang kandung bernama Sahib. Mereka adalah keturunan Habsyi. Ibu bapa Bilal ditangkap saat mahu mencuba nasib merantau ke negeri orang, lalu dijual di pasar sebagai hamba belian.

Rentetan diari hidup Bilal sekeluarga bukanlah kisah manis untuk dicicip. Ia penuh dengan ranjau yang berduri dan amat menyakitkan hati. Tetapi, berat mata memandang; berat lagi bahu yang memikulnya. Bilal terpaksa menempuhi semua ujian getir itu hanya kerana status dirinya adalah hamba. Bilal dirantai fizikalnya; namun jiwanya bebas mengecap nikmat iman dan Islam. Umayyah bisa memiliki tubuh sasanya; bukan rohnya. Ia adalah milik Allah.

Hakikatnya, inilah yang saya rasai saat meladeni novel sejarah, buah tangan Abdul Latip Talib terbitan PTS Publication. Novel sejarah Islam ini sebenarnya memberikan suatu dimensi baharu dalam usaha mencicip secangkir madu kisah para sahabat rasul terdahulu, apatah lagi bagi Bilal yang termasuk ke dalam ‘assabiqu nal awwalun’, yakni orang-orang terawal yang memeluk Islam.

Lazimnya, jika kita membaca seerah atau senaskhah buku sejarah per se, maka sudah pastilah kita disuguhkan dengan catatan-catatan sejarah yang terkadang memenatkan. Nota kaki yang bersimpang-siur, komentar dan ulasan yang pelbagai dan angka-angka menunjukkan tahun-tahun yang merimaskan. Tapi tidak dengan buku ini. Ia memberikan kita keselesaan, justeru watak-watak utama dihidupkan kembali sedemikian rupa agar mereka mampu berbicara langsung bagi pihak diri mereka sendiri. Bukannya ada pihak ketiga yang menolong untuk berbicara bagi pihak mereka. Mereka berinteraksi, bukan hanya ‘kayu mati’.

Maka, sewaktu membaca karya ini seolah-olah Bilal wujud di hadapan mata kita; atau boleh sahaja kita berdiri di sisi Bilal. Kita bisa merasai detak jantungnya siang dan malam. Saat Bilal berusaha menemukan hidayah, kita rasai getarnya dada Bilal. Saat Bilal berusaha menyembunyikan iman yang baharu berputik, kita rasai getaran yang disimpan. Saat Bilal kepingin memiliki seorang isteri, kita rasai rendahnya hati Bilal atas statusnya sebagai lelaki bekas hamba-sahaya. Saat Bilal mengasah mata pedang menyahut seruan jihad, kita juga ikut mendengar kiutan mata pedang itu dilagakan. Saat musuh bergentayangan di depan Bilal, kita juga ikut menyaksikan kehebatan Bilal dan tentera Islam lain yang memburu syahid dan kemenangan di medang perang.

Inilah nikmatnya membaca karya ini. Maka, bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan tamat pada Ahad depan (28 Mac 2010), maka kunjungilah gerai-gerai buku di sana untuk memiliki naskhah asli karya ini. Percayalah, anda tak akan rasa rugi. Bahkan anda akan tahu, apa nilainya iman di dada mereka yang pernah disapa getir kala mencarinya. Maka, saat itu baharulah kita sedar, di mana takah iman kita sebenarnya. Wallahua’lam.

Nota: Bilal bin Rabah bernikah dengan Hindon, namun mereka ditakdirkan tidak memiliki zuriat. Bilal wafat di Syam (Syria hari ini), pada saat Umar al-Khattab menjadi khalifah umat Islam. Al-Fatihah buat Bilal.

Related Post

Leave a Reply