• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

ISA di sisi Islam

Byadmin

Aug 2, 2009

Jika kita membaca media pro-pemerintah (baca: Pro-BN), maka mereka akan menceritakan kebaikan di sebalik akta atau undang-undang ISA ini. Mereka akan memberikan rasional ia dipertahankan dan risiko ia dihapuskan. Sebaliknya, jika kita menelaah media pro-pakatan atau pembangkang, maka kita akan terjumpa pelbagai hujah kenapa ia harus dilupuskan.

Lalu, persepsi kita terhadap undang-undang yang digubal pada tahun 1969 ini akan terbentuk bersandarkan pembacaan kita. Saya? Ya, saya cuba bersikap rasional. Memang, undang-undang ini ada pro dan kontra. Namun, bak kata Dr Muhd. Asri Zainal Abidin (MAZA), para ulama’ khususnya Majlis Fatwa Kebangsaan wajar memberikan suatu keputusan terhadap letak duduk atau status undang-undang ini di sisi Islam. Adakah ia ‘halal’ atau ‘haram’ untuk diteruskan dalam sebuah negara yang pernah menobatkan ‘Islam Hadhari’ sebagai manhaj pentadbirannya.

Jujurnya, jika meneliti dari kaca mata manusiawi, undang-undang yang dibentuk oleh mana-mana pemerintah, pastilah natijah akhirnya bertujuan mengekalkan kestabilan dalaman sesebuah negara. ISA sendiri saat dibentangkan di parlimen 40 tahun silam, bermotifkan untuk mengekang anasir subersif yang didalangi oleh Parti Komunis Malaya. Tun Abdul Razak saat itu berhujah, bahawa ia bukan bertujuan untuk mengekang suara pembangkang di Malaysia yang sememangnya sah di sisi undang-undang.

Tapi, manusia tidak kekal dan sepeninggalan Tun Abdul Razak, kita boleh menilai sendiri bagaimanakah penggunaan akta dan undang-undang ISA ini diaplikasikan di negara kita. Bagi mereka yang tidak memahami akta ini secara lebih lanjut, maka saya menyarankan anda menelaah beberapa buah buku yang memaparkan kehidupan para tahanan ISA, sama ada di Malaysia dan Singapura. Bahkan tokoh-tokoh yang pernah merasai keperitan undang-undang itu pun masih berdenyut nadinya hingga saat ini, anda boleh berjumpa mereka dan bertanya apa-apa sahaja yang anda rasa perlu tahu tentang ISA. Dan saya tidak fikir manusia sebaik Dr Syed Husin Ali – antara penggerak awal ke arah penubuhan UKM – sebegitu makar akhlaknya sehingga layak di-ISA-kan.

Dalam Islam, setiap pertuduhan hendaklah didatangkan bukti dan saksi. Ini adalah asas perundangan yang dapat menjamin keadilan. Jika saya menuduh seseorang mencuri barangan saya, maka apakah buktinya dan siapakah saksinya. Jika tiada bukti dan tiada saksi, kes itu tidak boleh diteruskan. Hakim tidak boleh menjatuhkan hukuman tanpa dua asas ini. Suatu kisah yang pernah terjadi kepada Saiyidina Ali bin Abi Talib sendiri, yang saat itu merupakan khalifah umat Islam boleh dijadikan iktibar. Satu hari, baginda mendapati baju besinya dimiliki oleh seorang yahudi dan baginda meminta agar ia dipulangkan. Namun, si yahudi enggan dan akhirnya kes itu dipanjangkan kepada mahkamah. Di mahkamah, hakim meminta amirul mukminin mengemukakan bukti dan saksi. Malangnya, Ali gagal membawakan kedua-dua perkara itu. Maka, hakim memutuskan baju besi itu milik si Yahudi.

Ali gagal mendapatkan kembali barangannya, dia gagal dalam kondisi dia adalah amirul mukminin, presiden negara atau perdana menteri negara Madinah dan seluruh negara jajahannya pada waktu itu. Apakah yang Ali lakukan, setelah mahkamah memutuskan baginda gagal? Ali menerima keputusan hakim dengan lapang dada. Ali tidak menggunakan kuasa politik yang ada padanya demi kepentingan dirinya sendiri.

Ketelusan sistem perundangan Islam ini menimbulkan ketakjuban kepada yahudi tadi. Sesungguhnya, memang baju besi itu milik Ali, tetapi apabila Ali gagal mengemukakan bukti dan saksi. Ali tidak berkeras mahukannya kembali, sedangkan kala itu Ali adalah Amirul mukminin. Mahkamah juga tidak menyebelahi Ali walau baginda seorang penguasa. Ketelusan dan keunggulan sistem perundangan yang ditonjolkan itu, akhirnya berjaya menguak pintu hati si Yahudi, sehingga dia dengan rela hati menemui Ali lalu melafazkan dua kalimah syahadah.

Bagi saya, inilah neraca dan pertimbangan Islam dalam menjustifikasikan sesuatu kesalahan. Ya. jika anda pernah menonton filem Hollywood bertajuk ‘Minority Report’, makan anda pasti teringat betapa kononnya dunia saat itu berjaya mencegah jenayah dengan cara menangkap pelakunya sebelum mereka sempat melakukan kesalahan jenayah. Namun, kecanggihan itu akhirnya dinodai oleh orang-orang yang berkepentingan, sehinggalah mereka sendiri mengambil keputusan membatalkan prosedur menangkap penjenayah sebelum mereka melakukannya.

Kesimpulannya, saya tidak fikir kita boleh menangkap seseorang dengan alasan mereka mahu mencuri kereta kita, sedangkan mereka hanya membawa towing car beberapa kali berlegar di sekitar taman perumahan kita. Kita juga tidak boleh menangkap seorang lelaki atas dakwaan dia mahu mencuri kasut kita hanya kerana dia kelihatan tertarik kepada sepasang kasut baharu yang tersarung di kaki kita. Apatah jika menuduh sekumpulan manusia mahu melancarkan roket atas nama rangkaian pengganas dunia, maka mereka ditahan tanpa bicara. Saya lebih setuju, mereka ditangkap atas prosedur biasa, dikemukakan bukti dan saksi, demi menjadikan keadilan sebenar-benarnya tertegak di bumi Satu Malaysia ini.

Related Post

Leave a Reply