• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Islam Tangani Kemiskinan (#1)

Byadmin

Feb 22, 2010

(Foto: Penulis dan wakil KFC menyampaikan bantuan kepada salah seorang asnaf zakat di Hulu Selangor tahun 2009)

Keperluan kepada harta dalam dasawarsa moden kini adalah suatu yang signifikan. Jarang benar kita berjumpa, manusia yang sanggup hidup dalam kemiskinan. Harta sebaliknya sering disinonimkan dengan kekayaan. Ia membolehkan manusia menjalani hidup pada taraf yang lebih baik. Jaminan hidup yang baik ini ditandai dengan kualiti makan-minum, tempat tinggal, pendidikan, kenderaan dan sebagainya. Justeru itu, Allah SWT sendiri mengiktiraf hakikat keperluan kepada harta ini, sebagaimana dinyatakan di dalam surah Ali Imran, ayat 14:
 
“Dijadikan indah pada pandangan manusia, kecintaan kepada apa-apa yang diinginkan yaitu wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang.”


 
Walau bagaimanapun, sejarah peradaban manusia sepanjang zaman tidak dapat dipisahkan daripada isu kemiskinan. Ia wujud seiring dengan peradaban manusia. Bahkan kemiskinan sifatnya meluas. Ia melanda tidak kira bangsa, negara dan anutan agama. Negara sebesar dan sekaya Amerika Syarikat pun masih berhadapan dengan isu kemiskinan. Justeru itu, ada pihak yang beranggapan isu kemiskinan ini boleh menjadi barah jika gagal ditangani secara bijaksana.
 
Sungguh pun manusia awam sering menganggap kemiskinan itu hina, namun Islam mengajar sebaliknya. Bahkan semasa proses mikraj Nabi SAW, baginda melihat golongan miskin adalah kelompok yang paling ramai di dalam syurga. Ini kerana, kemiskinan memberikan keringanan dalam proses hisab mereka di hari akhirat, sehingga membolehkan mereka lolos dengan mudah untuk ke syurga.
 
Oleh itu, Islam sesekali tidak menyemai bibit kebencian kepada fakir dan miskin. Bahkan Islam mendidik umatnya agar bersikap lunak kepada golongan ini. Kekayaan bukanlah tiket untuk menyombongkan diri; sebaliknya ia adalah jambatan untuk menyantuni. Hal ini ada dijelaskan melalui ayat 263, surah Al-Baqarah:
 
“Perkataan yang baik dan pemberian maaf  lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun”
 
Islam secara halus menanamkan suatu kefahaman, bahawa kemiskinan adalah suatu yang lumrah sifatnya dan ia bertujuan mewujudkan kitaran saling bergantungan di dalam masyarakat. Islam turut menegaskan bahawa pemberian kepada fakir miskin hendaklah disertai dengan ketulusan hati agar tidak menimbulkan perasaan kurang senang kepada mereka. Bahkan Allah SWT melarang pemberian yang disertai dengan ujaran dan tindakan sarkastik yang mampu mengecilkan hati penerima (fakir dan miskin).
 
Demi mengukuhkan premis ini, sunnah juga telah menunjukkan perkara yang sama. Rasulullah SAW adalah insan agung yang paling terkenal menyantuni golongan fakir dan miskin ini. Pernah dipaparkan satu peristiwa, apabila sekumpulan fakir dan miskin menghantar wakil bagi menemui Rasulullah SAW bagi menanyakan sesuatu kemusykilan, maka mereka mendapat layanan yang begitu baik daripada nabi.

Abul Laits As-Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Anas bin Malik r.a, bahawa beliau berkata: “Orang-orang fakir mengutuskan utusan mereka kepada Nabi Muhammad s.a.w. Maka berkata utusan itu: “Wahai Rasulullah, saya adalah utusan fakir kepadamu.” Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: “Selamat datang kepadamu dan kepada orang-orang yang mengutuskanmu, engkau datang daripada orang-orang yang dicintai Allah s.w.t.”

Lalu utusan itu berkata: “Wahai Rasulullah, orang-orang miskin berkata: “Bahawa orang-orang kaya telah memboloti semua kebaikan, mereka dapat menunaikan haji dan kami tidak, mereka memberikan sedekah sedang kami tidak dan jika sakit mereka dapat mengirim wang untuk tabungan mereka.”

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Sampaikan kepada orang fakir daripadaku, bahawa sesiapa yang sabar daripada kamu dan mengharapkan pahala daripada Allah s.w.t, maka ia akan mendapat tiga kelebihan yang tidak boleh didapati oleh orang-orang yang kaya iaitu:

1.      Di dalam syurga (kelak) ada kamar dari yaqut yang merah, penghuni syurga melihat tempat itu seperti melihat bintang di langit semasa di dunia, tidak dapat masuk ke tempat itu kecuali Nabi yang fakir atau orang yang mati syahid yang fakir atau seorang mukmin yang fakir.

2.      Orang fakir yang (kelak dapat) memasuki syurga (lebih awal) sebelum orang kaya dengan kadar setengah hari, iaitu kira-kira lima ratus tahun. Mereka bersuka-suka dengan bebas di dalamnya. Dan Nabi Sulaiman bin Daud a.s. akan memasuki syurga sesudah nabi-nabi yang lain memasukinya kira-kira empat puluh tahun disebabkan oleh kerajaan yang diberikan Allah s.w.t. kepadanya (Nabi Sulaiman ialah nabi yang diberikan kekayaan dan kekuasaan di dunia).

3.      Jika orang fakir membaca: Subhaballah walhamdulillah walaa ilaha illalah wallahu akbar dengan tulus ikhlas; dan orang kaya juga turut membaca kalimah itu, maka orang kaya itu tidak dapat mengejar (pahala) orang fakir meskipun ditambah dengan sedekah sepuluh ribu dirham. Demikian jugalah amal-amal kebaikan yang lain (yang dilakukan oleh si fakir).

Related Post

Leave a Reply