• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Istimewanya 10 September!

Byadmin

Sep 9, 2009

“Selamat hari lahir abah, mak ucapkan. Didoakan semoga panjang umur, murah rezeki, selamat di dunia dan di akhirat”

Demikianlah pagi ini saya menerima SMS daripada mak dan abah di kampung. Terasa dekat dengan mereka. Teknologi sesungguhnya mendekatkan perhubungan jika ia diguna secara betul. Terima kasih mak dan abah, lalu saya membalas: “Terima kasih banyak-banyak. Doa mak dan abah itulah azimat berkat buat seorang anak…terima kasih juga buat mak yang dah melahirkan saya pada tarikh ini 35 tahun lalu…”

Semalam juga anak-anak dan isteri saya memberikan hadiah. Pulang dari Shah Alam agak lewat selepas tarawih dek kerana perlu menjalankan tugas di sana, isteri saya pula sibuk menyiapkan bahan untuk membuat kuih raya. Anak-anak juga sibuk membantu sama, termasuklah si kecil Hanim yang juga sibuk memanjat sini sana.

Sehabis mandi saya ke dapur, lalu di atas meja ada dua bungkusan hadiah. Hm…mereka dah sedia untuk memberikannya kepada saya. Terima kasih juga saya ucapkan. Suatu ingatan yang berpanjangan daripada anak dan isteri buat seorang abi dan suami.

Mengenang kembali tarikh 10 September ini, saya tidak pernah merasakan kemeriahannya. Tiada kenduri doa selamat, tiada ucapan Happy Birthday dan tiada hadiah istimewa tersedia. Sehinggalah menginjak ke usia remaja, atihlah insan yang mula menghargai kehadiran tarikh 10 September ini. Atih berikan kejutan, pulang dari sekolah sudah tersedia sebungkus hadiah berbungkus cantik di atas meja studi saya!

Hingga kini, atih masih tidak pernah culas dan lupa dengan tarikh 10 September ini. Ahad baru-baru ini, kami sekeluarga ke rumahnya di Mutiara Magna berbuka puasa, dan atih menyampaikan hadiah buat kali yang ke seterusnya. Satu set cadar katil yang cantik, yang insya-Allah akan saya sarungkan ke katil menjelang raya nanti.

“Terima kasih atih…”

Nota: Teringat dahulu waktu di darjah enam pada tahun 1986, saya baharu cuba-cuba menghafal tarikh hari lahir ini. Kebetulan guru sukan saya, cikgu Hasnan bertanya untuk memasukkan nama saya sebagai ahli simpanan pasukan Sepak Takraw sekolah…lalu buat pertama kalinya dengan penuh bangga saya pun menyebut…”10 September…” 🙂

 

Related Post

Leave a Reply