• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Isu Bahasa: Jahil atau apa?

Byadmin

Nov 2, 2011

Foto kredit dari dreamindonesia.wordpress.com

Kejahilan punca orang Melayu sendiri tidak merasa bangga dan yakin dengan Bahasa Melayu, inilah keluhan seorang pencinta Bahasa Melayu, Prof. Nik Safiah Karim. Sebenarnya, tidak perlu seorang professor untuk mengeluarkan kenyataan seperti ini, demi membolehkan kita memahami senario semasa kedudukan Bahasa Melayu pada kaca mata orang Melayu – khususnya di Malaysia yang satu masa dahulu di semenanjung ini lebih dikenali sebagai Tanah Melayu. Cukup dengan membuka mata seluas-luasnya dan bacalah papan-papan iklan di tepi jalan, bacalah kain rentang, bacalah risalah dan sebagainya hatta papan penunjuk arah di serata tempat, kita sudah boleh menilai di mana kedudukan Bahasa Melayu di tanah airnya sendiri.

Bahasa Melayu oh bahasaku. Jika anda ke negara luar, katakan sahaja ke Indonesia maka anda pasti akan dapati betapa segenap lapisan masyarakat mereka menggunakan bahasa Indonesia dalam pertuturan mereka sehari-hari. Anda pasti sukar mengenalpasti, adakah manusia yang berdiri di hadapan anda itu berketurunan Jawa, Sunda, Melayu, Minang, Rawa, Cina, Betawi atau sebagainya. Ini kerana, kesemua mereka menggunakan bahasa yang sama – Bahasa Indonesia!

Teringat penulis kala menuntasi novel Ranah 3 Warna karya A. Fuadi (seorang novelis muda sedang naik di Indonesia). Beliau mengisahkan, saat dirinya terpilih untuk program perkampungan pelajar di Kanada, beliau telah bercerita kepada keluarga angkatnya betapa besarnya bangsa Indonesia. Sebuah negara kepulauan terbesar di dunia dengan jumlah 13,487 buah pulau, didiami oleh lebih 200 juta manusia dengan lebih 300 kelompok etnik yang berkomunikasi dengan bahasa masing-masing; namun kesemua mereka disatukan dengan satu wadah: BAHASA INDONESIA!

Nah, anda pergi pulalah ke Thailand, sebuah negara yang terkenal dengan ketaatan kepada sang rajanya. Thailand, sebuah negara yang majoriti berbangsa Thai telah berjaya mendisiplinkan rakyatnya untuk berbahasa Thai sepenuhnya. Benar masih ada saki baki orang Melayu di bahagian Selatan Thai, namun penguasaan Bahasa Melayu makin mengecil dan didominasi oleh bahasa Thai sebagai bahasa rasmi mereka. Kala penulis ke Selatan Thai beberapa tahun dahulu, penulis singgah di sebuah pasar dan dengan selamba seorang warga Thai telah menyapa penulis dalam bahasa Thai. Apabila penulis membalas tidak tahu (tidak faham), secuit pun orang Thai itu tidak bersuara untuk memohon maaf dengan bahasa Melayu ala Selatan Thai atas kekhilafannya. Dia hanya berlalu begitu sahaja.

Begitu juga kalau kita ke Singapura, sebuah negeri kecil yang asalnya dimiliki oleh orang Melayu dan hari ini menjadi milik Lee Kuan Yew dan konco-konconya. Bahasa apa yang dipertuturkan di sana? Rakyat Singapura umumnya lebih selesa berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Tidak kiralah anak Melayu, anak Cina dan anak India, mereka diwajibkan belajar dalam Bahasa Inggeris dan akhirnya, rakyat Singapura seakan melupakan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara mereka. Bahkan, penulis yakin Lee Kuan Yew sendiri sudah menyesali tindakannya mengutamakan bahasa Inggeris, kerana rakyatnya kini sudah lupa bahasa ibundanya sendiri.

Ke mana lagi kita? Ah…tak payah ke mana-mana lagi. Cukuplah membanding-bandingkan semua ini. Sebenarnya, apa yang diperlukan oleh kita dalam usaha mendaulatkan kembali Bahasa Melayu di Malaysia, ialah usaha pihak kerajaan secara serius dan tidak bermuka-muka.

Hapuskan sekolah beragam bahasa ibunda, jika benar kerajaan serius mahu rakyat Malaysia hanya menggunakan Bahasa Melayu. Wajibkan semua papan iklan, papan tanda dan seumpamanya hanya menggunakan Bahasa Melayu sebagai naratornya. Pastikan semua wakil rakyat khususnya pak-pak menteri hanya menggunakan Bahasa Melayu dalam sesi wawancara dan pidato mereka. Pastikan semua universiti dikembalikan maruah ilmunya dengan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai autonomi bahasa.

Serta banyak lagi yang boleh dilakukan…dan semua ini, tidak perlu dicanai menerusi meja bulat dan tidak perlu juga, dikeluarkan oleh seorang professor – Seperti Prof. Nik Safiah Karim. Namun, seandainya pengumuman menerusi corong pembesar suara di KLIA pun masih menggunakan tiga bahasa – Melayu, Inggeris dan Cina – usah bicaralah usaha mendaulatkan bahasa!

Related Post

Leave a Reply