• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Isu ‘Lebihan’ Wang Zakat di LZS

Byadmin

Mar 12, 2010

Saya dihubungi oleh seorang kenalan dan beliau meminta saya menjelaskan suatu isu yang dilaporkan oleh sebuah portal berita (www.malaysiakini.com), iaitu berkaitan bagaimana baki wang zakat dimanfaatkan di Selangor.

Hakikatnya, memang ramai umat Islam yang masih keliru tentang perkara ini. Dalam diskusi umum, misalnya soal-jawab sehabis ceramah zakat juga sering pihak LZS (MAIS) ditanya, kenapakah masih ada berbaki wang zakat pada setiap tahun? Kenapakah tidak dibelanjakan semuanya sekali supaya habis? Bagaimanakah lebihan wang zakat ini digunakan dan sebagainya lagi.

Untuk menjelaskan perkara ini, suka dimaklumkan bahawa perbelanjaan LZS (MAIS) pada setiap tahun sudah ditetapkan berdasarkan bajet tahunan yang kemudiannya diperolehi menerusi geran MAIS. Ia bermakna, LZS (MAIS) akan membuat perancangan, berapakah belanja mengurus, belanja agihan dan sebagainya. Bajet ini pula dibuat dengan mengambil kira unjuran pendapatan zakat yang bakal diperolehi. Dan ini sudah pastilah mengambil kira pelbagai faktor, misalnya keadaan ekonomi semasa, peningkatan kakitangan, peningkatan fakir miskin dan sebagainya lagi.

Apa yang dapat difahami, jika LZS (MAIS) diberikan bajet RM200 juta, maka LZS (MAIS) akan berbelanja sekadar RM200 juta. Daripada jumlah RM200 juta itu, LZS (MAIS) sudah merancang, termasuk pengagihan kepada lapan asnaf zakatnya. Tidak timbullah persoalan belanja tidak habis, kerana selalunya perbelanjaan khususnya kepada asnaf memang berlebih, yakni melebihi peruntukan bajet tahunan LZS (MAIS). Di pihak LZS (MAIS) pula, LZS (MAIS) tidak boleh memohon bajet yang terlalu besar, kerana dibimbangi pendapatan yang akan diperolehi pula tidak setimpal. Selalunya, LZS (MAIS) akan membuat bajet berpandukan unjuran jumlah kutipan yang bakal diperolehi pada penghujung tahun berkenaan.

Sementara itu, apa yang berlaku, pada setiap tahun kutipan akan meningkat. Peningkatan ini pastilah akan menyebabkan berlakunya lebihan atau diistilahkan baki ke atas wang zakat di LZS (MAIS). Ia sebenarnya bukanlah baki, kerana ia akan dibelanjakan pada tahun akan datang pula.

Di samping itu, lazimnya juga pada setiap tahun akan ada dua bulan pembayaran zakat berlaku dengan jumlah yang begitu besar, iaitu pada bulan Ramadan dan bulan Disember. Maka, seandainya LZS (MAIS) mahu membelanjakan kesemuanya sekali pun pada tahun yang sama, ia tetap tidak akan dapat dilakukan. Bagaimanakah LZS (MAIS) mampu menghabiskan wang yang begitu besar jumlahnya pada 31 Disember?

Kesimpulannya, LZS (MAIS) tidak bermaksud dengan sengaja mahu mewujudkan baki ke atas perbelanjaan zakat. Banyak aspek perlu diambil kira, khususnya demi memastikan setiap sen wang zakat benar-benar dapat dimanfaatkan seoptimumnya kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply