• Sat. Dec 5th, 2020

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Jadilah ayah dan ibu yang baik

Byadmin

Dec 9, 2010

Ayah yang baik, sentiasa melihat keperluan anak-anak dan keluarganya. Ia bermula dari saat ingin mencari teman hidupnya, seorang isteri yang kelak akan mengandungkan anak-anaknya. Sesungguhnya, seorang isteri itu amat mempunyai pengaruh yang cukup kuat dan berkesan ke atas diri anak-anak. Karakter si ibu mengalir terus kepada si anak, bersama-sama karakter si ayah yang terangkum-jalin secara kukuh di dalam rantaian DNA mereka yang mengalir di dalam urat nadi si anak.

Anak-anak perlu disantuni, bukan sekadar keperluan fizikal mereka; bahkan, keperluan rohani mereka lebih utama. Namun, kedua-duanya wajib seiring. Jika si anak diberikan nutrien atau pemakanan yang cukup gizi dan khasiatnya, ia pasti membantu tumbesaran tubuh badan dan juga otak yang sihat. Insya-Allah usaha itu akan melahirkan seorang anak yang kuat dan cerdas.

Namun, nutrien rohani juga tidak boleh dikesampingkan. Ia adalah iman yang dipupuk melalui penghayatan. Menghayati bahawa Allah itu ada, Allah tempat kita bermanja dan bermohon apa sahaja. Hakikat iman inilah yang paling sukar, ia adalah perkara ‘percaya.’ Orang yang ada ilmu tentang iman itu sendiri pun, belum tentu percaya.

Buktinya, berapa ramai manusia ahli kitab pada zaman nabi yang digambarkan Allah di dalam al-Quran, bahawa mereka membaca al-kitab dan mereka mengenali perwatakan nabi akhir zaman; namun mereka enggan beriman. Nah! Mereka itu berilmu, mereka tahu dan sedar; tetapi mereka tidak mempercayainya dan apatah lagi berusaha meyakininya.

Allah SWT nyatakan: “Dan (ingatlah) ketika ‘Isa ibnu Maryam berkata: “Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, membenarkan kitab sebelumku, iaitu Taurat, dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad). “Maka apabila rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata: “Ini adalah sihir yang nyata,” (as-Saff: 6)

Ops…kita sudah tersasar membicarakan perihal iman. Berbalik kita kepada perkara pokok, iaitu iman sebaga sebagai nutrien atau humus yang berperanan menyuburkan rohani dan akal budi anak-anak kita.

Kita tentu terbiasa mendengar, betapa ramai ibu bapa yang sanggup berhabis wang dan berbelanja besar demi pendidikan anak-anak. Tidak cukup dengan pendidikan formal di sekolah, mereka iringi dengan kelas tambahan yang pelbagai jenis sifatnya. Ada kelas khas untuk bahasa Inggeris, bahasa Mandarin bahkan bahasa Jepun dan Peranchis. Namun, jarang kita mendengar ibu bapa beriya-iya mahu menghantar anak-anak mereka ke kelas bahasa Arab…hairan juga kan?

Kita juga mungkin terbiasa mendengar ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke kelas khusus matematik demi menjadikan anak-anak mereka bijak dan pintar dalam ilmu hisab ini. Tetapi, kita jarang mendengar ibu bapa beriya-iya mahukan anak mereka mengambil kelas khusus agama, misalnya mendalami ilmu tauhid dan fikah, akhlak dan tasawuf dan sebagainya.

Peliknya, kelas-kelas agama yang khusus seperti itu pun belum tentu ada untuk ditawarkan kepada anak-anak kita. Mungkinkah kita beranggapan, apa yang diberikan di dalam sukatan pelajaran agama di sekolah sudah memadai? Maka cukuplah dan selebihnya nanti, mereka yakni anak-anak kita akan cari sendiri.

Itu belum lagi kita melihat, betapa bersungguh-sungguhnya ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke kelas belajar piano, biola dan gitar. Kemudian, betapa seriusnya mereka menghantar anak-anak belajar ilmu mempertahankan diri seperti taekwando, judo dan karatedo. Baguslah…anak-anak memang memerlukannya demi menjaga keselamatan diri.

Sayangnya, bagaimana dengan kekebalan iman yang membaluti hati mereka. Adakah iman mereka cukup kuat mendepani zaman yang serba gawat? Musuh fizikal boleh ditentang dengan tumbuk dan tendang; tetapi musuh ‘ghaib’ seperi iblis dan nafsu memerlukan jurus ‘iman’ sebagai penghalangnya.

Aduh…masih banyak yang perlu kita halusi dalam mendidik anak-anak. Oleh itu wahai ibu bapa, mulakanlah dengan segera pendidikan anak-anak kita sebagaimana yang digariskan oleh agama.

Pertamanya, didik mereka kenal Allah dan rasul-Nya. Kedua, didik mereka solat berjamaah dan patuhi segala adabnya. Ketiga, didik mereka membaca dan menghayati al-Quran sebagai pedoman bagi setiap yang bernyawa. Keempat, mesrakan mereka dengan amal Islami agar mereka faham, kehidupan adalah ibadah di sisi Tuhan. Kelima, dedahkan mereka kondisi Islam dan umatnya, agar mereka tahu cabaran dalam mendokong Islam pada hari muka bukanlah semudah yang disangka.

Wallahua’lam!

Related Post

Leave a Reply