• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Jakarta: Kota penuh survival

Byadmin

Jun 4, 2009

Hari Ke-2: 3 Jun 2009

Hari kedua, berpagian lagi Marul ke Universiti Indonesia. Saya dan Hanim dipelawa oleh Pak Syarif untuk mendapatkan perkhidmatan Iwan, supir rasmi kami tiga hari ini untuk ke mana-mana. Isteri Prof Salman kemudiannya memanfaatkan Iwan untuk ke lokasi menarik di sekitar kota ini. Saya dan Hanim akhirnya mengambil keputusan untuk membeli sedikit barangan keperluan di Giant yang terletak di Kompleks Veteran Perang Semanggi. Jaraknya hanya sepelaung dari hotel, namun saya harus keluar menerusi pintu utama dan menapak kira-kira 10 – 15 minit. Saya tidak berani mengambil jalan pintas memandangkan, ini tempat baru dan saya juga membawa baby.

Giant di Semanggi ini tidak banyak bezanya dengan apa yang ada di KL. Saya membeli susu, jus minuman, sehelai kemeja dan makanan ringan. Ongkosnya tidaklah mahal, hanya dalam beberapa ratus ribu rupiah dan saya membayarnya dengan kad kredit. Wang tunai saya simpan kerana Pak Syarif menjanjikan kami untuk membeli-belah di Tanah Abang, juga kami akan ke Puncak dan ke Bandung nanti. Saya menggendong Hanim dengan ‘carrier’ dan ramai yang menegur… “Mana maminya…?” Waktu makan tengah hari, saya hanya makan A&W. Saya juga pekena Teh Botol…yang khabarnya enak…hm…biase jer…

Sekembali dari Semanggi, kami keletihan. Sebelumnya, saya berhajat untuk bersantaian di Toko Buku Gramedia…tapi Hanim sudah meragam. Waktu tidurnya sudah sampai. Saya mematikan hajat dan bergegas ke hotel. Setelah memberi Hanim makan nestum dia menangis lagi, mahu tidur. Akhirnya kami berdua ketiduran dalam kecapekan, sehinggalah SMS isteri saya mengejutkan kami dalam jam 3 petang lebih kurang.

Saya mandi dan Hanim menangis lagi. Saya teringat, Hanim harus diberikan antibiotik. Pak Syarif memesan, harus tepat waktu. Akhirnya saya mendapat idea dan mencampurkan antibiotik itu bersama jus epal dan baharulah Hanim mahu meminumnya.

Petang, isteri menelefon agar saya ke Dapur Sunda di Jalan Cepetet Raya. Saya kemudian mengambil teksi dan kesempatan itulah saya sempat berbual panjang mengenai kehidupan warga kota ini.

“Hotel ini mahal pak…” Kata supir. Saya hanya tersenyum. Nanti saya dan isteri akan ‘claim’ kepada UKM…bisik hati saya. Namun, saya faham maksudnya…maknanya, bukan sebarang orang mampu menginap di hotel ini.

Di kota ini kata supir itu, seorang supir sepertinya tidak akan mampu untuk makan dan menikmati kehidupan mewah seperti mana yang saya sedang lalui. Apabila mengetahui semalamnya saya makan malam di Bakmi GM, dia berkata: “Itu tempat mahal itu…jika saya makan di sana, habis wang pendapatan saya sebulan hanya untuk semalam!”

Kami melewati jalan raya yang macat…ia memberikan ruang lebih selesa untuk bersembang.

“Di sini…orang kaya terus kaya. Orang miskin pula, amat miskin sekali. Puncanya, kerana orang kaya enggak suka memberi.”

Memang, saya saksikan sendiri perbezaan taraf hidup di antara golongan miskin dan kaya di sini. Rumah orang-orang kaya, sesetengahnya bak istana. Manakala, bagi rumah orang miskin…memang naif. Cuma saya kagum satu perkara, rumah-rumah di sini dihiasi dengan landskap yang cantik dan rumahnya ada seni yang tersendiri…

“Takkanlah mereka tak memberi, mungkin ada yang suka memberi…” Saya cuba memberikan andaian… “Tidak pak…mereka memang enggak memberi…!” Saya diam sejenak, menganalisis dan saya membiarkan tanpa jawapan…ini subjektif, kerana ini mungkin pandangan golongan bawahan. Saya hanya boleh membuat keputusan apabila mendengar dari kedua belah pihak.

Namun, mata saya menancapi pandangan yang mengiyakan keadaan di kota ini. Anda bayangkan, anak-anak kecil semuda 6 atau 7 tahun, bergelandangan di jalan raya pada waktu malam, mencari simpati agar diberikan wang. Hati kami meronta-ronta…kebetulan salah seorang daripada anak-anak kecil itu, ada yang iras wajahnya seperti anak ketiga saya, Huda…aduhai….sedihnya saya. Ke mana ibu bapa mereka…namun soalan lebih awla: Ke mana kerajaan yang dilantik sebagai wali mereka?

Anda tahu…saat ini di kota ini bahkan seluruh Indonesia sedang dilanda demam Pilihanraya Presiden. Empat calon menawarkan diri, Susilo Bambang Yudiyono (SBY), Jusuf Kalla, Megawati Soekarno Puteri dan ada seorang lagi yang saya tidak ingat namanya. Ada yang meramalkan Megawati bisa menang, alasannya dia mendapat dokongan kuat rakyat termiskin, kata Pak Syarif. Ada yang menyatakan SBY bakal melanjutkan pemerintahannya, kerana rekod bersihnya selama ini…ini kata Iwan. Manakala kata supir teksi, jika diletakkan turutannya, maka pertamanya SBY, keduanya Jusuf Kalla baharulah diikuti Megawati.

Apa-apa pun, saya hanya terfikir satu perkara, kenapakah tidak ada usaha serius menangani masalah anak-anak jalanan ini? Jika beginilah senarionya, maka tidak hairanlah jika ada di antara anak-anak ini diculik dan diseludup ke luar negara. Salah siapa?

Saya juga memikirkan aspek jurang kaya-miskin di kota ini. Akal waras kita pasti menolak, jika jiran sebelah kita miskin melarat sedang kita kaya lagi aparat. Namun inilah suasana di sini. Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, namun semuanya wajar datang dari pemimpin. Pemimpin di Indonesia mesti menjuarai isu-isu kebajikan rakyat. Contohilah Umar al-Khattab dan Saiyidina Ali, bagaimana mereka menyantuni rakyat bawahan. Jika tidak, rakyat sendiri akan bersikap tidak perduli atau kurang perduli, justeru pemimpin sebagai ‘role-model’ sendiri gagal menunjukkan tauladannya.

P/S: Foto enggak bisa dimasukin, justeru saya mengambilnya menggunakan hand phone Nokia saya, hanya handphone isteri saya boleh up-loadkan di sini… 🙁

Related Post

Leave a Reply