• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Jam 2.15 pagi…

Byadmin

May 20, 2009

“Pukul tiga pagi…embun turun, tidurlah dinda…kanda rindu…”

Apahal pula ni? Sebenarnya, awal pagi semalam saya dihubungi Puan Norazlin Mohamad, salah seorang Deejay Radio Salam.FM, minta ‘stand by’ jam 2.15 pagi.

“Nanti akak telefon, ready ye…”

Saya terkujat jadinya. “2.15 pagi akak…?”

“Alah…Mizul get ready je la, nanti akak nak tanya isu pergaulan bebas anak-anak remaja Islam…bagi ayat power sikit!”

Saya pun terpaksa bersedia. Menjelang jam 12.00 malam, mata sudah mengantuk. Saya memberitahu isteri, nanti 2.00 pagi saya harus bangun. Isteri yang ketika itu sibuk menanda kertas jawapan peperiksaan ‘student’ mungkin merasa lega, kerana saya akan tidur di ruang tamu dan sekali gus akan menemaninya.

Kira-kira jam 1.50 pagi, isteri saya mahu masuk tidur. Beliau mengejutkan saya agar bersedia. Seputar jam 2.00 pagi, Kak Lin menelefon. Bingkas sahaja saya memicit butang hand phone dan kami berkomunikasi.

“Assalamua’laikum…Tengah buat apa tu ustaz…?”

“Tengah baca buku…Halal dan haram dalam Islam, karya Yusuf Qardawi…”

Kami memulakan perbualan di udara. Memang saya sempat mencapai senaskhah buku, sambil menunggu sempat juga membaca sebaris dua ayat.

“Ustaz, tajuk kita pada malam ini mengenai pergaulan bebas remaja. Bolehkah ustaz berikan sedikit tazkirah…manalah tahu rancangan kita ini didengari oleh mana-mana remaja…”

‘Isk…2.15 pagi…ada ke remaja dengar…?’ Hati saya berbisik sendiri!

“Ya…assalamua’laikum dan selamat pagi kepada para pendengar Salam.FM. Bla…bla…bla…”

Antara initapati bicara 2.15 pagi saya ialah:

Satu: Allah SWT jadikan malam untuk istirehat, jadi jika ada remaja yang mendengar siaran ini dan mereka sedang melepak, maka baliklah ke rumah. Tidur.

Dua: Orang Islam yang baik, jika mereka berjaga di waktu begini, maka mereka tidak berpeleseran; tetapi mereka mendekatkan diri kepada Tuhan. Bertahajud misalnya…

Tiga: Jika remaja tidak hirau perasaan mak dan ayah hari ini, maka tunggulah saat ketika mana satu masa nanti mereka ada anak-anak, dan kala itu rasailah sendiri sakitnya perasaan bila diri tidak dihormati anak-anak.

Empat: Mak dan ayah kena berperanan, kawal anak-anak. Jangan lambak pelbagai kemudahan di rumah tapi tak kawal. Ada internet biar anak-anak melayari sendiri tanpa kawalan. Ada TV siaran berbayar, biar anak-anak tengok hingga larut malam. Salah mak dan ayah juga.

“Baiklah ustaz…terima kasih kerana sudi berkongsi sesuatu dengan pendengar Salam.FM pada pagi ini…terima kasih!”

‘Klik’…gagang telefon konti diletakkan. Saya bingkas bangun, ke bilik air, berwudhuk dan bertahajud dua rakaat. Bukan apa…tadi saya dah kata: “Remaja jika berjaga waktu-waktu begini, maka bukan untuk berlepak dan berpelesaran; tetapi untuk bertaqarrub kepada Tuhan!”

Takut saya hanya pandai berkata-kata; tetapi hanya sekadar kakak tua!

Related Post

Leave a Reply