• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Jangan berdusta ke atas nabi!

Byadmin

Oct 17, 2010

Tidak bermaksud menyalahkan sesiapa, tetapi itulah realitinya. Umat Islam di Malaysia khususnya, berhadapan dengan senario mempercayai bulat-bulat setiap apa yang dihadapkan kepada mereka dan didakwa sebagai ‘hadis’; tanpa mereka berusaha menyelidikinya. Rupa-rupanya, mereka beriman dan beramal dengan hadis palsu (hadis mauduk) yang tidak ‘sah tarafnya’ di sisi Islam.

Dahulu, saya juga enggan berusaha untuk menilai hadis mauduk ini. Seorang teman semasa di UKM dahulu, pernah membeli senaskah buku dengan tajuknya kira-kira, Himpunan Hadis Mauduk. Dia berniat mahu memetik hadis-hadis itu untuk dimuatkan di dalam surat-suratnya. Saat saya melihatnya, saya memberitahu bahawa itu bukanlah hadis; tetapi kata-kata yang direkacipta oleh manusia. Kemudian mereka menyatakannya sebagai hadis nabi.

Amat besar kesalahan mencipta sesuatu bidalan, pepatah atau apa-apa sahaja dan kemudiannya menyatakan, ia adalah hadis. Nabi memberi amaran, sesiapa yang merekacipta sesuatu hadis dan menyatakan ia adalah daripada rasulullah, maka mereka adalah pendusta. Allah SWT akan menyediakan kerusi khas kepada mereka di dalam neraka! (Rujuk sahih Ibn Hibban dan diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dan Muslim dan imam-imam hadis yang masyhur).

Hari ini, dalam keghairahan orang ramai mempelajari ilmu agama, maka tanpa sedar kadang-kala kita turut disogok dengan hadis-hadis palsu ini. Sesetengahnya amat popular. Misalnya, tuntutlah ilmu hingga ke negeri China. Ini adalah hadis palsu. Ia menjadi palsu kerana dalam sanadnya, ada kecacatan dalam kalangan perawinya. Maka, kita tidak boleh menyatakan ini adalah hadis nabi. Jika kita masih menyatakan ia daripada nabi, maka kita termasuk ke dalam golongan manusia yang mendustakan nabi dan akibatnya…wal’iyazubillah!

Banyak lagi hadis yang palsu ini atau bermartbat dhaif yang disandarkan kepada nabi. Misalnya hadis 9/10 sumber rezeki itu adalah daripada jalan perniagaan. Hadis ini amat popular, khususnya dalam kalangan mereka yang mempromosikan perniagaan jenis down line dan up line. Saya dulu pun disogok dengan hadis ini agar menyain borang menjadi down line… 🙂

Mengikut kajian para ulamak hadis, hadis 9/10 ini dikategorikan sebagai hadis mursal. Maksudnya, ia terputus pada tabiien sahaja, tidak sampai kepada sahabat atau sampai kepada nabi. Para tabiien itu terus menyandarkan hadis itu kepada rasulullah tanpa terlebih dahulu menyandarkannya kepada sahabat. Sedangkan para sahabat adalah mereka yang mendengar dan melihat langsung daripada nabi dan merekalah yang akan menyampaikannya kepada orang terkemudian, dalam kes ini pada golongan tabiien.

Apabila keadaan ini berlaku, maka hadis ini dianggap dhaif. Dalam nilaian hadis mursal, ia tidak boleh dijadikan hujah, melainkan ada beberapa syarat. Antaranya, ia hendaklah disokong oleh hadis-hadis lain yang bermartabat hasan dan sahih, ada perawi lain yang meriwayatkan hadis yang sama makna dengannya dengan syarat sanadnya tidak sama (bukan daripada satu sumber), menepati kata-kata atau fatwa daripada sahabat dan diamalkan oleh ulamak hadis dan para fuqahak.

Dalam diskusi bersama teman-teman sekuliah, hari ini masih kedapatan agamawan yang tanpa segan-silu memasukkan elemen hadis-hadis yang cacat ini ke dalam buku mereka. Entahlah…adakah mereka ini tidak terperasan atau sengaja memejamkan mata. Bagi saya, amat salah menjaja sesuatu yang bukannya keluar daripada lidah rasul atau bukan daripada perbuatan nabi, tetapi kita masih menyatakan ia adalah sunnahnya nabi. Bagi saya, ia adalah pendustaan yang wajib dielakkan. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply