• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

JANGAN CINCAI BERWUDHUK!

Byadmin

Feb 15, 2012

Nota: Ini adalah transkrip wawancara saya bersama wartawan Sinar Harian yang telah disiarkan dalam sisipan Rehal, Jumaat, 3 Februari 2012.

ABU HURAIRAH meriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda, “Apabila seorang hamba Muslim berwuduk lalu membasuh mukanya, keluarlah semua
dosa yang dilihat dengan matanya bersama air atau bersama titisan air. Apabila dia membasuh kedua-dua belah tangannya, keluarlah dosa yang dilakukan menggunakan kedua-dua belah tangannya bersama air atau bersama titisan air. Apabila dia membasuh kedua-dua belah kakinya bersama air atau berjalan yang dilakukan menggunakan kedua-dua belah kakinya bersama air atau bersama titisan air terakhir sehingga dia
benar-benar bersih daripada segala dosa”. (Hadis riwayat Muslim).

Rata-rata masyarakat kini memandang enteng persoalan dan perbuatan
berwuduk sedangkan wuduk yang sempurna menjamin kekhusyukkan solat. Kupasan demi kupasan mengenai cara dan kaedah yang betul dalam berwuduk sering kali menjadi halwa telinga serta topik perbualan dalam mana-mana majlis ilmu.
Dalam kesempatan ini REHAL bersama penceramah bebas, Hamizul Abdul
Hamid, 38, mengupas apa itu wuduk sebenarnya berdasarkan amalan dilakukan Rasulullah SAW yang hanya menggunakan satu gayung air sahaja (dalam hadis disebut satu mud) semasa berwuduk.
CH: WAJIB, SUNAT
Sebelum melangkah lebih jauh mengenai persoalan apa itu wuduk,
seseorang Muslim itu sepatutnya memahami bahawa wuduk adalah sebahagian daripada taharah (bersuci), yakni bab yang paling penting dalam agama Islam.

“Kenapa ia sangat penting? Ini kerana, suci itu ada dua iaitu suci lahir dan suci batin. Orang Islam mesti tahu, mereka perlu menjaga bukan sekadar kebersihan; tetapi juga kesucian. Maka, wuduk menjaga kedua-dua aspek ini.
“Ambil contoh pakaian. Kekadang kita pakai baju yang bersih; tetapi bagaimana kesuciannya? Jika ia dibeli daripada wang yang haram, maka dari aspek maknawi ia tidak suci. Atau jika semasa membasuhnya, pakaian itu terkena najis mughallazah (anjing dan babi) dan kita membasuhnya tanpa mengikut kaedah syarak, maka ia bersih tetapi tidak suci.

“Berbalik kepada soal wuduk. Ia berasal daripada bahasa Arab iaitu wada-a’ yang
bermakna terang, bersih atau cantik. ALLAH SWT telah berfirman di dalam surah al-Maidah ayat 6, memerihalkan tentang perbuatan wuduk ini,” kata Hamizul yang berasal dari Lenggong, Perak.

Menurutnya, daripada sudut istilah pula wuduk bermakna membersihkan diri dengan perbuatan yang tertentu, dengan niat tertentu, dengan syarat tertentu dan rukun yang tertentu. Maknanya, berwudhuk bukan secara suka hati. Ada kaedahnya dan ia sudah menjadi ketetapan sejak dahulu lagi.

Secara mudahnya, berwudhuk ialah meratakan air ke seluruh anggota yang wajib bagi menyucikan diri dan ia membolehkan kita melakukan ibadah yang tertentu. Sebabnya, ada sesetengah ibadah yang haram dilakukan jika tidak mempunyai wuduk (kerana dianggap masih menanggung hadas kecil).
Misalnya, haram bagi seorang Muslim itu solat tanpa wuduk; melainkan dalam keadaan darurat seperti ketiadaan air. Itu pun, individu berkenaan perlu bertayamum. Namun, mengambil wuduk menjadi sunat apabila diambil ketika hendak tidur dan melakukan perkara-perkara lain yang harus.
CH: JANGAN MEMBAZIR
“Masalahnya kini, kita dapati dalam kalangan umat Islam ialah, mereka hanya mengambil wuduk secara ikut-ikutan. Mereka mungkin belajar; tetapi tidak mendalaminya dan tidak pula berhati-hati ketika berwuduk. Merekaa tahu anggota mana yang perlu dibasuh, iaitu muka, tangan, kepala dan kaki; tetapi tidak tahu yang dikatakan muka atau wajah itu bahagian mana, apa sempadannya dan perlu dibasuh sehingga ke paras mana.

“Apabila kita membasuh muka, perlu diratakan hingga ke bawah dagu. Sempadan muka bermula di gigi rambut sehingga ke bahagian bawah dagu bukannya di bahagian depan sahaja, ia perlu diratakan,” kata Hamizul secara jelas.

Menurutnya, ada juga sesetengah orang yang tidak melihat apakah benda-benda yang menghalangi air untuk sampai ke kulit atau ke tempat yang sepatutnya. Contohnya, jika terdapat kotoran seperti cat di tangan, maka ia perlu dibuang terlebih dahulu. Jika jari kaki terlalu rapat, hendaklah diselati dengan jari agar sampai air. Bukan sekadar dijirus air sahaja.

Oleh itu, sesorang Muslim itu hendaklah lebih memerhatikan apakah caranya berwuduk itu bertepatan dengan cara yang sebenarnya. Mereka juga wajib menahan diri daripada membazir air semasa berwuduk, kerana ia perbuatan yang berdosa.

Nabi Muhammad SAW ketika melihat Saad bin Abi Waqas sedang berwuduk, Baginda bertanya: “buat apa kamu?,” lalu Saad menjawab: “aku berwuduk wahai Rasullullah”, “Jangan membazir”, pesan Rasul ALLAH. Nabi seterusnya menegaskan, jika seseorang itu mengambil wuduk di sungai yang mengalir sekalipun, mereka tidak boleh membazir dan hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibn Majah.
“Berdasarkan cerita daripada tuan guru semasa saya belajar dahulu, orang Arab menganggap orang Malaysia apabila berwuduk seperti itik dalam air. Ini kerana, penduduk negara ini suka membazirkan air sedangkan untuk berwuduk tidak memerlukan jumlah air yang banyak.

“Ikutilah cara Rasulullah mengambil wuduk dan ingatlah kesempurnaan solat bermula ketika kita berwuduk lagi. Jika sempurna wuduk kita, Insyaallah kesannya akan sampai ketika solat,” katanya lagi.

“Salah satu sebab kenapa ramai orang tidak khusyuk semasa bersolat adalah disebabkan wuduk yang tidak sempurna. Bayangkan, berbual sewaktu berwuduk dan sebagainya. Mana nak dapatnya kemuliaan dan ketenangan sewaktu bersolat.”

CH: RAHSIA

Sebenarnya, antara hikmah Islam mensyariatkan wuduk, agar umatnya terhindar daripada sebarang penyakit. Orang yang sentiasa berwuduk dapat membersihkan badan daripada kotoran dan sudah tentu individu itu akan sihat.
“Kita membasuh tangan semasa berwuduk memandangkan anggota ini adalah sumber kepada segala penyakit. Contohnya kita makan dengan menggunakan tangan dan makanan ini akan masuk ke dalam perut serta menjadi darah daging.
“Selain itu, wuduk juga mengajar kita untuk menjadi individu yang lebih berdisiplin dan bersifat hati-hati; tetapi bukan was-was, kerana sifat itu adalah bisikan syaitan, Nabi pernah bersabda jika kamu berwuduk tiba-tiba kamu mahu merasa terkentut, maka jangan dilayan. Sselagi ia tidak berbunyi atau berbau ia adalah perasaan kamu sendiri,” kata Hamizul
lagi merujuk kepada sebuah hadis riwayat Muslim.

Menurutnya, wajah Muslim yang sentiasa berwuduk juga akan kelihatan berseri-seri dan tenang apabila memandangnya. Sebagaimana kisah yang berlaku kepada Bilal bin Rabah, iaitu di dalam peristiwa semasa Israk Mikraj, semasa Nabi naik ke langit dan sampai ke syurga Baginda terdengar hentakan tapak kaki Bilal di hadapannya, Baginda hairan dan
sebaik kembali ke bumi, Kekasih ALLAH terus mendapatkan Bilal dan bertanya: “Wahai Bilal, ceritakan kepadaku dengan amalan paling baik engkau lakukan di sisimu dalam Islam. Sesungguhnya aku mendengar bunyi hentakan seliparmu di hadapanku dalam Syurga.” Jawab Bilal: “Aku tidak melakukan sebarang amalan yang paling aku harapkan di sisiku, (melainkan) aku tidak bersuci (berwuduk) pada satu-satu masa pada waktu malam atau siang melainkan aku akan solat dengan wuduk tersebut, dengan apa yang tidak diwajibkan bagiku untuk solat (aku sentiasa menjaga wudukku)” (Hadis muttafaqun alaih)

Begitulah kisahnya ganjaran pahala menanti Muslim yang mengambil wuduk secara sempurna.

Related Post

Leave a Reply