• Wed. Jan 20th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Jangan kelirukan non-muslim!

Byadmin

Nov 3, 2009

Pagi semalam saya di Ampang mengikuti satu kursus penyelidikan di Akademi Aidit. Seorang kenalan menelefon dengan nada sedikit jengkel: “Apa fasal JAIS tangkap Dr Asri?” Aik…apa yang nak saya jawap. Saya bukannya Ketua Pengarah JAIS atau Exco Agama Selangor. Atau setidak-tidaknya PRO JAIS…barulah saya boleh memberikan jawapan. Hmmm…saya terbayangkan wajah sdr Hidayat yang juga rakan baik saya, dia PRO JAIS dan semestinya dia tengah kelam kabut memikirkan jawapan di sebalik penahanan Dr Asri ini.

Saya tahu, JAIS menguatkuasakan peraturan. Tetapi, seperti mana kata ramai orang, penguatkuasaan selalunya memerlukan kebijaksanaan dalam iplementasi. Samalah kita memarahi polis membuat sekatan jalan raya pada jam 5.00 petang di Jalan Tuanku Abdul Rahman atau MRR2 di Kuala Lumpur…kata orang, “gilo apo ekau ni jang…!” Maknanya, penguatkuasaan disertai kebijaksanaan akan menghasilkan kesempurnaan. Di sinilah kurangnya dalam kes Dr Asri – tidak bijak dan akhirnya mendatangkan keburukan.

Saya tersenyum mengenangkan, seorang bekas mufti…ya, apa laa lagi jawatan terutama di dalam ranking institusi agama di sesebuah negeri atau negara melainkan MUFTI…jika di Selangor, muftinya bergelar Sahibus Samahah Dato’ Seri Diraja…mak aih…bukannya calang-calang gelaran. Sultan yang melantik mufti, maknanya jika dalam kes Dr Asri, adakah penangkapan ini suatu PENGHINAAN kepada sultan Perlis? Hanya Ketua Pengarah JAIS mampu menjawabnya.

Bagi yang prihatin, Dr Asri memang dikenali sebagai ulama muda yang progresif dan out-spoken. Sepanjang beberapa tahun menjawat jawatan mufti, beliau lantang memperkatakan pelbagai isu yang selama ini disepikan begitu sahaja. Misalnya isu menukarkan nama ayah kepada seseorang muallaf. Isu ini sensitif. Saya masih ingat sangat, rakan saya di Saba’ Islamic Media yang kini begitu popular – Shah Kirit bin Kakulal Govindci (anda boleh lawati blognya di sini), menceritakan bahawa antara halangan bagi saudara baru ialah mereka seolah-olah ‘dipaksa’ memutuskan ikatan kekeluargaan dengan bapa kandung mereka, kerana dipaksa menggunakan bin ABDULLAH!

Di dalam satu ceramah beliau yang saya ikuti, Shah Kirit pernah berdebat dengan pegawai jabatan agama dan pehawai di jabatan pendaftaran negara, apabila mereka berkeras menyuruh beliau menukarkan nama asalnya dan nama bapanya. Shah berhujah, jika nama bapa wajib ditukar, kenapa Saiyidina Ali masih berbinkan Abi Talib dan Ikrimah masih berbinkan Abu Jahal…kenapa Nabi Muhammad saw tidak menukarkan nama mereka kepada bin Abdullah?

Kata Shah, dia sendiri berjuang berhempas pulas demi mengekalkan nama ayahnya. Bahkan, apa yang menarinya, ayah beliau terharu apabila melihat Shah masih mengekalkan namanya di hujung nama Shah Kirit, kerana sangka bapa Shah Kirit, Islam akan memutuskan tali perhubungan kekeluargaan di antara mereka.

Nah! Apabila Dr Asri membangkitkan isu ini, ramai yang melompat bagaikan diketik sang kongkiak! Padahal, Dr Asri berhujah dengan nas yang jelas, ada sandarannya. Bukan direka-reka dengan kepalanya sendiri. Sedangkan, mereka yang menolak selalunya beralaskan emosi.

Begitu juga soal memberi dan menjawab salam kepada non-Muslim. Selama ini kita diajar, jangan menjawab salam dari orang non-muslim. Bahkan semasa kecil dahulu, saya pernah bertanya kepada seorang guru agama: “Bolehkah kita doakan orang kafir?” Jawabnya: “Hish! Mana boleh…mereka itu kafir, mana boleh doakan kebaikan buat orang kafir.”

Saya jadi konflik. Kerana, dalam seerah menunjukkan nabi SAW sendiri berdoa agar Allah SWT memperkuatkan Islam dengan memasukkan salah seorang di antara dua Umar ke dalam Islam. Bahkan Nabi SAW juga berdoa untuk pamannya Abu Talib yang jumhurnya menyatakan tidak Islam. Aduh…pening saya. Saya yakin, ajaran guru agama saya itu tidak tepat. Jika kita tidak boleh mendoakan seorang kafir, bagaimana saya nak doakan agar mereka menerima Islam…sedangkan Nabi SAW sendiri mendoakan sedemikian. Bahkan saya juga diajar, jika non-muslim memberi salam, maka jawablah dengan ‘alaikum…sam’!

Adakah saya seorang sahaja yang pening? Tidak…pasti ramai lagi yang pening. Maka, saya menelaah. Tidak cukup dengan itu, apabila seseorang yang berstatus Mufti memberikan jawapan, pasti sahaja ia adalah lebih memudahkan. Maka, akhirnya baru ramai tersedar…memberi dan menjawab salam dengan non-muslim, ada yang mengharuskannya! Anda boleh mencapai artikel salam ini di sini.

Sebenarnya apa agenda di sebalik penahanan ini? Ya…inilah yang masih diragui. JAIS kini di bawah negeri Pakatan…adakah ini semua untuk menimbulkan waham dengan Pakatan? Ini serkap jarang setengah orang. PM pula memberikan respons sangat positif, bahawa dia tidak nampak rasional di sebalik penahanan Dr Asri. Kata orang lain pula, adakah PM bermain reverse psychology di sini? Aduh…tolonglah…saya hanya bimbang jika semua ini lebih mengelirukan non-muslim. Apa untungnya kepada kita. Jika saya menjadi Ketua Pengarah JAIS, inilah ungkapan saya:

“Maaflah, nampaknya tindakan JAIS agak kurang cermat di sini. Maka, saya mengisytiharkan Dr Asri diberikan permit dan tauliah menyampaikan kuliah dan ceramah di Selangor…” 

HABIS CERITA!

Related Post

Leave a Reply