• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

JANGAN MEMBAZIR, MASIH RAMAI YANG FAKIR

Byadmin

Oct 25, 2011

Malaysia ini negara yang mewah. Kehidupan rakyat Malaysia, umumnya senang-lenang. Amat jarang kita bertemu dengan orang yang tiada berumah, mendiami kolong jambatan, menempati bangunan tinggal dan tidur di kaki lima bangunan. Malam berselimutkan embun yang dingin, berlantaikan simen yang terjal dan beratapkan langit yang pudar. Miskin orang Malaysia, masih ada rumah. Bahkan masih boleh membeli jajan dan mainan buat anak-anak.

Lalu teringat penulis kala mengunjungi Phnom Penh, Kemboja tidak lama dahulu. Awal-awal pagi selepas menunaikan solat Subuh berjemaah di bilik hotel, penulis mengajak teman sebilik mengambil udara pagi yang segar di tebingan Sungai Mekong. Pagi itu, cuaca agak baik dan mentari sesekali memanah wajah kami. Waktu sememangnya masih awal di Phnom Penh, jarum jam baharu menjengah ke angka tujuh. Tetapi, matahari makin galak bersinar.

Dalam kesempatan berjalan dari hotel ke Sungai Mekong, kami melewati jalanan yang agak kumal, lembab dan basah. Adakalanya, bau hancing mendera deria bau. Baharulah kami dapat melihat sendiri sekelumit kehidupan rakyat Kemboja. Ramai juga yang tidak berumah, mereka tidur di bawah pokok, di atas tilam yang dibentangkan di atas aspal atau di dalam tut-tut beroda empat yang siangnya mereka gunakan sebagai kenderaan pengangkut orang; dan malamnya dijadikan ‘kamar beradu’ melepaskan kelelahan.

Bahkan, pernah pada masa yang lain saat penulis dan teman-teman bersantaian di hadapan Istana Raja Kemboja yang megah mengadap Sungai Mekong, kami didatangi peminta sedekah. Seorang wanita tua yang berpakaian lusuh dan comot. Dia mendatangi seorang demi seorang. Dia berbahasa Khmer. Saat penulis memberikan wang dollar kepadanya, dia mengucapkan sesuatu dalam bahasanya. Penulis tidak memahaminya; namun mungkin itu adalah ucapan terima kasih yang tidak terhingga.

Pendeknya, melihatkan semua keadaan itu, menyedarkan penulis bahawa kemiskinan masih menjadi barah di banyak bahagian dunia. Sebab itulah, apabila menjamah makanan di hotel berbintang, penulis sering merasa sayang apabila melihat makanan yang tidak habis dimakan lalu dibuang. Bukan sekadar itu, kekadang penulis menjadi bimbang, andai hari ini kita tidak sensitif dengan pembaziran, apakah akan tiba masanya kita pula diuji dengan kekurangan makanan?

Firman Allah SWT: “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,” (al-Baqarah: 155).

Cuba kita lewati ke pasar-pasar basah di negara kita. Kebetulan penulis sendiri tinggal berdekatan dengan sebuah pasar borong, maka selalu penulis melihat, penjual dan pemborong bahan mentah makanan, kadang kala sanggup mencampakkan bahan-bahan mentah itu begitu sahaja bila tidak habis dijual dan dianggap sudah ‘busuk’ atau ‘expired.’ Buah betik, tembikai, mempelam, pisang dan sayur-sayuran. Hakikatnya, ia adalah barang makanan yang masih lagi elok dan bukankah itu juga satu pembaziran?

Inilah cabaran kepada kita, yang hidup di sebuah negara yang boleh dianggap makmur, mewah dan cukup segalanya. Bahkan, kadang kala orang miskin di negara kita, sungguh pun miskin tapi wajah mereka berisi dan badan mereka tidak kurus melidi. Pakaian yang menyalut badan mereka juga, adakalanya cantik dan kelihatan mahal. Penulis yakin, jika mereka ke Kemboja dan melewati perkampungan orang miskin di sana, maka mereka pasti dianggap orang kaya.

Maka, pastilah kita perlu waspada. Jangan sampai pembaziran yang kita lakukan hari ini, kelak mengundang murka Allah SWT. Apa salahnya, jika ke hotel maka kita makan ala kadar sahaja. Jangan ambil mengikut kehendak mata; sedangkan perut sudah tak larat mengisinya. Apa salahnya, jika kita membuka restoran dan kedai makan, maka makanan yang masih elok berbaki dipanaskan lalu disedekahkan ke surau dan masjid, atau ke mana-mana yang sesuai. Apa salahnya, jika buah-buahan sudah naik hitam tidak terjual, lalu disedekahkan segera agar tidak membusuk lalu dibuang begitu sahaja.

Pendek kata, jalan-jalan untuk menyelamatkan makanan itu daripada menjadi habuan tong sampah dan dibuang begitu sahaja masih banyak tersedia. Cumanya, kadang kala kita mungkin terfikir tentang untung dan rugi, bimbang nanti orang akan menunggu untuk diberi daripada membeli. Kita mungkin bimbang, makanan yang kita beri lebihan masakan di kedai dianggap mengina jemaah masjid. Itu fikiran kita, sedang hakikatnya mungkin sebaliknya.

Allah SWT memerintahkan kita agar tidak membazir. Membazir adalah saudara Syaitan, orang membazir dibenci Tuhan. Manusia pembazir, rezeki mereka akan menjadi saksi di akhirat terhadap pembaziran mereka di dunia. Pendeknya, membazir boleh menjadi punca seseorang masuk neraka, wal i’yazubillah.

Daripada Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).” (Hadis riwayat Bukhari)

Kesimpulannya, dalam kehidupan ini, fikir-fikirkanlah betapa masih begitu ramai orang fakir, miskin dan menderita tidak cukup makanan di luar sana. Maka, masakan kita masih tega membuang makanan begitu sahaja?

*Artikel ini disiarkan majalah Midi

Related Post

Leave a Reply