• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Jawapan kepada Shahrul Shafie

Byadmin

Aug 29, 2012

Nota: 14 Ogos, Shahrul Shafie telah menulis di dalam portal Themalaysianinsider.com dan menegur pengurusan zakat dan secara langsung menulis nama Lembaga Zakat Selangor sebagai institusi yang tidak kompeten menyelesaikan pelbagai isu zakat. Tulisan ini adalah respons saya kepadanya yang disiarkan oleh portal yang sama pada 16 Ogos 2012.

Oleh: Ustaz Hamizul Abdul Hamid

16 OGOS ― Saya mulakan jawapan ini dengan menuturkan satu firman Allah SWT yang bermaksud: “…maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu (yang mengetahui), jika kamu tidak mengetahui,” (al-Anbiyaa’: 7).

Sekilas saya menelusuri penulisan Shaharul Shafie saya merasa begitu dangkalnya pandangan beliau. Maaf, ia tidak sepatutnya terjadi sedemikian rupa jika Shaharul terlebih dahulu beramal dengan ayat al-Quran di atas.

Apalah salahnya jika Shaharul mengangkat telefon dan bertanya kepada pihak institusi zakat, khususnya Lembaga Zakat Selangor(LZS) mengenai pelbagai perkara yang dimusykilkan. Ataupun jika enggan berbuat demikian, maka Shaharul boleh sahaja melayari pelbagai saluran informasi yang ada.

Di LZS, Shaharul boleh melawati portal zakatnya yang informatif, atau berdikusi langsung lewat blog dan Facebooknya yang interaktif. Saya yakin, jika Shaharul melewati fasa pencarian ini terlebih dahulu, pastinya perspektif negatif yang menyelubungi pemikian Shaharul akan tercerahkan.

Sebagai umat Islam yang komited kepada agama, kami di institusi zakat sentiasa meraikan pandangan dan teguran yang membina. Bagi kami, teguran mampu menatijahkan kebaikan. Namun, janganlah teguran dilontar tanpa usul periksa, kerana ia akan menjadi bahan fitnah. Terlalu banyak singgungan Shaharul yang bagi saya, tidak berpijak di bumi yang nyata dan sekaligus, saya khuatir ia menjadi fitnah yang berdosa.

Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (prasangka) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa,” (al-Hujurat: 12).

Realitinya, tidak benar andai mengatakan kami hanya duduk-duduk sahaja di kerusi empuk berhawa dingin di pejabat zakat. Kami di institusi zakat, khususnya di LZS, sering turun padang mencari mereka yang memerlukan bantuan.

Saya tidak tahu adakah Shaharul baharu balik dari luar negara sehingga tidak tahu mengenai hal ini. Ini kerana, aktiviti turun padang LZS sering mendapat tempat di dada media. Baharu sahaja LZS menjalankan Ops Jejak Kemiskinan, yang memfokuskan kemiskinan bandar.

Begitu juga, apakah Shaharul telah menjalankan kajian mengenai corak agihan zakat di LZS? Saya khuatir Shaharul hanya main serkap jarang sahaja.Hakikatnya, di LZS memang tidak berlaku pengumpulan wang zakat melainkan ia hendaklah diagihkan pada tahun semasa. Bahkan kami mempunyai KPI bukan sekadar sasaran kutipan; bahkan juga KPI mengagih zakat.

Sekadar contoh, tahun 2011 lalu kutipan zakat ialah kira-kira RM394 juta dan LZS mengagih sekitar RM372 juta. Graf agihan zakat di Selangor sentiasa meningkat secara berkadar langsung dengan kutipan zakat dan saya tidak fikir Shaharul tidak tahu membaca graf sedemikian. Shaharul boleh mendapatkan bahan ini menerusi Laporan Tahunan Pengurusan Zakat Selangor jika perlu.

Mungkin juga Shaharul menyangka, lebihan atau perbezaan antara angka kutipan dan agihan itulah yang menandakan pihak institusi zakat sengaja tidakmenghabiskan zakat pada tahun semasa dan ia juga bukti ketidak cekapan bekerja. Hakikatnya, wajar Shaharul fahami bahawa bulan Disember khususnya pada setiap 31 Disember, ia adalah antara bulan tertinggi kutipan zakat dan mustahil pihak pengurusan zakat dapat menghabiskan kutipan berjuta ringgit dalam tempoh sehari semalam.

Shaharul juga harus tahu, institusi zakat seperti LZS bergerak di atas landasan bajet tahunan yang sudah disediakan lebih awal. Bajet itu pula sesuai dengan unjuran kutipan dan pihak institusi zakat hendaklah bergerak seiring bajet berkenaan. Ertinya, bajet agihan disusun berdasarkan berapa jumlah kutipan yang mampu dibuat pada tahun berkenaan. Cumanya, Alhamdulillah kutipan zakat di Selangor sentiasa melampaui sasaran, misalnya disasarkan RM350 juta, yang berjaya dikutip RM390 juta.

Apakah menjadi satu kesalahan apabila pihak institusi zakat berjaya membuat kutipan melebihi sasaran? Bahkan, biasanya lebihan kutipan ini akan dibelanjakan kembali pada tahun berikutnya demi kepentingan semua asnaf zakat. Shaharul juga harus berfikir, kenapakah kutipan zakat di Selangor terus meningkat? Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah manifestasi keyakinan umat Islam kepada ketelusan agihan zakat di negeri ini.

Benarkah dakwaan Shaharul bahawa fakir miskin tidak berkurangan di Selangor? Shaharul mungkin merasa pelik, kenapa kemiskinan tidak pernah surut. Saya cadangkan Shaharul merujuk kepada alim ulama kenapa sepanjang zaman fakir dan miskin akan sentiasa ada. Jangankan zaman ini, sebaik-baik zaman semasa Nabi Muhammad SAW masih ada pun, golongan fakir dan miskin ini juga ada bersama baginda. Adakah nabi gagal memanfaatkan kekuatan zakat?

Ertinya, walaupun sehebat mana kutipan zakat, tiada jaminan kemiskinan boleh dihapuskan secara total. Ia sudah menjadi sunnatullah, bahawa disediakan orang-orang miskin agar orang kaya mampu melestarikan hartanya. Mungkin Shaharul mahu membandingkan zaman pemerintahan Saiyidina Umar Abdul Aziz. Namun, benarkah zaman baginda langsung tiada orang miskin?

Dalam hal ini, saya lebih cenderung bahawa tiadanya kemiskinan kala itu bukanlah disebabkan tiada orang miskin; melainkan mereka mempunyai kekayaan jiwa. Natijahnya, mereka merasa malu untuk menzahirkan kefakiran bahkan sebaliknya sentiasa mendahului orang lain dalam urusan kebajikan. Hal ini tidaklah menjadi pelik, kerana orang-orang yang kaya hati atau jiwa inilah disebutkan oleh Nabi SAW sebagai kaya yang sebenar.

Nabi SAW menyatakan: “Tidaklah dinamakan kaya itu dengan banyaknya harta; sesungguhnya kaya yang sebenar ialah kaya jiwa,” (hadis muttafaqun alaih).

Saya juga melihat, Shaharul gagal memahami maksud dan keperluan bagi pihak pengurusan zakat untuk mengurus harta zakat dengan baik, amanah dan penuh akauntabiliti. Benar, pihak amil hanyalah pemegang amanah. Dek kerana namanya memegang amanah itulah, maka para amil perlu memastikan hanya mereka yang benar-benar merupakan asnaf zakat sahaja yang berhak dan layak disantuni seoptimanya dengan wang zakat.

Andai pihak amil gagal mengendalikan harta zakat dengan baik, sehingga menyebabkan berlakunya ketirisan dan kegagalan membina ummah, maka Nabi Muhammad SAW awal-awal lagi menyatakan, dosanya akan dipikul oleh para pengurus zakat. Inilah beban yang menunggu para pengurus zakat, di dunia mungkin boleh terlepas; namun di akhirat tidak akan sekali-kali dibiarkan Allah SWT.

Suatu hari seorang pemuda datang menemui nabi dan bertanya, andai dia menyerahkan harta zakatnya kepada amil utusan Rasulullah SAW dan kemudian si amil menyeleweng, maka adakah dia dikira masih berhutang di sisi Allah? Nabi menjelaskan, tanggungjawabnya sudah selesai dan orang yang menyeleweng itulah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT kelak (mafhum hadis riwayat Ahmad).

Maka, salahkah jika disediakan borang, tatacara dan prosedur tertentu yang maksudnya hanya untuk memastikan pengagihan zakat tidak tersasar. Dalam dunia ini, semua perkara harus dilaksanakan dengan beradab, jangankan untuk memohon bantuan zakat mesti mengisi borang, mahu menikah pun banyak borang tersedia wajib dipenuhkan. Tujuannya bukan untuk menyusahkan; namun memastikan semuanya berjalan betul sesuai dengan kehendak syariat.

Bagi isu pemurtadan umat Islam, Shaharul nampaknya terlalu semberono menuduh pihak institusi zakat gagal berperanan. Hakikatnya, isu murtad adalah berkait rapat dengan undang-undang dan keseriusan perlaksanaan atau penguatkuasaan undang-undang. Pihak zakat hanya mampu berperanan sekadar termampu dan setakat ini, ramai umat Islam yang hampir dimurtadkan berjaya diselamatkan.

Kisah-kisah muallaf dan golongan yang hampir dimuatkan ini ada disiarkan dalam pelbagai media, misalnya jika di LZS adanya sebuah majalah dalaman bernama Asnaf. Bahkan kisah mereka turut diisi dalam akhbar dan internet. Andai Shaharul bijak menyelongkar, pasti Shaharul akan terjumpa kisah-kisah tragis ini. Pokoknya hendaklah rajin dahulu dan tidak menunding jari dengan melulu.

Akhirnya, saya merasa begitu pelik dengan seruan Shaharul agar umat Islam tampil menunaikan sendiri zakat mereka tanpa perlu melalui mana-mana institusi zakat. Tidakkah Shaharul sedar, seruannya itu amat menyalahi pandangan jumhur ulama besar Islam, bahkan hampir muafakat dalam kalangan fuqaha bahawa urusan zakat adalah urusan pemerintah Islam.

Shaharul wajar membaca kitab-kitab fiqh, ataupun setidak-tidaknya bertanya kepada para ustaz, apakah ertinya amil yang disebutkan Allah SWT dalam ayat 60 surah at-Taubah? Apa pula perkaitan perintah Allah kepada Nabi Muhammad SAW dalam ayat 103 surah yang sama? Begitu juga dengan peristiwa perlantikan para amil oleh Nabi Muhammad SAW. Shaharul juga wajar mengkaji kisah Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq memerangi golongan riddah yang termasuk di dalamnya kumpulan pengengkar zakat.

Ini semua adalah bukti bahawa zakat urusan pemerintah. Terlalu panjang hal ini jika mahu diperbahaskan di sini. Shaharul boleh membuka pelbagai kitab zakat untuk mendapatkan jawapannya. Namun, janganlah kerana kedangkalan sesuatu pandangan, menyebabkan suatu sunnah yang jelas dititipkan oleh Rasulullah SAW, akhirnya dilanggar orang. Siapakah yang akan menanggung akibatnya?

Kesimpulannya, penulisan Shaharul yang tersiar pada bulan Ramadan ini nampaknya tidak bersifat ilmiah dan wacana intelektualnya boleh dipertikaikan. Alangkah baiknya jika Shaharul menyarankan pelbagai penambahbaikan yang mampu dilakukan. Ataupun jika mahu memberikan teguran, maka berikan teguran yang bernas, disandarkan kepada data dan fakta yang jelas. Jangan sampai tulisan kita dipertikaikan pembaca, kerana hari ini setiap apa yang dihidangkan, terbuka kepada 1001 perbandingan dan kritikan. Wallahua’lam.

* Hamizul Abdul Hamid adalah pengamal zakat di Malaysia dan sering menulis di pelbagai media mengenai isu-isu zakat dan harta.

Related Post

Leave a Reply