• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Jika bermazhab, jangan keterlaluan

Byadmin

Mar 28, 2011

Ini kisah masyarakat Islam. Khususnya di Malaysia. Sebut negara Malaysia, sudah sinonim bahawa Melayu itu Islam. Ini digazetkan di dalam al-Quran…opsss, tidak; tetapi digazetkan di dalam Perlembagaan Malaysia. Perlembagaan Malaysia atau Persekutuan dalam Artikel 160 telah mentakrifkan pelbagai istilah yang digunakan dalam Perlembagaan Malaysia. Antaranya, menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, berbudaya Melayu dan berbahasa Melayu (bukannya Bahasa Malaysia!)

Baiklah, kenapa dengan masyarakat Islam Malaysia? Apa yang saya ingin sentuh ini, adalah mengenai mentaliti ‘katak bawah tempurung’ segelintir umat Islam di Malaysia. Yang sekali lagi, jika disebut umat Islam Malaysia, mereka bukan sahaja berbangsa Melayu tetapi juga lazimnya bermazhabkan Syafie.

Pengalaman menunjukkan, majoriti umat Islam di Malaysia terlalu naif dalam mendepani perubahan global. Perubahan global ini menyaksikan, penghijrahan atau migrasi umat Islam seantero dunia berlaku secara luar kawalan dan tanpa sekatan. Sebagai contoh, dahulu di Malaysia hanya didominasi oleh rakyat Indonesia, namun hari ini kita berhadapan dengan rakyat Bangladesh, Myanmar, Kemboja, Afrika, Arab dan sebagainya.

Kemajmukan ini, bukan sekadar membawa impak kepada budaya; tetapi juga aspek fikah dalam beragama. Teringat penulis, betapa ada orang bising-bising saat mereka menyudahi solat berjamaah di sebuah masjid; namun usai memberi salam selepas solat, si imam tidak melanjutkannya dengan zikir dan doa. Kata mereka, imam ini berfahaman luar biasa. Mirip apa? Mungkin lebih mirip kepada Wahabi atau Salafi.

Maka, berkembanglah persepsi serong terhadap amalan dalam ibadah ini kepada pelbagai perkara. Misalnya, si fulan itu tidak membaca qunut kala solat Subuhnya, si fulan itu tidak menyapu tangan ke wajahnya selepas memberi salam dalam solatnya, si fulan itu tidak membaca bismillah sebelum memulakan bacaan al-Fatihah dalam solatnya dan pelbagai isu lagi. Termasuklah, si fulan itu menyentuh isterinya dan terus solat tanpa memperbaharui wuduknya!

Isu-isu ini adalah silang mazhab. Kepelbagaian anutan fikah dalam beribadah, menghasilkan kepelbagaian rupa amalan. Namun, adakah salah bagi mereka yang berbuat demikian. Misalnya, adakah kita wajar memarahi seseorang yang tidak berqunut dalam solat Subuhnya? Atau wajarkah kita memarahi seorang lelaki yang enggan berzikir dan berdoa selepas solat?

Sebenarnya, umat Islam hari ini perlu memeriksa amalan mereka, adakah ia lebih menghampiri amalan sunnah Nabi Muhammad SAW atau sebaliknya. Dalam masa yang sama, jika kebetulan amalan mereka tidak sama dengan orang lain, jangan cepat-cepat menghukum, memberikan kritikan dan memperlekehkan amalan. Masing-masing orang yang bermazhab, maka mazhab mereka bukanlah dicipta di tepi jalan. Sumber ambilan hukum mereka tetap sama. Sama ada Syafie, Maliki, Hambali atau Hanafi, semunya bertumpu kepada al-Quran dan as-Sunnah. Namun, kefahaman yang berbeza menghasilkan hukum yang berbeza.

Mari kita ambil contoh, menurut pandangan Imam as-Syafie, persentuhan antara lelaki dan wanita (khususnya suami dan isteri) adalah membatalkan wudhuk. Imam Syafie tidak salah, kerana Ibnu Umar dalam menjustifikasikan ayat 43 daripada Surah an-Nisa’, telah menyatakan bahawa maksud persentuhan di dalam ayat itu, adalah persentuhan biasa. Seperti mana tangan bersentuh tangan, tanpa sebarang alas dan lapik. Maka, beliau menganggap batal wudhuk.

Namun, Ibnu Abbas dan Ali bin Abi Talib menanggapi secara berbeza. Mereka menyatakan, ‘mulamasah’ atau persentuhan itu adalah bermaksud jimak. Maka, jika sekadar berlaku sentuhan dan tidak disusuli jimak, tidak batal wudhuk seseorang.

Pandangan mereka ini diperkuatkan oleh beberapa hadis yang diriwayatkan oleh guru besar hadis Ummahatul Mukminin Aisyah r.ha. Menurut beberapa hadis yang disampaikan Aisyah r.ha. (yang menurut al-Albani sebagai sahih dan kebanyakannya diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim di salam sahih mereka), bahawa pernah terjadi beberapa kali insiden nabi menyentuh akan isterinya, sama ada ketika solat malam atau ketika mahu mengimamkan solat; namun nabi tidak pula membatalkan solatnya atau mengambil semula wudhuknya.

Akhirnya, Hanafi, Hambali dan Malik mempunyai pandangan yang berbeza dalam menilai ‘sentuhan’ yang disebutkan di dalam ayat al-Quran itu. Bagi Hanafi, tidak batal wudhuk jika bersentuhan dengan mana-mana wanita, sekali pun semasa bersentuhan itu menimbulkan keinginan atau nafsu syahwat. Manakala, Maliki beranggapan, wudhuk hanya akan terbatal jika sentuhan itu menimbulkan perasaan ‘sedap’ kepada pelakunya. Ahmad bin Hanbal juga menyetujui pandangan ini.

Maka, jika diteliti kepada semua pandangan, para imam mazhab tidaklah semberono mengeluarkan hukum. Mereka menyandarkan kefahaman terhadap kehendak ayat al-Quran menerusi al-hadis yang disampaikan oleh para sahabat nabi. Memang dalam kaedah tafsir al-Quran, al-hadis adalah sandaran utama bagi memahaminya. Oleh kerana ada sahabat yang berbeza pandangan, maka ia memberikan pandangan yang berbeza juga kepada para fukahak.

Sepatutnya, perselisihan ini tidak perlu menjadi lebar dan mencetuskan rasa tidak enak. Salah seorang guru saya, dalam memberikan petua mengenai amalan fikah, menyarankan agar kita mencari yang mana lebih dekat dengan sunnah. Apabila kita sudah yakin, maka beramallah. Apa yang salah, beramal tanpa panduan sunnah. Itulah yang salah dan itulah yang patut diperangi, bukannya orang-orang bermazhab lain yang istiqamah dalam ibadahnya. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply