• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kad Kredit Konvensional itu haram

Byadmin

Feb 3, 2010

Persoalan halal dan haram dalam urusan harta dan jual-beli nampaknya sudah tidak begitu dihiraukan mutakhir ini. Saya akui, akhir zaman ini memang susah mengelakkan hal-hal yang bersangkutan dengan perkara haram. Apatah lagi jika ia melibatkan jual-beli termasuklah dalam urusan atau pembiayaan bank. Sama ada pembiayaan (pinjaman) peribadi, hartanah, kereta mahu pun kad kredit. Teringat pengalaman lalu, saya sendiri pernah dipromosikan agar melanggan kad kredit konvesional oleh seorang ejen beragama Islam. Apabila saya menanyakan, adakah ia kad Islamik atau konvensional, dengan selamba dan tanpa rasa bersalah, si ejen menerangkan: “Memang kad ini kad konvensional; tetapi banyak kelebihannya!”

Selaku muslim yang pada prinsip asasnya adalah wajib tunduk, patuh dan taat kepada segala arahan dan larangan Allah SWT, maka jelas sekali hal seperti ini adalah melanggar prinsip asasi. Manusia yang iltizam dan istiqamah memegang prinsip pasti akan teringat kepada teguran Allah SWT dalam menjelaskan bab halal dan haram ini, sebagaimana firman Allah SWT: “Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba,” (al-Baqarah: 275)

Persoalan riba bukan soal baharu. Amalan riba dipercayai telah wujud sejak zaman dahulu-kala lagi, yakni sejak sebelum pembukaan Kota Madinah oleh nabi. Saat itu Yahudi yang menguasai pasar di Yathrib telah mengekploitasi bangsa Arab dengan mengenakan riba dalam urusan jual-beli mereka. Riba ini zalim, kerana ia bersifat menekan.  Hutang yang sedikit menjadi setinggi bukit apabila dikenakan riba. Pinjaman yang pokok menjadi sebesar perdu senduduk dengan sebabnya riba. Maknanya, urusan jual beli dengan berlandaskan riba adalah menganiayai orang lain. Apabila Islam datang, maka Islam membawa misi keadilan bersama-samanya, termasuklah keadilan dalam perniagaan. Keadilan itu musuhnya kezaliman. Maka, Islam yang adil mengharamkan riba bahkan memerangi amalan riba. Firman Allah SWT lagi: “Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (daripada pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya,” (al-Baqarah: 279)

Berbalik kepada isu kad kredit konvensional, saya yakin masih begitu ramai umat Islam yang menggunakannya tanpa rasa gusar dan ada cita-cita untuk beralih kepada kad yang Islamik. Walhal, bukan satu atau dua buah bank yang menawarkan alternatif, bahkan sudah banyak bank yang memiliki produk kad yang Islamik yang boleh dipilih. Hanya terpulang kepada kita selaku pengguna untuk membuat pilihan, sama ada masih setia dengan janji kita kepada Allah dalam bentuk ‘kami dengar dan kami patuh’ (an-Nur: 51) ataupun masih tegar untuk setia dengan produk berasaskan riba yang kononnya dijamin dengan pelbagai kelebihan.

Kad kredit konvensional pada sisi ulamak fikah sudah dibahaskan secara rinci sejak lama dahulu. Majma’ Fiqh Islami yang bersidang di Riyadh pada bulan September 2000 telah menyatakan: “Tidak harus mengeluarkan kad kredit dan juga tidak harus menggunakannya, sekiranya disayaratkan dengan caj faedah (riba), walaupun pemegang kad berazam untuk melangsaikan pembayaran hutang dalam tempoh tanpa faedah (interest free periode).”

Bahkan as-Syeikh Dr Wahbah az-Zuhaili, seorang ahli fikah yang mahir dalam selok-belok fiqh terkini menerangkan: “Persetujuan yang dibuat antara pemegang dan pengeluar kad kredit adalah rosak (fasid), kerana wujudnya syarat yang rosak, iaitu kesediaan pemegang kad untuk membayar faedah apabila melewati tempoh yang ditetapkan. Maka barangsiapa yang melakukan akad yang rosak, ia dikira berdosa (dan) dengan melakukan kad itu sendiri, sama ada berlaku pembayaran faedah atau tidak (ia tetap rosak di sisi Islam dan berdosa).” Hal ini selaras dengan pandangan jumhur ulamak bahawa: “Syarat yang rosak dalam akad pertukaran harta akan merosakkan akad tersebut dengan sendirinya.”

Maka, sebagai muslim yang baik sudah sampai saat dan ketikanya untuk kita memeriksa kembali status segala urusan jual-beli, pembiayaan bank dan sebagainya yang ada sangkut-pautnya dengan riba ini. Jangan sampai ada yang beranggapan bahawa ia adalah perkara yang remeh, yang boleh sahaja dipejamkan sebelah mata. Riba adalah tegahan Allah SWT dan diperangi oleh Allah dan Rasul-Nya. Menerima riba dengan senang hati melambangkan kedangkalan rasa iman kepada Allah SWT. Sedangkan, orang yang beriman itu sifatnya ialah: “Sesungguhnya jawapan orang-orang beriman, bila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan: “Kami dengar dan kami patuh,” dan mereka itulah orang-orang yang beruntung,” (an-Nur: 51) Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply