• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kali ini saya ke Bandung lagi!

Byadmin

Feb 24, 2012

Kurang dari 12 jam lagi, saya, isteri dan anak bongsu kami akan terbang ke Indonesia. Kali ini isteri saya ada seminar di Bandung, atau tepatnya di Institut Teknologi Bandung (ITB), dan kami akan mengambil masa beberapa hari untuk berjalan-jalan di sekitar Bandung.

Kali pertama saya ke Bandung adalah sekitar Julai 2009. Kala itu saya tidak pun sempat untuk merayau-rayau, kerana isteri saya harus segera ke Cipatat. Namun kami sempat melewati sekitarnya, membeli-belah di Factory Outlet dan menikmati makan tengah hari di Rumah Makan Suharti.

Kali ini, saya berangan-angan akan melalui lebih banyak lagi pengalaman di sana. Membeli-belah? Biasalah, jika sudah ke Indonesia, hampir mustahil rasanya jika tidak membeli-belah. Sudah terbayang-bayang kain telekung, baju batik dan sebagainya yang bukan sahaja cantik; bahkan amat berbaloi harganya.

Antara destinasi yang saya amat menarik hati saya, insya-Allah, saya ingin merasai hawa di Tangkuban Perahu, merasai enaknya makan di rumah-rumah makan di sekitar bandung (jangan lupa, saya pencinta nasi goreng kambing dan teh botol sosro!), melewati Pasar Baru dan banyak lagi.

Kali ini saya memilih untuk menginap di Amariss Hotel,a  lokasinya agak strategik dan saya berharap, banyak lagi boleh saya terokai sendiri di bandar Bandung…Paris of Java ini.

Tidak lupa, ITB sendiri adalah pusat ilmu yang amat saya ingin lawati. Saya suka menziarahi pusat-pusat ilmu dan pendidikan tinggi di Indonesia, kerana Indonesia dari aspek tertentu jauh meninggalkan Malaysia. Universiti di Indonesia misalnya, mengamalkan beberapa budaya pembelajaran yang tidak sama di Malaysia. Misalnya, perpustakaan mereka lebih ‘santai’ berbanding kita, mereka boleh menaiki basikal yang memang disediakan secara gratis (percuma) di dalam kawasan kampus, melestarikan budaya seni yang kreatif secara aktif, konsep study group yang memang ketara dan sebagainya. Masih ingat lagi, kala di Universiti Indonesia tahun 2010, para pelajarnya bersantaian berkumpulan di bawah pokok, yang siap disediakan WIFI untuk membolehkan mereka melayari internet di mana-mana.

Insya-Allah, banyak yang bakal saya kongsikan nanti dari ITB dan Bandung amnya…juga tidak lupa, jika berkesempatan akan saya ziarahi Ustadz Irfan, sahabat baik saya di Bekasi…

Related Post

Leave a Reply