• Tue. Jan 19th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kebajikan harta: utamakan yang terdekat

Byadmin

Jan 22, 2010

Berkongsi harta dalam Islam ada caranya dan Islam telah mendidik kita dalam hal ini. Dalam menyantuni mereka yang memerlukan, pada dasarnya perlu mengikut urutan atau keutamaan. Siapakah yang harus didahulukan dan siapa yang dikemudiankan. Ia demi mengelakkan kebajikan yang dibuat tidak mendatangkan pahala; sebaliknya mengundang sia-sia bahkan dosa. Ia juga dapat mengelakkan sindrom ‘kera di hutan disusukan; anak di rumah mati kelaparan.’
 
Allah SWT menyinggung aspek ini di dalam al-Quran: “Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, kaum-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri,” (an-Nisa’: 36)
 
Dalam amalan berkongsi harta, setiap orang wajar mengetahui hierarki dalam keutamaan ini. Sesungguhnya yang paling berhak disantuni ialah ahli keluarga sendiri, iaitu bagi seorang suami wajib memenuhi keperluan asasi anak dan isterinya terlebih dahulu. Seandainya ibu bapanya juga tergolong dalam orang yang memerlukan, maka wajiblah si anak mengutamakan mereka. Apabila keperluan ibu bapa, anak-anak dan isteri sudah dipenuhi, maka baharulah seseorang itu boleh mengembangkan kebajikan hartanya kepada orang lain.
 
Di dalam al-Quran, anak-anak dan isteri serta kedua orang ibu-bapa inilah yang dianggap manusia terdekat dan yang paling utama untuk dinafkahkan. Tiada gunanya seseorang yang membelanjakan hartanya kepada jalan-jalan kebajikan yang lain, seandainya kebajikan yang wajib di atas pundaknya ini tidak pula dilunaskan terlebih dahulu.
 
Hal ini sebenarnya wajar sama-sama kita renungi, justeru mutakhir ini sering dipaparkan di media massa mengenai kelalaian anak-anak sehingga mengabaikan ibu bapa. Misalnya, ada anak-anak yang sanggup menitipkan ibu-bapa ke rumah jagaan orang-orang tua dan hanya mendatangi mereka sekali-sekala sahaja. Ada yang lebih malang, apabila sanggup membiarkan ibu atau bapa yang sudah tua hidup bersendirian di kampung, atas pelbagai alasan yang direka cipta. Malah, tidak kurang yang lebih sadis sanggup membiarkan ibu atau bapa mereka merempat bagaikan pengemis jalanan, menjadikan perhentian bas sebagai persinggahan dan mendambakan ihsan manusia yang tiada pertalian darah dan nasabnya menghulurkan simpati dan juga sesuap nasi.
 
Sesungguhnya golongan ini pasti alpa akan pesanan Nabi Muhammad SAW: “Reda Allah bergantung pada reda dua ibu bapa dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa,” (Riwayat al-Hakim)

Di samping itu juga, bukan sedikit kisah ibu bapa yang tidak memberikan hak yang sepatutnya kepada anak-anak. Wajib diingati, bahawa hak anak-anak bukan sekadar makan dan minum; tetapi juga mendapatkan pendidikan yang baik dan hidup dalam persekitaran yang baik. Adalah zalim bagi ibu bapa jika tidak mengendahkan keperluan pendidikan anak-anak atau bersifat lepas tangan dalam memantau perkembangan pendidikan mereka dan membiarkan mereka membesar dalam kondisi yang menggugat keimanan mereka.
 
Saya sendiri pernah bersua dengan ibu bapa yang memandang enteng pendidikan anak-anak, khususnya pendidikan agama. Mereka memberikan alasan, kononnya sukar mencari kenderaan untuk menghantar anak-anak ke sekolah agama. Sesetengahnya pula beralasan tidak cukup wang bagi menunaikan yuran sekolah. Namun, pada masa yang sama ibu bapa berkenaan boleh pula menghabiskan wang yang banyak demi menukar rim kereta, menghias rumah dengan TV LCD berskrin 32’ dan sebagainya. Apa yang mereka ucapkan adalah kontra atau berlawanan dengan perbuatan mereka. Mereka mengatakan tidak cukup wang; tapi mereka membeli peralatan rumah yang hakikatnya memerlukan banyak wang. Ironi bukan?
 
Mungkinkah ada di kalangan mereka yang tidak tahu, bahawa Rasulullah SAW pernah berpesan: “Buktadarusalah (ajarkanlah) anak-anak kamu kalimah pertama dengan la ilaaha illa Allah (mengenal Allah),” (Riwayat al-Hakim)
 
Atas dasar itu, maka sebagai manusia yang baik maka kita mesti tahu keutamaan dalam mengagihkan harta. Sifat kedekut dengan mereka yang sebenarnya menjadi tanggungan wajib ke atas kita, hakikatnya menyebabkan rezeki menjadi jauh dengan kita. Dalam erti kata lain, keberkatan boleh hilang dan mudarat pula yang datang (Foto: Bawa anak-anak mendekati rumah Allah sebagai jalan mengenali Allah).
 
Nabi SAW mengingatkan lagi: “Satu dinar yang engkau belanjakan pada jalan Allah, satu dinar yang engkau gunakan untuk memerdekakan hamba, satu dinar yang engkau sedekahkan kepada fakir miskin, satu dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu, (maka) yang paling besar pahala ganjarannya ialah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu,” (Riwayat Muslim)
 
Kesimpulannya, setiap orang wajar menghalusi kembali ke manakah harta mereka sudah dibelanjakan. Adakah ia memenuhi piawaian yang sudah ditetapkan Allah SWT atau masih lagi jauh tersasar. Jika ya, alhamdulillah maka wajar diperteguhkan. Namun jika tidak, jangan bertangguh lagi untuk kembali ke landasannya. Masa masih ada, selagi roh kita berlari-lari di pembuluh darah dan selagi nafas masih lagi mengungsi di ruang serta rongga-rongga yang ada di dada. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply