• Mon. Jan 25th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kedudukan anak-anak di saff solat

Byadmin

Jul 9, 2009

Isu mengenai kedudukan anak-anak kecil di saff solat pernah saya tulis pada tahun 2007. Artikel itu disiarkan oleh akhbar Utusan dan Majalah I, kemudiannya diulang siar oleh beberapa laman web @ blog, termasuklah laman peribadi Dr Asri Zainal Abidin, mantan Mufti Perlis.

‘Sebuah papan tanda di masjid…mesrakah dengan anak-anak kecil kita?’

Beberapa orang kenalan bahkan orang yang saya tidak kenali, menelefon dan menghantar e-mail mengucapkan tahniah dengan tersiarnya artikel itu, justeru ia telah memberikan satu pencerahan mengenai hukum anak-anak kecil apabila mereka solat di dalam satu saff bersama orang dewasa, sama ada di rumah, surau apatah lagi masjid.

Beberapa lama telah berlalu, sayangnya saya melihat corak pemikiran orang-orang Islam di negara ini masih sama. Suka bertaklid buta tanpa usul periksa. Mereka menghukum tanpa ilmu. Hasilnya, beberapa kali anak saya yang sudah mumaiyiz dan berkhatan dihalang dari solat di saff dewasa, di suruh ke saff belakang. Anak saya memprotes, wajahnya mencuka. Sepatutnya, jika anak saya sampai dahulu ke surau atau masjid, maka layaklah dia solat di saff utama, kenapa harus ke belakang pula. Lalu kadang-kadang, terfikir oleh saya bahawa anak kecil saya lebih memahami keutamaan mendapatkan pahala di saff utama, sebab itu mereka datang awal. Sedang ‘si dewasa’ merasakan mereka pandai, datang lambat tetapi mahu duduk di hadapan!

Saya pernah berjidal dengan beberapa kerat manusia, perihal status kedudukan dan saff anak-anak kecil, khususnya yang sudah mumaiyiz tetapi belum berkhatan saat mereka hadir untuk solat berjamaah di surau atau masjid.

Rakan berjidal ini telah memberikan alasan yang pelbagai. Misalnya, itulah yang ‘ustaz-ustaz’ mereka beri tahu selama ini, kononnya itulah ‘uruf’ di negara kita dalam kedudukan anak-anak sewaktu solat berjamaah dan memang itulah caranya…hujah naqalnya mana? Saya hanya minta mereka mengemukakan satu hujah…sama ada daripada al-Quran atau al-Hadis. Bahkan jika boleh, kemukakan pandangan ulamak bahawa kanak-kanak dihalang solat sama saff dengan orang dewasa. Tapi mereka tak mampu memberinya!

Lalu saya nyatakan, di dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawa Anas bin Malik r.a menyatakan, beliau pernah solat BERSAMA seorang kanak-kanak dalam satu saff dan di belakang mereka ibunya Ummu Sulaim, saat itu mereka berimamkan Rasulullah SAW. Jika benar kanak-kanak kecil tidak boleh solat bersekali orang dewasa di dalam satu saff, kenapakah nabi tidak menyuruh kanak-kanak itu berundur ke belakang?

Tapi, ada orang berkata, kanak-kanak yang belum berkhatan membawa najis. Saya berkata, semua orang membawa najis…dalam perut kita, dalam usus besar kita, ada najis. Mereka berhujah, itu najis dalam badan…lain. Saya berhujah pula, jika begitu, jika kamu kena bisul, kemudian pecah dan bernanah, kamu bebat atau balut dengan kain, kamu solat sebelah saya, maka tak sahkah solat saya? Samalah halnya dengan kulup anak-anak lelaki, najis itu di dalam kulupnya, bukan diluar yang terus mengenai tubuh-badan kita. Dan adakah benar ada najis, sudahkah kita memeriksanya, sama ada kanak-kanak itu sudah berkhatan, atau jika belum berkhatan, tetapi dia sangat menjaga kebersihan kemaluannya. Bahkan, lebih menarik, jika seorang muallaf masuk Islam dan solat sebelah kita, dia belum berkhatan, adakah muallaf itu juga tidak layak solat bersama kita dalam satu saff, dia hanya layak solat di belakang dan jika dia solat juga sebelah kita, maka batal solat kita atau putus saff dibuatnya…?

Mereka masih berhujah, kononnya pemisahan saff kerana anak-anak kecil suka bermain, jadi bila dikumpulkan dalam satu saff kanak-kanak, lagi mudah dipantau. Pelik, alasan yang sengaja direka tanpa fakta. Faktanya bagi saya, anak-anak lebih mudah dikawal jika solat bersama-sama bapanya. Jika mereka bermain, memang ‘nak kena’. Tapi jika dah solat sesama sendiri di belakang mata…faham-faham sahajalah.

Lalu saya bertanya mereka lagi, andai kamu bawa anak-anak kamu ke Masjidil Haram di Mekah (sememangnya di Mekah ia berbeza dengan masjid-masjid biasa) atau ke Masjid Nabawi di Madinah, adakah di sana kamu pisahkan anak-anak dengan diri kamu waktu solat..adakah ada papan tanda menegah kanak-kanak solat dalam satu saff dengan orang dewasa?

Mereka terpinga-pinga…kerana jawapannya memang tak ada, saya ulangi…TIDAK ADA! Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply