• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kehadiran si comel keenam

Byadmin

Apr 2, 2011

Salam buat insan baharu. Yang kelahirannya ditunggu-tunggu. Alhamdulillah, 28 Februari 2011 lalu, putera saya yang keenam mengibarkan suara nyaringnya di kuping saya dan isteri. Lantas saya dukung, lalu azan berkumandang diiringi iqamat menyapa pendengaran. Ilham Huzaifah membalas dengan renungan mata. Dia mendengar dengan sopan. Suara itulah, seruan membesarkan Tuhan. Saya tancapkan ke gegendangnya, langsung membenam di ulu hatinya. Insya-Allah.

Sengaja saya tidak memuatkan kisah kelahiran anak keenam saya dengan lebih awal. Isteri saya terlebih dahulu memuatkannya di ruangan Face Book. Ramai singgah dan memberi komentar. Mengucap tahniah juga pesanan. Saya hargainya semua.

Ilham Huzaifah, gabungan dua nama. ‘I’ mewakili awalan nama isteri saya, Ismarulyusda dan ‘H’ pula mewakili Hamizul. Itulah tradisi kami dalam mengawali nama anak-anak. Bermula dari Iqbal Hidayat, Ihya’ Hakim, Huda Imanina, Husna Insyirah, Hanim Ikhwana dan kini Ilham Huzaifah. Saya telah berpakat dengan isteri, jika anak kami perempuan, awali namanya dengan H dan diikuti I. Begitulah juga sebaliknya.

Ilham membawa makna yang mudah, iaitu ‘bisikan nurani atau idea yang baik-baik’ manakala Huzaifah adalah salah seorang sahabat kepada Nabi Muhammad SAW yang terkenal dengan kebijaksanaannya dan dipercayai memegang rahsia dan amanah Rasulullah SAW. Jasa Huzaifah antaranya membantu mencari rahsia musuh dalam Peperangan Khandaq dan juga diamanahkan nabi sebagai penyimpan rahsia  sosok golongan munafiqin di Madinah.

Huzaifah al-Yamani, demikianlah nama penuh sahabat nabi itu. Huzaifah ini, sering bertanyakan soalan yang bijak kepada nabi. Misalnya, para sahabat bertanyakan apakah perkara yang baik-baik; namun Huzaifah bertanya apakah perkara buruk yang perlu dia hindarkan. Huzaifah juga dianggap pengasas ajaran Ilmu Tarikat dan Ilmu Tasauf yang terus berkembang pada hari ini.

Ahlan wasahlan ya Ilham Huzaifah, semoga kehadiranmu menambah barakah dan rahmat Allah SWT ke atas keluarga abi dan umi, amin.

Related Post

Leave a Reply