• Sun. Jan 24th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kekayaan itu penghalang ke syurga?

Byadmin

Jul 7, 2009

Saya selalu memberikan ceramah mengenai harta dalam Islam. Antara madu’ ceramah saya ialah orang kaya. Namun, saya juga ada menyampaikan ceramah kepada orang-orang miskin. Semuanya menjurus agar kekayaan yang dimiliki, jangan sampai menghalang kita daripada memasuki syurga Allah SWT.

Harta penting, justeru dengan harta maka kita dapat memanfaatkannya ke jalan-jalan yang dianjurkan oleh Islam. Bahkan, dengan harta kekayaan membolehkan seseorang membantu perjuangan Islam. Seerah junjungan Rasululullah SAW menunjukkan, antara manusia yang paling banyak jasanya kepada perjuangan rasulullah ialah Siti Khadijah r. ha, isteri nabi sendiri. Khadijah yang memang kaya-raya itu, telah memanfaatkan kekayaannya demi Islam. Bagi saya, inilah contoh unggul bagaimana kekayaan dapat dimanfaatkan demi Islam, apatah lagi ia dipelopori oleh seorang wanita.

Mungkin juga kita patut menyedari, usahawan muslim yang paling sukses bagi saya ialah Saiyidina Abdul Rahman bin Auf yang turut digelar sebagai ‘saudagar Allah.’ Abdul Rahman saat berhijrah dari Mekah ke Madinah, telah meninggalkan segala harta kekayaannya. Itulah syarat yang diberi oleh penguasa Mekah kepada mereka yang mahu berhijrah bersama nabi. Mereka mahu orang yang bersama nabi kelak merasa susah lantaran jatuh miskin setelah berhijrah, maka lemahlah rasulullah bahkan mungkin ada yang kembali kepada agama nenek moyang mereka.

Namun Abdul Rahman membuktikan sebaliknya. Saat beliau dipersaudarakan oleh Rasulullah SAW dengan Saad bin Rabi’, beliau hanya mahu meminjam sejumlah wang dan menolak dengan hormat separuh kekayaan dan seorang isteri Saad. Beliau hanya minta ditunjukkan pasar dan di sana beliau menunjukkan kehebatan seorang usahawan dan business man ‘muslim’. Beliau menunjukkan cara, bagaimana pasir yang dikaut di atas tanah apabila dilemparkan kembali bertukar menjadi emas. Itulah Abdul Rahman.

Lalu, sejarah juga mencatatkan bahawa kekayaan milik Abdul Rahman telah dimanfaatkan seoptimumnya demi perjuangan Islam. Saat peperangan misalnya, beliau menyediakan 400 ekor unta dan 500 ekor kuda siap berkelengkapan peperangan. Jumlah ini bukanlah sedikit. Bahkan pernah dalam satu masa, beliau menyedekahkan 40,000 dinar kepada golongan fakir dan miskin. Bahkan, Abdul Rahman sendiri tidak menyintai kekayaan dan pangkat kebesaran. Beliau pernah mengatakan Mas’ab dan Hamzah Abdul Mutallib jauh lebih mulia daripadanya. Beliau juga menolak jika selepas kematiannya kelak dikebumikan di sisi makam Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Umar.

Persoalannya, masih adakah lagi manusia seperti mereka – Siti Khadijah dan Abdul Rahman – pada hari ini?

Nota: Hati saya ‘tersentuh’ dengan berita memaparkan kekayaan melampau sesetengah orang Islam di dunia ini, sedangkan mereka tidak memanfaatkan kekayaan mereka demi perjuangan Islam yang hakiki, buktinya…masih ramai umat Islam menderita kemiskinan dan masih banyak institusi Islam yang daif meneruskan operasinya dalam serba kekurangan.

Related Post

Leave a Reply