• Wed. Jan 20th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kembara di Indonesia – Bah. 3 (Menikmati makan di Warteg)

Byadmin

Jul 28, 2011

Nah! Getus hati saya. Melihatkan beberapa anak remaja bermain ‘Skate board’ saya terus menerka bahawa kisah mereka inilah yang saya baca di dalam sebuah akhbar versi internet, iaitu Thejakartaglobe. Memang mengujakan, cekatan sekali mereka memperagakan pelbagai gaya meluncurkan ‘skate board’. Namun jauh di sudut hati, saya terfikir adakah sebentar tadi mereka turut sama mendirikan solat berjemaah di masjid yang letaknya hanya beberapa meter sahaja di seberang jalan. Harap-harapnya, mereka telah bersolat, bisik hati saya.

Ustaz Irfan kemudiannya membawa saya ke destinasi lain di Bandar Kerawang. Terdapat sebuah lagi masjid dan di sekitarnya, terdapat banyak warung makan tersedia. Sememangnya saya telah berpesan sedari awal, kali ini saya kepingin mencicipi sendiri makanan di warung-warung tegal (warteg) yang banyak terdapat di jalan-jalan besar di sini.

Setelah memarkir sepeda motor di perkarangan masjid, kami memilih sebuah warteg. Ada yang bertulisan warteglesehan. Rupa-rupanya, lesehan itu bermakna duduk di atas tikar secara bersila. Maka, kami pun duduk secara lesehan. Ustaz Irfan memesan mengikut menu pilihan saya, iaitu dua pinggan nasi goreng kambing dan dua gelas air Teh Botol Sosro dingin (disejukkan dengan ais batu).

“Jujur aja, inilah kali pertama ana sendiri merasai nasi goreng kambing. Antum sudah berulang kali menyebutnya, sampai ana sendiri kepingin mahu memakannya.” Getus Ustaz Irfan membuka rahsia.

Walhal, sebelum ini, dia sendiri tidak pernah makan nasi goreng kambing. Pelik juga saya. Tapi, bagi saya sendiri, ada beberapa menu yang pasti tidak saya lepaskan saat ke Jakarta, antaranya nasi goreng kambing dan bakmi. Jika minuman pula, pastinya Teh Botol Sosro dan jus apokat (jus avocado). Masih melekat ‘tag line’nya di minda saya, iaitu “Enaknya apa saja, minumnya…Teh Botol.”

Seperti biasa. Tidak indah sesi makan itu jika tidak disertai para pengamen, yakni pemuzik jalanan. Sebentar sahaja, kami didatangi beberapa anak muda mengapuk gitar dan menyanyikan pelbagai lagu. Ustaz Irfan menghulurkan sekeping wang seribu rupiah, niatnya agar mereka segera berlalu. Namun, selepas itu ada lagi beberapa orang yang datang. Ada yang mendendangkan lagu, ada juga yang langsung meminta sedekah. Di sini, jika anda mahu memberi, silalah. Jika tidak, gelengkan sahaja kepala dan mereka pun akan pergi meninggalkan kita.

Agak malang nasib saya, kala menggunakan sebuah kamar kecil (tandas) di sini, telefon selular saya terjatuh ke dalamnya. Lalu, dalam perjalanan pulang ke Pebayuran kami menyinggahi sebuah kedai menjual telefon di Pasar Pojong. Saya memilih telefon selular berharga murah sahaja, iaitu Rp150 ribu. Ditambah dengan kos kredit (pulsa), saya membayar kira-kira Rp200 ribu. (Bersambung)

Related Post

Leave a Reply