• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kembara ke Indonesia – Bah. 2 (Liku-liku perjalanan)

Byadmin

Jul 25, 2011

Inilah kali pertama saya langsung dicempung bas awam. Sebelum ini, kereta atau bas khas sudah tersedia. Kemana-mana, tidak perlu bersusah-payah. Dalam pada itu, terasa juga janggalnya, lantaran kali ini kehadiran saya di bumi Indonesia ini tanpa isteri dan anak-anak di sisi. Terasa kurang lengkap sebenarnya. Namun, inilah sebuah pengembaraan solo saya di bumi Bung Karno. Saya mesti menyiapkan emosi dan fizikal. Saya sudah membayangkan, liku-liku perjalanan yang bakal dilalui, yang pasti ia tidak akan menyelesakan.

Benar, perjalanan dari bandara menuju ke Kerawang bukanlah pendek masanya. Kami menghabiskan masa kira-kira tiga jam sebelum tiba di Kerawang. Dari sana, kami harus pula mencari teksi atau angkut. Demi meraikan ketibaan saya, Ustaz Irfan tega menyewa teksi dengan kos Rp125 ribu. Perjalanan seterusnya tetap mencabar. Kami bersaing dengan angkutan, sepeda motor, lori dan trak, bas dan sebagainya di jalanan.

Kebetulan, Daerah Jababeka ini adalah kawasan industri. Suhunya juga agak lebih tinggi berbanding bahagian lain di Indonesia, khususnya di Pulau Jawa – mengikut bicara Mas Iswandi, saya mengiyakan sahaja. Di sini lebih berbahang berbanding Jakarta. Mobil sewaan kami meredah jalan dengan cekatan. Akhirnya kami memasuki kawasan lebih beraura kedesaan. Jalannya kecil, kira-kira sebesar 10 – 15 kaki sahaj lebarnya. Maka, bermulalah pula episod jalanan berliku; namun kami masih disajikan pemandangan cantik sawah padi di kanan dan kirinya. Juga rumah penduduk yang rata-ratanya bernuansa kedesaan asli, misalnya dipagari buluh dengan pelbagai aktiviti pertanian mereka.

Ketibaan di rumah  Ustaz Irfan memberikan kelegaan awal. Saya disambut oleh lima orang anaknya. Bocah (anak-anak kecil) munggil yang ceria. Tidak lama, kemudiannya kami menjamu selera. Masakan ala Betawi, justeru isteri Ustaz Irfan memang orang Betawi. Betawi atau Batavia adalah tempat bagi penduduk asal Jakarta. Kini, ia lebih dikenali sebagai Kota Tua.

Selepas berehat dan mendirikan solat jamak dan qasar, Ustaz Irfan mengajak saya ke Kerawang. Rencananya, kami mahu pusing-pusing dahulu melihat Kerawang pada waktu malam. Melalui pembacaan saya di internet, di Kerawang ada disediakan kemudahan kepada anak-anak muda bermain ‘skate board’ (papan luncur). Mungkin malam ini saya mampu menyaksikannya sendiri secara ‘live’.

Mengenderai sepeda motor Ustaz Irfan, kami berlegar-legar di jalanan. Dari sore menjelang senja hingga ke malam, kamera Canon DSLR saya tidak pernah penat merakamkan apa sahaja yang menarik pada kaca mata saya. Masjid-masjidnya, musollanya, sekolahnya, rumahnya, kereta apinya dan apa sahaja.

Kebetulan di Desa Pebayuran kala ini sedang berlangsungnya musim pemilihan wakil penghulu, maka berlakulah kempen dengan simbol-simbol unik bagi setiap calonnya, iaitu berasaskan buah-buahan. Ada buah epal, buah durian dan buah nanas. Kelakar juga bila difikirkan, seperti anak-anak tadika pula kerana menggunakan simbol buah-buahan dalam kempen berkenaan.

Kami singgah solat di Masjid MUI. Seperti biasa, di Indonesia selalunya ada penjaga yang akan meminta upah menjaga motor. Kami mendirikan solat maghrib berjamaah dan saya melanjutkannya dengan jamak Isyak berserta qasar. Indah masjid berkenaan. Rekaannya boleh dianggap sederhana; namun kaligrafinya masih menyerlah. Sayang juga, kerana jemaahnya tidaklah segah masjidnya.

Usai solat dan membayar upah beberapa ribu rupiah kepada penjaga parkir dan kasut, kami menuju ke kawasan liburan berhadapan masjid. Di situlah disediakan sebuah kawasan seperti mini stadium siap dengan padang dan balapannya. Kanak-kanak mengayuh beca mini secara berkumpulan. Golongan remaja lelaki pula asyik menggayakan pelbagai kemahiran bermain ‘skate board.’ Golongan dewasa menghirup udara malam sambil berbualan. (BERSAMBUNG)

Related Post

Leave a Reply