• Wed. Jan 20th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kembara ke Kuching Part 3

Byadmin

Mar 15, 2010

Pagi ini kami memulakan lawatan dengan berkunjung ke Sarakraf Pavilion (Sarawak Kraf). Di sini, ditempatkan pelbagai jenis hasil kraftangan pelbagai kaum di Sarawak dan kami bernasib baik, kerana semasa itu ada seorang wanita sedang menganyam bakul daripada mengkuang. Terdapat pelbagai jenis lagi bahan demo lain, misalnya kaedah penenunan songket Sarawak dan sejenis kain yang sering kita jadikan ambal atau pengalas meja dan juga raga buluh orang Bidayuh. Di sini juga ada sebuah kedai cenderamata namun harga barangannya agak mahal jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain. Saya berminat dengan beberapa CD lagu asli orang Sarawak (misalnya petikan alat muzik mereka yang dipanggil sape), tapi sekeping harganya RM48…alahai, mahainya.

Selepas itu, kami mengunjungi Muzium Etnologi. Muzium ini berdekatan dengan Muzium Kesenian, Muzium Semulajadi dan Muzium Kesenian Islam. Di Muzium Etnologi tidak banyak sangat bezanya jika dibandingkan dengan Muzium Taiping; kelebihannya sudah pastilah kerana ia adalah muzium etnik di Sarawak. Ada sebuah rumah Orang Bidayuh dibina di tingkat dua muzium, ia benar-benar adalah rumah sebenar. Siap bilik tidur, dapur, ruang tamu dan juga loteng. Anda jangan terkejut ya, kerana di tengah-tengah rumah mereka selalunya tergantung tengkorak manusia. Biasalah, mereka ini selalunya adalah penganut anamisme yang mempercayai kuasa dan semangat ghaib.

Di bahagian belakang muzium ini juga ditempatkan Akuarium Bandaraya, masuknya percuma sahaja. Menariknya di akuarium-bandarayasini ada pelbagai spesies ikan dan juga ular, kura-kura dan buaya…he…he… Namun kami tak sempat mengunjungi dua lagi muzium…manakala muzium Kesenian Islam pula sedang dalam renovation dan kami tak terjumpa pula pintu masuknya…

Along pula diserang athma, kami terpaksa singgah di sebuah klinik. Selepas menerima rawatan nebulation, kami terus diajak Abang Yasser ke Restoran Chilli Peppers. Kata Kak Nen isteri abang ipar saya, restoran ini memang terkenal di Kuching. Ia dimiliki oleh seorang Cina Muslim dan antara menu yang dicadangkan oleh abang ipar saya ialah Mee Colok. Saya memesan Mee Colok dan untuk minuman, abang ipar saya mencadangkan Teh C Peng Special (sebenonya teh tarik + Susu + gula Melaka). Kami menikmati hidangan tengah hari dengan penuh selera, memang sedap.

Selepas makan tengah hari, destinasi seterusnya ialah ke Muzium Kuching yang ditempatkan di Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU). Muzium ini memang menarik dan kedudukannya yang ditempatkan di bahagian bawah DBKU juga adalah unik. DBKU sendiri berada di atas bukit dan pemandangannya amat menarik sekali, kita boleh meninjau hampir keseluruhannya Bandaraya Kuching dari situ.

Apa yang menariknya di muzium ini. Aduhai…jika anda pencinta kucing, maka di sinilah syurganya. 1001 kisah dan cerita serta maklumat kucing tersedia di sini. Anda mungkin tidak tahu, dahulu nama Kuching tak wujud di Sarawak, namun ia muncul kemudian. Antaranya, Rajah Brooke memanggil sebuah kawasan di sini (kini Kuching) dengan nama Chohen. Ada juga yang mengandaikan, wujudnya banyak pokok mata kucing dan juga kucing itu sendiri di sekitar sungai di sini memungkin nama Kuching itu terhasil. Ditempatkan juha kisah manusia ternama dengan kucing peliharaan mereka, misalnya Winston Churchill yang sentiasa membawa kucingnya termasuklah di dalam mesyuarat tenteranya. Anda juga akan melihat pelbagai aksesori kucing, kucing dan filem, kucing dan masyarakat dunia, kucing dan kucing dan kucing… Sebuah kiosk cenderamata juga disediakan dan di sini anda boleh membeli sambil menderma ke sebuah persatuan orang kurang upaya yang menjual T-Shirt daripada mereka…cantik pula T-Shirtnya.

Lawatan kami disambung ke Kuching Water Front. Memang saya sudah lama mengidam-idamkan untuk ke sini. Zamli kawan saya di Kuching sudah menceritakan betapa indahnya sekitar Kuching Water Front ini. Dari kejauhan lagi kita sudah boleh melihat tersergam indahnya Dewan Suarah (Syura) tempat berlangsungnya Dewan Undangan Negeri Sarawak. Ia terletak betul-betul di tebing Sungai Sarawak. Di sepanjang pesisir sungai ini juga dibina pesiar kaki yang memang menggamit kita untuk melewatinya. Untuk mereka yang suka kepada aktiviti cruise, anda boleh merasainya di sini; namun harganya agak mahal…RM60 bagi seorang dewasa.

Sepanjang jalan di hadapan Water Front ini juga tersedia begitu banyak kedai cenderamata. Jadi jika anda mahu mendapatkan nilai belian yang terbaik, bersabarlah…di sini segalanya lebih berbaloi…insya-Allah!

 

Related Post

Leave a Reply