• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kemiskinan oh kemiskinan!

Byadmin

Nov 2, 2011

Foto kredit www.thejakartapost.com

Antara perkara yang menarik perhatian saya apabila melancong – tidak kiralah sama ada di dalam mahupun di luar negara – ialah situasi kemiskinan di tempat itu. Mungkin disebabkan saya bekerja di organisasi zakat – sebuah institusi yang amat rapat perhubungannya dengan golongan fakir dan miskin – maka, saya menjadi begitu prihatin dengan isu-isu kemiskinan.

Secara umumnya saya melihat, isu kemiskinan ini berpunca daripada kegagalan sistem dalam sesebuah negara. Saya lupa siapa yang pernah mengatakan begini: “Jika pemerintah berjaya, maka tiada lagi orang papa. Maka, pemerintah jangan marah kepada orang yang meminta sedekah, kerana itu manifestasi kegagalan sang pemerintah!” Namun, secara nalarnya memang begitu. Kejayaan pemerintah sesebuah negara menangani keperluan rakyatnya, memungkinkan angka-angka kemiskinan menjadi kecil sekali.

Lalu saya teringat, dua hari lalu kala dijemput menjadi salah seorang ahli panel dalam Forum ‘SOCIAL ECONOMY / ENTERPRISE IN ACTION: ISLAMIC INITIATIVES’ yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Kelantan dan Binary University College untuk Asean Solidarity Economy Forum  (ASEF 2011), saya tanpa sengaja menyatakan bahawa, di dunia ini dalam kalangan negara Islam memang banyak yang kaya; tapi mereka juga kaya dengan orang miskin.

Bahasa Inggeris-nya berbunyi begini: “It’s true that many muslim countries are rich, but the country also rich of poor.”

Kenyataan tersebut telah membikin audiens gelihati dan mereka tertawa. Namun, itulah realitinya. Saya membayangkan, misalnya Indonesia adalah negara kaya. Hasil mahsulnya banyak dan rakyatnya bukanlah kategori orang yang malas bekerja. Namun, angka kemiskinan di Indonesia juga adalah antara yang tertinggi di dunia.

Di Malaysia sendiri, angka-angka kemiskinan masih menjadi misteri. Ini kerana, ada pihak mungkin bermain silap mata dalam mendefinisikan kemiskinan dan garis pemisahnya dengan kekayaan. Cuba kita perhatikan, di satu pihak mereka meletakkan angka RM750 sebagai garis pemisah kemiskinan; sedang di satu pihak meletakkan angka RM1500 sebagai batasannya. Maka, tidakkah kewujduan dwi angka berbeza ini memungkinkan perbedaan dalam skala kemiskinan di Malaysia?

Benar, jika kita menyemak data-data yang dikeluarkan pemerintah, maka angka kemiskinan melotot menjadi rendah. Namun, realitinya adakah begitu? Jika benar, kenapakah rakyat Malaysia begitu sensitif dengan isu-isu kenaikan harga barangan? Sedikit sahaja ura-ura harga barang mahu naik, habis riuh segala forum mendiskusikan unjuran kenaikan segala harga barangan yang lain.

Ini menunjukkan wujudnya satu fatamorgana dalam senario kemiskinan di Malaysia. Kita dipaparkan hampir sudah tiada kemiskinan; namun hakikatnya masih ramai.

Oleh itu, ketegasan dalam aspek pemerintahan adalah perlu. Sistem yang tiris dan salah perlu diperbaiki segera. Peranan dan fungsi institusi zakat perlu diperkasakan seoptimumnya. Namun jauh lebih daripada itu, sistem Islam secara syumul perlu diaplikasikan kembali dalam setiap juzuk pemerintahan. Hanya dari situ datangnya keberkatan. Wallahua’alm.

 

 

Related Post

Leave a Reply