• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kenangan di kampung

Byadmin

Aug 19, 2009

Baru-baru ini, salah seorang bapa saudara sebelah isteri saya meninggal dunia, beliau adalah abang abah yang kami panggil Pak Dak sahaja. Sejak berkahwin dengan isteri saya, seorang demi seorang ibu dan bapa saudara sama ada sebelah abah dan mak yang meninggal dunia. Saya masih ingat lagi, tahun 2000 rasanya saya dan mak mertua menginisiatifkan Hari Keluarga sempena Hari Raya tahun itu. Memang meriah sangat dan mak mertua saya masih menyebut-nyebutnya hingga kini. Semasa hari keluarga itulah, adik-beradik sebelah beliau masih ramai. Sayangnya, kami tidak mengabadikan suatu gambar kenangan adik-beradik mak, maka selepas itu apabila seorang demi seorang pergi meninggalkan kami, mak rasa terkilan kerana tiada satu gambar kenangan terakhir bersama mereka.

dsc02637

Dari kiri ke kanan: Mak dan abah, Alang & Alang Zan, Atih & Atih Mat, Acik & Acik Lin…

Manakala sebelah abah mertua saya, pada tahun lalu Pak Cik (adik abah yang bongsu) beriya-iya mengadakan Hari Keluarga sempena Hari Raya Haji. Masih saya ingat juga, pakcik sampai mengalirkan air mata menceritakan susur-galur keluarga dan pentingnya kami mempertahankan ikatan kekeluargaan. Pada akhir program, sesi bergambar telah diminta diadakan khas bagi semua adik-beradik abah dan pasangan yang masih ada. Alhamdulillah, semasa balik ke kampung gambar itu terpamer rapi di almari cermin abah. Kini, walaupun Pak Dak sudah tiada; namun ingatan kepadanya akan tetap segar – sesegar senyumannya di dalam foto kenangan itu.

Lalu, sewaktu pulang ke kampung tidak berapa lama dahulu, saat mak dan seluruh adik-adiknya berkumpul di rumah mak di Kampung Betong, saya melihat kepada wajah mereka satu persatu dan saya jadi bimbang. Saya bimbang, mungkin kami tidak akan berkumpul lagi seperti mana saat itu. Masing-masing kian digayuti usia, namun ajal tidak mengenal tua atau muda. Lalu, saya menyarankan agar mereka bergambar bersama pasangan masing-masing selepas itu.

Alhamdulillah, mak dan abah serta alang, atih dan acik suami isteri tidaklah pula banyak songehnya. Mereka sanggup beraksi apabila wajah mereka dipotretkan. Hanya angah Ishak yang tiada bersama kala itu. Jika tidak, lengkaplah adik-beradik mak saya fotokan. 

Related Post

Leave a Reply