• Tue. Jan 19th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kenapa amalan Zakat di Malaysia tak sama?

Byadmin

Feb 24, 2010

Islam adalah agama rasmi negara Malaysia, tetapi kenapakah amalan zakat di antara negeri-negeri tidak sama, misalnya Perak tidak menerima zakat pendapatan sedangkan majoriti negeri-negeri lain sudah menerimanya sebagai zakat yang wajib?

Sebenarnya, idea menyeragamkan pentadbiran Islam termasuk zakat memang sudah lama disuarakan. Bahkan semasa Tun Dr Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri Malaysia, pernah dibangkitkan hasrat untuk ditubuhkan Lembaga Urus Zakat Malaysia (LUZAM); namun ia sukar direalisasikan.

Ini kerana, sungguh pun Artikel 11 Perlembagaan Malaysia telah menyatakan bahawa Islam merupakan agama rasmi persekutuan; namun begitu, dalam pengamalan di setiap negeri di bawah Persekutuan Malaysia, ia tertakluk pula kepada Jadual Kesembilan (Perkara 74, 77) Senarai Perundangan, Senarai II – Senarai Negeri yang memperuntukkan bahawa selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum syarak termasuklah pewarisan, wasiat, perkahwinan, perceraian, khairat, baitulmal, zakat dan zakat fitrah adalah diperuntukkan kepada kuasa negeri-negeri.

Oleh itu, Majlis Agama Islam Negeri-negeri termasuklah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP), secara dasarnya mengawal perjalanan setiap institusi zakat di negeri masing-masing. Hal ini selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Perlembagan Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Jadual Kesembilan di atas, yang menyatakan secara jelas bahawa perkara berkaitan hal ehwal Islam terletak dalam bidang kuasa negeri, yakni di bawah para sultannya.
 
Implikasinya, pentadbiran zakat hari ini adalah ditadbir oleh Majlis-majlis Agama Islam Negeri. Ia kuasa negeri, bukan kuasa persekutuan. Sungguh pun MAWIP melalui Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa zakat pendapatan itu wajib, namun oleh kerana ia adalah suatu yang ijtihadiyyah dan khilaf di kalangan ulamak, maka masih ada negeri yang belum mewajibkannya dan belum bersedia melaksanakannya lagi dan ia adalah sah di negeri berkenaan. Samalah seperti perbezaan harga beras fitrah di antara negeri-negeri pada setiap bulan Ramadan.
 
Ini juga bermakna, adalah agak mustahil untuk menyatukan zakat di bawah satu pentadbiran berpusat, seperti mana setiap negeri mempunyai enakmen jenayah syariahnya yang tersendiri, melainkan peruntukan yang ditetapkan di dalam Perlembagaan Malaysia itu dipinda. Oleh itu, apa yang dapat dilakukan oleh Kerajaan Pusat hanyalah mewujudkan sekretariat yang bersifat penyelaras atau koordinator dengan menubuhkan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 24 Mac 2004.
 
JAWHAR inilah organisasi yang bertindak menyelaraskan pelbagai perkara mengenai zakat di peringkat nasional, misalnya menjalankan pertemuan dan persidangan di antara pentadbiran zakat negeri-negeri dan sebagainya lagi. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply