• Fri. Jan 22nd, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kenapa kadar fitrah berbeza antara negeri-negeri di Malaysia?

Byadmin

Aug 3, 2011

Oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid

Ada orang yang bertanya kepada saya, kenapakah di Malaysia ini berbeza-beza kadar zakat fitrahnya di antara negeri-negeri? Bukankah kita ini tinggal di Negara yang sama, iaitu Malaysia? Apakah rasionalnya dan apakah penjelasannya?

Sebelum saya menjawab persoalan ini, suka saya maklumkan bahawa zakat fitrah adalah diwajibkan kepada setiap orang Islam yang berkemampuan, sama ada orang yang merdeka, hamba sahaya, bayi yang baru lahir, anak-anak kecil, orang dewasa bahkan orang-orang gila juga wajib menunaikan zakat fitrahnya, yakni ia hendaklah dikeluarkan oleh diri sendiri, atau ketua keluarga kepada mereka.

Sebuah hadis riwayat oleh Imam Ahmad dan Abu Daud daripada Tsa’labah bin Abu Saghir boleh dijadikan sandaran: “Bayarlah zakat fitrah satu sha’ gandum atau bur daripada setiap manusia (muslim), anak-anak atau orang dewasa, merdeka atau hamba sahaya, kaya atau fakir, lelaki atau perempuan.”

Manakala Abu Hurairah r.a menyatakan: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan kepada orang yang merdeka, hamba sahaya, lelaki dan perempuan, anak-anak, dewasa, fakir atau kaya – daripada kalangan kaum muslimin,” (Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim, rujuk Hukum Zakat, al-Qardhawi, hal. 927).

Nabi Muhammad SAW menyatakan lagi: “Bayarlah zakat fitrah daripada semua orang yang menjadi tanggungjawab kalian,” (hadis riwayat Imam Baihaqi).

Syaratnya, yang pertama mereka hendaklah mempunyai makanan yang cukup dari malam hari raya yakni satu Syawal sehinggalah keesokan harinya (sehari semalam), yakni terbenamnya matahari satu Syawal. Jika mereka tidak mempunyai makanan selama itu, maka ia bermakna mereka tidak mampu, maka tidaklah wajib mereka mengeluarkan zakat fitrah bahkan sebaliknya merekalah yang berhak menerima zakat fitrah.

Nabi Muhammad SAW menyatakan: “Penuhilah keperluan mereka (fakir dan miskin) pada hari (Aidilfitri) itu (agar mereka tidak meminta-minta).” (Hadis riwayat Baihaqi dan Daruquthni daripada Ibnu Umar r.a)

Yang kedua, seseorang itu hendaklah hidup pada dua masa, yakni pada Ramadan dan Syawal. Jika seseorang itu meninggal dunia sesaat sebelum masuknya Syawal, atau seorang bayi lahir ke dunia sesaat selepas masyuknya Syawal, maka mereka tidak diwajibkan zakat fitrah, kerana mereka hanya dapat menghirup udara pada salah satu bulan sahaja.

Zakat fitrah itu pula, ditentukan oleh pihak pemerintah atau berkuasa agama berdasarkan segantang Baghdad makanan asasi di sesebuah Negara. Jika di Malaysia, makanan asasi kita adalah beras, maka kita membayar zakat fitrah dengan beras. Jika sesebuah Negara itu makanan asasinya gandum atau jagung, maka mereka hendaklah membayar zakat fitrah dengan gandum atau jagung.

Nilai segantang Baghdad ini jika ditukar dalam bentuk timbangan, adalah seberat 2.7 Kg. Hari ini, demi memudahkan urusan zakat fitrah dalam kalangan umat Islam, maka kita telah diperbolehkan menukarkannya daripada nilai berat kepada nilai ringgit ataupun harganya. Maka, 2.7 Kg beras hendaklah didarab dengan nilai sebenar sekilogram beras di pasaran.

Contohnya, jika harga sekilogram beras ialah RM2, maka 2.7 Kg X RM2 = RM5.40. Itulah nilai zakat fitrah bagi seorang individu muslim. Harga beras semasa adalah merujuk kepada tahun berkenaan yang pastinya akan berubah-ubah setiap tahun. Semakin tinggi harga beras, maka semakin tinggilah nilai zakat fitrah.

Jadi, kenapakah wujudnya perbezaan kadar zakat fitrah ini? Di sini, ada beberapa perkara yang umat Islam di Malaysia wajar memahaminya, iaitu:

1) Pentadbiran zakat di Malaysia adalah tertakluk kepada bidang kuasa negeri. Maka, setiap negeri mempunyai jawatankuasa fatwanya sendiri yang akan memutuskan harga zakat fitrah yang sesuai di negeri masing-masing. Pengasingan kuasa ini telah digazetkan di dalam Perlembagaan Malaysia, iaitu di dalam Jadual Kesembilan (Perkara 74, 77) Senarai Perundangan, Senarai II – Senarai Negeri yang memperuntukkan bahawa selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum syarak termasuklah pewarisan, wasiat, perkahwinan, perceraian, khairat, baitulmal, zakat dan zakat fitrah adalah diperuntukkan kepada kuasa negeri-negeri.

2) Oleh itu, sungguh pun Artikel 11 Perlembagaan Malaysia telah menyatakan bahawa Islam merupakan agama rasmi persekutuan; namun begitu, dalam pengamalan di setiap negeri di bawah Persekutuan Malaysia, ia tertakluk kepada perkara di dalam Jadual kesembilan di atas.

3) Oleh itu, Majlis Agama Islam Negeri-negeri termasuklah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP), secara dasarnya mengawal perjalanan setiap institusi zakat di negeri masing-masing. Hal ini selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Perlembagan Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Jadual Kesembilan di atas, yang menyatakan secara jelas bahawa perkara berkaitan hal ehwal Islam terletak dalam bidang kuasa negeri, yakni di bawah para sultannya.

4) Implikasinya, pentadbiran zakat hari ini adalah ditadbir oleh Majlis-majlis Agama Islam Negeri. Ia kuasa negeri, bukan kuasa persekutuan. Sungguh pun MAWIP melalui Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan sesuatu harga zakat fitrah; namun ia tidak semestinya disepakati oleh semua negeri lain di Malaysia.

5) Di samping itu, harga sekilogram beras adalah berbeza antara negeri-negeri. Ada negeri yang agak mahal, ada yang agak murah. Ia sesuai dengan kondisi sosio-ekonomi rakyat negeri berkenaan. Maka, harga zakat fitrah di Selangor adalah sesuai dengan harga beras di Selangor. Manakala di negeri lain, sesuailah dengan negeri mereka pula.

6) Ini bermakna, adalah agak mustahil untuk menyatukan zakat di bawah satu pentadbiran berpusat, seperti mana setiap negeri mempunyai enakmen jenayah syariahnya yang tersendiri, melainkan peruntukan yang ditetapkan di dalam Perlembagaan Malaysia itu dipinda. Oleh itu, apa yang dapat dilakukan oleh Kerajaan Pusat hanyalah mewujudkan sekretariat yang bersifat penyelaras atau koordinator dengan menubuhkan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 24 Mac 2004.

Kesimpulannya, sungguh pun Malaysia menganut satu mazhab fiqh iaitu daripada jalur Syafie (Syafi’yah); namun terdapat beberapa perkara yang berbeza dalam skop amalan. Namun begitu, perbezaan itu masih dalam batas yang diizinkan syarak, kerana ia tidak sampai menyanggahi hukum asasi (yang merupakan asas dan fundamental dalam Islam) dan tidak pula melibatkan percanggahan dalam perkara akidah. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply