• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kenapa Tuhan jadikan aku miskin?

Byadmin

Jun 19, 2009

 

‘Kenapa Tuhan jadikan aku miskin?’

Kala saya menjamu mata di Toko Buku Gramedia yang gedang amat saiznya di Plaza Indonesia Kota Jakarta, saya terjumpa sebuah buku berjudul: ‘Tuhan…kenapa Engkau jadikan aku miskin?’ Begitulah kira-kira tajuknya. Saya jadi tertarik lalu memasukkannya ke dalam bakul belian. Namun, saya masih belum berkesempatan menekuninya hingga kini. Saya baharu membelek-belek Tetralogi Novel Laskar Pelangi – Mimpi-mimpi Lintang. Baru mukaddimah.

Namun, apabila merenungi dengan mata hati terhadap tajuk buku berkenaan, saya jadi terfikir sendiri. Benar, jarang kali kita dihadapkan persoalan…kenapa ya, Allah jadikan aku seorang yang miskin? Kenapa tidak dijadikan aku ini kaya, supaya senang aku beribadah kepada Allah!

Keberadaan saya di Lembaga Zakat Selangor, secara langsung mendekatkan saya dengan golongan fakir dan miskin. Saya pun terfikir juga, kemiskinan ini lagaknya tidak akan pernah pupus dalam zaman apa dan di mana-mana sekali pun. Jika kita renung, zaman Nabi sendiri diiktiraf sebagai zaman terbaik; namun zaman nabi sendiri ada golongan fakir dan miskin ini.

Begitu juga zaman-zaman paca kewafatan rasulullah saw, zaman khulafak ur-rasyidin sehinggalah ke zaman khilafah uthmaniyyah, masih wujud golongan fakir dan miskin ini. Maknanya, sepajang zaman kita berhadapan dengan orang-orang miskin.

Soalan, kenapa Tuhan jadikan aku miskin adalah satu soalan berat. Sama ketika kita ditanya, kenapa Allah membiarkan paman nabi kita Abu Talib bapanya Saiyidina Ali mati dalam kekufuran (nota: ada segelintir ulama seerah masih ‘reserve’ perihal keimanannya – wallahua’lam), dan inilah yang dimainkan hingga kini bahawa – tugas kita hanya berdakwah, hak Allah menyampaikan hidayah – lewat firman Allah SWT: “Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) tidak akan mampu memberikan hidayah kepada orang yang engkau kasihi; tetapi Allah SWT-lah yang akan memberikan hidayah-Nya kepada orang-orang yang Dia kehendaki,” (al-Qasas: 56)

Soalan ini jika ditanya kepada saya sendiri pun, agak sukar juga bagi saya menemukan jawapannya. Cuma saya hanya mampu menyatakan, manusia ini Allah SWT jadikan sebaik-baik makhluk, kerana itu kita diberikan akal. Akal ini tugasnya berfikir. Berfikir demi kebaikan tuan punya akal dan tubuh itu sendiri. Ibarat di hadapan kita ada dua botol, kita pula haus, satu botol berisi air mineral biasa dan satu lagi berisi racun tetapi sejuk berais dan nyaman jika diminum, maka sendirilah pilih. Akal pula, tidak boleh dibiarkan sendiri tanpa dipimpin, maka Allah SWT turunkan al-Quran dan ar-Rasul sebagai pemimpinnya. Maka, akal yang terpimpin sahajalah yang bakal membawa tuan punya diri ke jalan yang selamat.

Berkenaan ini, Allah berikan kita perumpamaan: “Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya,” (as-Syams: 8).. Manakala nabi sendiri pernah menyatakan: “Orang yang berakal ialah orang yang dapat menundukkan hawa nafsunya untuk persediaan menghadapi kematian dan kehidupan selepasnya, manakala orang yang lemah ialah orang yang mengikuti kehendak hawa nafsunya semata-mata sedangkan dia mengharapkan ke hadrat Allah dengan pelbagai pengharapan yang kosong,” (Hadis riwayat Tirmizi)

Maknanya, kesalahan yang berlaku kepada seseorang itu termasuklah paman nabi kerana enggan memenuhi dakwah nabi, tidak boleh diletakkan kepada Allah. Allah sudah pun memberinya akal. Jika paman nabi semasa hidupnya boleh memilih madu dan bukan racun sewaktu meminumnya, maka kenapa tidak memilih Allah bukan Latta wa Uzza sebagai Tuhannya? Akalnya letak di mana? Kenapa tidak berfikir. Sebab itu di akhir ayat 56 surah al-Qasas itu Allah SWT menegaskan: “Dan sesungguhnya Allah lebih mengetahui siapa di kalangan kamu yang mahu (bersedia menerima) hidayah daripada-Nya.”

Timbul pula persoalan lain, apakah akal? Di mana letaknya akal? Ada orang mengatakan, akal itu otak atau letaknya di otak. Benarkah? Jika benar otak itu adalah akal atau letaknya di akal, maka haiwan melata semuanya berotak. Lembu pun ada otak, bahkan ada orang suka sangat menghirup otak lembu bila dibuat sup. Bila ada orang yang bengap, maka ada pula orang mengatakan, dia lembap kerana suka makan otak udang. Jadi, jika lembu ada otak dan di situ ada akal, maka pastilah lembu juga cerdik macam manusia. Jika betul akal letak di otak lembu, jawapnya, kita semua tidak akan merasa minum susu lembu bahkan makan daging lembu. Semua lembu akan berpersatuan dan menentang sikap manusia yang selalu menganiaya lembu.

Sebab itu, akal bagi saya letaknya adalah ‘rahsia Allah.’ Sama macam roh dalam tubuh. Tiada yang tahu, di mana letaknya roh. Tapi, semua yakin manusia ada roh. Bila roh sudah keluar dari tubuh manusia, maka manusia akan mati. Itulah kepercayaan kita. Maka, samalah juga, akal ada tapi tidak tahu di mana. Dengan adanya akal, maka manusia jadi berbeza dengan makhluk Allah yang lain. Berbeza dengan jin, berbeza dengan iblis, berbeza dengan malaikat apatah lagi dengan haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Berbalik kepada persoalan di atas, kenapa Tuhan jadikan saya miskin? Saya sekadar cuba menjawab, bahawa Tuhan menjadikan adanya orang miskin atas beberapa faktor. Namun, perkara utama yang harus disematkan ke dalam minda kita, bahawa Allah itu tidak zalim sehingga menjadikan kita miskin. Ini kerana, berbalik kepada cerita di atas, kita semua sudah diberikan akal untuk dimanfaatkan. Di samping itu, tiga perkara yang harus dinilai oleh kita, iaitu pertamanya, Tuhan Maha tahu bahawa kemiskinan itu baik bagi dirinya. Kedua, kemiskinan adalah satu ujian untuk kita mencipta kejayaan. Ketiga, kemiskinan adalah keseimbangan dalam hidup manusia di dunia demi akhirat mereka.

Pernah nabi diminta oleh seorang sahabat agar didoakan dan menjadi kaya. Nabi menolak permintaan sahabat itu sehinggalah tiga kali banyaknya. Akhirnya, nabi mendoakan juga dan jadilah dia kaya-raya. Sayangnya, selepas kaya dia berubah. Daripada solat berjamaah kepada seorang diri di rumah. Daripada tinggal berdekatan masjid nabi akhirnya jauh terasing seorang diri. Akhirnya, sahabat berkenaan lupa kepada asal dirinya, engkar arahan nabi termasuklah enggan berzakat. Lalu, disebutkan juga dia menjadi tamak-haloba. Akhirnya matinya di dalam dosa. Nah! Inilah padahnya menjadi kaya. Bukan tidak diperingatkan nabi, bahawa kemiskinan itu sudah baik bagi dirinya. (Nota: ada orang mengatakan nama sahabat itu ialah as-Sa’labah, saya tidak berani menamakannya justeru Sa’labah adalah salah seorang ahli Badar yang dijamin rasulullah – wallahua’lam).

Kedua, kemiskinan adalah ujian. Benar, dengan kemiskinan menyebabkan kita berfikir untuk keluar daripada kepungan kemiskinan itu. Maka, kita akan gigih berusaha, merebut peluang dan mencari kesempatan. Bukan sedikit manusia menjadi kaya dengan merebut peluang ini. Abdul Rahman bin Auf sendiri, apabila berhijrah ke Madinah, menjadi miskin. Namun, beliau memanfaatkan akalnya dengan berniaga di pasar Madinah sehingga akhirnya menjadi kaya semula. Apa yang lebih nikmat, seseorang yang berasal susah apabila kaya, maka dia akan menjadi si kaya yang tahu erti kesenangan. Maka, selalunya mereka tidak lupa diri dan menyombong diri.

Ketiga, kemiskinan adalah keseimbangan dalam pola kehidupan manusia. Apabila ada orang miskin, maka itulah tempat orang kaya memberi dan mendapat pahala. Pahalanya pula, diberikan kepada kedua-duanya. Si kaya mendapat pahala bersedekah, si miskin mendapat pahala kesabaran. Mereka keduanya beroleh pahala kerana reti erti kesyukuran kepada Tuhan. Bahkan orang yang kaya di dunia jangan terkejut, bahawa nabi sendiri memberi pengakuan bahawa di akhirat kelak, penguni syurga majoritinya adalah orang-orang miskin bahkan mereka memasuki syurga jauh lebih awal daripada orang kaya di dunia.

Tapi, timbul juga persoalan, ada orang enggan jadi miskin. Bolehkah mereka mengubahnya? Jika ditanya saya, maka Allah SWT tidak menghalang sesiapa pun menjadi kaya. Jika ada, masakan nabi tidak pernah melarangnya. Jika ada, masakan banyak ayat al-Quran yang menyeru manusia mencipta kekayaan. Bahkan Allah SWT berulang kali menggesa manusia, cari kehidupan di dunia asal sahaja tidak mengabaikan akhirat mereka.

Bahkan dalam hadis, Nabi Muhammad SAW menggalakkan manusia berkerja dan berusaha demi mendapat harta. Dengan harta, manusia dapat beramal lebih sempurna. Misalnya kejadian lelaki ansar yang meminta makanan daripada nabi, lalu nabi mengarahkannya menjual hartanya yang ada di rumah dan dengan modal yang kecil, nabi membelikan kapak dan tali agar dia berusaha mencari rezeki. Maknanya, sifat berusaha adalah sangat terpuji berbanding hanya sekadar meminta-minta itu dan ini. Inilah bukti Nabi SAW menggesa kita berusaha.

Bahkan, Nabi SAW turut memberikan amalan-amalan tertentu yang akhirnya menjadi tips kepada kita demi mendapat kemurahan rezeki. Misalnya, Nabi pernah memesan kepada Abu Hurairah r.a, agar tidak melupakan tiga amalan, iaitu solat witir, solat dhuha dan puasa tiga hari pada hari-hari putih (13, 14 dan 15 hari bulan mengikut kalendar Islam) dalam sebulan. Akhirnya, berkat istiqamah beramal, Abu Hurairah dipinang seorang ‘kaya’ untuk dinikahkan dengan anak gadisnya dan Abu Hurairah menjadi seorang yang kaya-raya walaupun asalnya beliau seorang ahli suffah yang miskin di masjid nabi.

Jadi, sudah terjawabkah soalan ‘Kenapa Tuhan jadikan aku miskin?’… Hmm…entahlah. Mungkin belum. Tapi, saya mahu tegaskan…Tuhan memberikan sesuatu mengikut keupayaan kita, namun kita bisa mengubahnya dengan syarat kita berusaha, berdoa dan menggunakan akal sebaik-baiknya. Bukankah Allah SWT sendiri ada menyatakan:

“Dan di bumi ini terdapat bahagian-bahagian yang berdampingan, dan kebun-kebun anggur, tanaman-tanaman dan pohon kurma yang bercabang dan yang tidak bercabang, disirami dengan air yang sama. Kami melebihkan sebahagian tanam-tanaman itu atas sebahagian yang lain tentang rasanya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir (menggunakan akal),” (ar-Ra’du; 4).

Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply