• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kerana cinta

Byadmin

May 28, 2009

Adapun orang-orang yang beriman, amat sangat cintanya kepada Allah – al-Baqarah 2: 165

Cinta…aduhai, inilah istilah yang meremangkan bulu roma. Sesiapa sahaja, apatah lagi bagi yang bernama remaja. Saya mulai mengenal erti cinta, semasa baharu tumbuh bulu roma di atas bibir (misai), baru panjang bulu roma di kaki dan baru gatal dagu nak tumbuh janggut sejemput.

Biasalah, zaman remaja itu…cinta datang dan pergi silih berganti. Mungkin itulah, akhirnya cinta musim remaja diistilahkan ‘Cinta Monyet’, sempena sifat si monyet yang tidak tetap duduknya, kejap-kejap berubah. Namun, saya sering mengsinonimkan istilah cinta remaja = cinta monyet, kerana remaja yang sedang dilanda mabuk cinta sanggup bergayut berjam-jam dengan telefon. Maka, samalah dengan monyet yang suka bergayut di dahan pokok…kesamaan suka bergayut itulah, melahirkan istilah cinta monyet itu, fikir sayalah!

Sebuah hadis mengenai cinta ini disebutkan oleh nabi: “Apabila kamu terlalu bersangatan cinta terhadap seseorang itu, maka mata kamu menjadi buta dan telinga kamu menjadi tuli.”

Kini, saya mahu menyentuh bahawa kerana cinta, manusia sanggup melakukan apa sahaja. Orang masa bercinta, maka mereka sanggup melafazkan apa sahaja janji setia. Cuba perhatikan, zaman Nabi Muhammad SAW dahulu, kerana cinta maka Saiyidah Khadijah sanggup berhabis harta demi Allah dan suaminya. Saiyidina Ali sanggup menggantikan nabi di perbaringan saat hijrah rasulullah ke Madinah. Saiyidina Abu Bakar sanggup menahan sakit di sengat kala jengking di dalam gua, kerana cintakan rasulullah. Saiyidina Umar sanggup membunuh sesiapa sahaja yang menyatakan rasulullah telah wafat, jika tidak disabarkan Abu Bakar.

Demi cinta juga, maka paman nabi Abu Talib sanggup bergelandang bersama nabi saat penduduk Mekah memboikot umat Islam dan Bani Hasyim. Demi cinta juga, Bilal sanggup dijemur di terik mentari, Khabbab sanggup menderita dipanggang api oleh tuannya. Kerana cinta Sumaiyyah sanggup mati demi agama baharunya.

Inilah cinta. Ia mampu melahirkan suatu keberanian, kesungguhan dan keazaman yang kukuh dan jitu. Maka, ia disimpulkan sebagai komitmen. Ya…cinta melahirkan komitmen. Kerana cinta kepada Islam dan rasulullah jugalah, maka Sultan Muhammad al-Fateh merentas gunung melayarkan bahtera demi menakluki Konstatinopel. Tariq bin Ziyad membakar kapal dalam meluaskan jajahan Islam. Serta banyak lagi cerita…

Pagi ini, saya juga tersentuh kala mendengar Salam.FM (frekuensi 91.10 FM) iaitu apabila Deejay memutarkan sebuah lagu dari Indonesia. Saya tak ingat tajuk lagu itu, tetapi liriknya saya ingat…antaranya:

Saat rasul akan wafat, wang ada beberapa dirham, habis disedekah kepada orang melarat; Saat Khalid al-Walid mahu wafat, panglima perang yang gagah perkasa, warisannya hanya seorang pembantu serta kuda perang sahaja…

Itulah antara lirik lagu tersebut. Saya masih ingat melodinya, dan saya paling terkesan apabila tiba pada bait lagu yang menyentuh Khalid al-Walid. Khalid…panglima perang paling hebat, sejak zaman jahiliyyahnya sehinggalah ke era keIslamannya. Namanya terpahat kukuh di batu sejarah, lelaki yang amat mencintai Islam dan Rasulullah, sehingga habis kederat dan kebolehan diri diwakafkan kepada Islam. Sehingga, saat kematiannya menjemput, Khalid menjerit kerana beliau meninggal di atas pembaringan, sedangkan beliau mengejar syahid di medan peperangan. Sehinggakan, ulama sejarah mencatatkan, tubuh Khalid penuh dengan liang-liang tikaman!

Itu versi cinta nabi. Cinta yang luhur, suci dan diberkati. Cinta yang membawa ke syurga abadi.

Bagaimana pula kita hari ini? Saya teringat, betapa cinta juga telah merosakkan muda-mudi dan manusia hari ini. Ada satu pepatah yang selalu disebut tok guru saya dahulu, iaitu ‘kerana cinta tergadai body’. Saya juga teringat, dalam sebuah ceramah kepada remaja di dalam sebuah kursus, penceramahnya yang bernama Ustaz Zainal Abidin (lewat 1987 dahulu ni…), berkelolo…katanya:

“Remaja zaman sekarang, masa bercinta sanggup berjanji apa sahaja. Misalnya, demi cinta…lautan api akan kurenangi, bukit akan kudaki dan lurah akan aku turuni. Bukan main…nak renang lautan api, lautan air pun belum tentu dia boleh lepas. Nak daki gunung…nak naik bukit dari bawah ke surau atas bukit ni pun dah lelah…”

Teringat juga saya, zaman bercinta dahulu…saya pernah dihadiahkan beberapa naskhah buku, oleh siapa lagi jika bukan isteri saya hari ini. Antara yang saya ingat, salah sebuahnya jika tidak silap menyinggung tentang cinta dalam Islam. Cinta yang dianjurkan dan cinta yang dilarang.

Semasa itu, jika saya mengutus surat, maka surat saya ibarat sebuah rencana tarbiyyah. Pernah isteri saya memberitahu, satu kali surat saya telah dibaca oleh abahnya…kemudian abah isteri saya berkata:

“Surat macam isi kitab, mukaddimahnya berjela-jela…siap ada tazkirah, ada sedutan kitab dan nasihat ulama…”

Saya tersengih. Memang, jika saya membaca kembali koleksi warkah cinta saya…memang terasa seperti membaca sebuah kitab. Ini kerana, surat saya kepada bakal isteri kala itu, penuh dengan bumbu dan rencah perjuangan. Kami adalah anak-anak usrah kampus yang dididik sebagai pelapis kepada perjuangan Islam. Maka, bagi saya kami disatukan juga oleh Allah SWT, sebagai wahana kepada perjuangan Islam.

Pesanan Rasulullah SAW mengenai cinta:

Daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman: “Sesiapa yang memusuhi wali-wali-Ku (para Nabi dan orang-orang yang menolong agama Allah), sesungguhnya Aku mengisytiharkan perang ke atasnya. Dan tidaklah seseorang hamba itu menghampirkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Ku cintai melainkan dengan apa yang telah Aku fardhukan ke atasnya, berterusanlah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada mu dengan mengerjakan (amalan-amalan) nawafil hinggalah Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya Aku akan menjadi pendengarannya yang dengannya ia mendengar, Aku adalah penglihatannya yang dengannya ia melihat dan tangannya yang dengannya ia memegang dan kakinya yang dengannya ia berjalan. Dan jika ia meminta dari-Ku, Aku akan mengurniakannya dan jika ia memohon perlindungan dengan-Ku, Aku akan melindunginya.”

Hadis Riwayat Bukhari

Related Post

Leave a Reply