• Tue. Jan 19th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

KIKIR DALAM KAMUS MELAYU

Byadmin

Dec 5, 2011

Dalam kamus kehidupan manusia, khasnya orang Melayu, ada empat kalimah yang bersamaan makna atau maksudnya, iaitu kedekut, bakhil, lokek dan kikir. Di dalam Kamus Dewan menyatakan, bakhil diertikan sebagai ‘tidak rela memberikan atau meminjamkan kepunyaannya.’ Selain itu, dalam peribahasa Melayu, orang yang kedekut atau kikir ini, sering disinonimkan dengan dua situasi jelik, pertamanya disebut sebagai ‘si tangkai jering’ dan kedua, ‘si tahi hidung masin.’

Mungkin orang tertanya-tanya, apakah rasionalnya diistilahkan golongan kedekut ini dengan ‘tangkai jering’ dan ‘tahi hidung masin’? Jika jering (atau jengkol dalam bahasa Indonesia), ramai yang tahu betapa sukarnya pokok jering meluruhkan buah-buah jering. Jika tidak ada usaha mengaitnya jatuh ke bawah, maka buah-buah jering yang sudah siap dimakan itu, akan keras dan buruk di hujung tangkainya. Inilah gambaran orang yang kedekut. Biar binasa harta, tetapi untuk memberinya jauh sekali. Jauh panggang dari api!

Maka, apa pula perkaitannya dengan ‘tahi hidung masin?’ Nah! Sekali imbas, menjijikan! Iya, hakikatnya inilah pun yang cuba digambarkan oleh para pemikir Melayu zaman silam. Adalah sesuatu yang amat jelik dan jijik jika seseorang itu bertabiat dengan penyakit kikir atau kedekut ini. Samalah tarafnya dengan ‘tahi hidung masin.’

Memang, tiada sesiapa yang boleh mengesahkan, sama ada tahi hidung itu masin atau manis; namun dengan diberikan julukan ‘masin’, ia lebih menjijikkan. Akibatnya, tiada seorang pun suka merasai tahi hidungnya sendiri; apatah lagi tahi hidung orang lain. Mungkin jika diubah rangkai katanya dengan ‘tahi hidung manis’, maka ramai pula yang teringin merasainya nanti. Namun, dengan label ‘tahi hidung masin’, maka ia mencerminkan betapa buruknya perangai kikir dan lokek ini.

Eh, apa pula kaitannya di antara kalimah bakhil, kedekut lokek dan kikir? Pernahkah kita terfikir, apakah kikir? Kikir ini adalah sejenis alat pertukangan. Masih terbayang di lipatan minda, bapa saya seorang tukang rumah, sering menggunakan kikir ini untuk mengasah mata gergaji agar menjadi tajam. Saya juga pernah menggunakan kikir ini untuk menajamkan paku yang saya tancapkan ke gasing yang saya tarah dari dahan jambu. Maknanya, kikir ini kerjanya mengasah.

Sebenarnya, kikir ini keras kerana ia diperbuat daripada keluli. Bahagian permukaannya bergerigi halus. Ada yang berbentuk leper segi empat tepat dan ada yang bersegi tiga. Kikir ini, kerjanya mengikir benda lain, biasanya besi yang keras, sedikit demi sedikit sehingga menjadi tajam atau putus terus. Kata Kamus Dewan: ‘kikir adalah sejenis alat daripada keluli yang bergerigi halus pada permukaannya atau tepinya dan digunakan utk mengikis (melicinkan, mengasah, memotong dan sebagainya) besi dan lain-lain.’

Maka saya terfikir, orang yang bakhil, lokek atau kedekut yang juga dinamakan kikir ini, samalah perangainya seperti kikir yang digunakan untuk mengasah atau memotong besi. Digosok dan ditekan sekuat tenaga, sedikit sahaja hasilnya. Lebih kurang samalah bidalan Melayu yang lain, seperti pahat dengan penukul. Tetapi, jika pahat, semakin kuat dipukul, semakin kuat dia memakan kayu. Sebaliknya kikir ini, jika digosok sekuat tenaga pun, belum tentu banyak yang dikikisnya. Demikianlah dahsyatnya kikir ini. Nampaknya, adalah lebih susah diubati orang yang berpenyakit ‘kikir’ berbanding orang yang berpenyakit ‘pahat’.

Maka, demikianlah persuratan Melayu bersurat dan berkisah mengenai penyakit kikir, lokek, bakhil dan kedekut ini. Rasanya, jarang ada bahasa lain yang menggunakan sehingga empat perkataan demi mendefinisikan satu maksud yang sama seperti Bahasa Melayu ini. Bayang dan renungkanlah, kedekut @ bakhil @ lokek @ kikir dan semuanya membawa makna yang sama, iaitu enggan mengeluarkan hartanya demi orang lain. Tidakkah ini menunjukkan, betapa penyakit ini amat kritikal, bahkan mungkin pernah menjadi wabak yang kronik dalam umat Melayu sehingga memaksa disebutkan dengan empat kalimah dan diistilahkan dengan pelbagai tamsilan!

Mujurlah Islam datang dan umat Melayu mendapat pencerahan, bahawa ubat bagi merawat kikir ini memang disediakan Allah. Itulah namanya pun empat juga, iatu infak, derma, zakat dan sedekah. Wallahua’lam.

Related Post

Leave a Reply