• Wed. Jan 20th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kisah Asnaf buat renungan bersama

Byadmin

May 5, 2011

Nota: Kisah ini dipaparkan di Utusan Mega hari ini dengan tajuk ‘Kedai Jahit Punca Rezeki’ 

Oleh Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Menelusuri kisah asnaf kadangkala menimbulkan rasa kekaguman, pada sosok tubuh yang zahirnya lemah namun mampu menghadapi ujian demi ujian. Bukan mudah menanggulangi sebuah kehidupan andai seorang lelaki tempat pergantungan hidup pergi buat selamanya. Apatah lagi kala itu jugalah anak kelima baharu sahaja dilahirkan. Semuanya harus ditangani secara sendiri, membesarkan anak-anak juga mencari sesuap rezeki.

Semuanya berlaku tanpa duga oleh Sharifah Surit, 46. Suaminya yang tercinta Mohd. Alim Sani pergi meninggalkannya pada tahun 2003 dalam usia yang begitu muda, 34 tahun.

“Sebulan lamanya saya merasakan, seperti berjalan tidak memijak bumi. Terawang-awang bagai hilang pegangan. Hanya Allah yang Maha Tahu apa perasaan saya kala itu.”

Mengisahkan lebih lanjut, Sharifah agak bertuah kerana allahyarham suaminya merupakan kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), maka beliau telah ditawarkan berkerja sebagai kerani di MBSA.

“Namun saya tidak dapat memenuhi tawaran itu atas sebab-sebab tertentu. Dek kerana penolakan saya itu, maka saya dan anak-anak mesti mengosongkan kuartes kediaman MBSA kerana sudah hilang kelayakan. Akhirnya, saya nekad dan berhasrat membawa diri dan keluarga kembali ke kampung asal di Teluk Intan.” Ujar Sharifah.

Namun Sharifah adalah ibu tunggal yang tidak betah membiarkan kesuraman hidup memagari diri dan anak-anaknya. Demi memastikan masa hadapan anak-anak tidak terus dirundung murung, beliau mencari jalan membina kekuatan. Ibarat aur di tebing sungai, biar banjir tetap kukuh tidak roboh, itulah tekad Sharifah dalam membina kehidupannya. Biar sekukuh aur yang berjasa kepada sungai itu.

“Semasa di Shah Alam, saya sempat menyertai Persatuan Ibu Tunggal. Berkat bersama persatuan, saya mendapat banyak maklumat. Persatuan memberitahu bahawa saya boleh memohon rumah bagi kalangan ibu tunggal yang terletak di Sepang. Saya berfikir, daripada pulang ke kampung tanpa persiapan; lebih baik saya berhijrah ke Sepang. Lagi pun tidak sanggup rasanya menggalas segala kesusahan ini kepada orang tua di kampung. Mereka sendiri pun sudah jerih menjalani kehidupan.” Tambah beliau lagi.

Saat menghimbau kenangan lama, terselit sendu dalam cerita. Sharifah menambah lagi.

“Setelah berpindah ke kawasan perumahan baru, saya diterima menjadi pembantu tadika swasta. Gajinya hanya sekitar RM300.00; tapi saya sanggup. Lagi pun saya memang mempunyai sijil dan kelayakan. Oleh kerana keadaan mendesak, maka saya terpaksa membawa anak-anak ke tadika. Maklumlah, siapa yang akan menjaga anak-anak saya di rumah.

“Malangnya, perbuatan saya ini tidak disenangi oleh pihak majikan. Beliau tidak membenarkan saya membawa anak-anak ke tadika, kerana katanya ia mengganggu tugasan saya. Biasalah, anak kecil adakalanya menangis. Tanpa belas, saya terpaksa diberhentikan daripada jawatan itu, walaupun hakikatnya saya amat memerlukan mata pencarian.” Luah Sharifah lagi.

Maka, untuk meneruskan tatih hayatnya Sharifah melakukan apa sahaja kerja yang terdaya asalkan halal di sisi agama. Antaranya beliau pernah menjadi pencuci di sekolah, berkerja di kedai elektrik dan membuat kuih-muih untuk dijual. Namun, Allah SWT pasti menolong orang yang menolong dirinya sendiri. Ini janji Allah sejak azali yang Sharifah yakini.

“Nasib saya mula berubah apabila seorang kenalan yang semasa itu telah dibantu oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), menyarankan saya agar memohon bantuan daripada LZS.

“Saya masih ingat, kebetulan satu petang saya berjalan sambil membawa anak-anak balik daripada berjualan. Ketika itu, ada wakil dari LZS sedang menjalankan pemantauan di kedai rakan saya itu. Melihatkan keadaan saya yang agak daif kala itu, mereka terus menawarkan agar saya dibanci dan dimasukkan sebagai asnaf zakat.

“Ia berlaku pada tahun 2004. Maka, bermula dari tahun itulah saya mulai merasai sinar kebahagiaan menyinsing dengan lebih terang dalam kehidupan. Sukar untuk digambarkan betapa bantuan zakat sebenarnya amat menjanjikan perubahan dan harapan, khususnya kepada anak-anak. Saya amat bersyukur kerana dipertemukan dengan LZS.” Tuntas Sharifah.

Realitinya, LZS bukan sekadar talian hayat bagi orang-orang seperti Sharifah, bahkan LZS menawarkan sesuatu yang lebih lagi jika mereka mempunyai wawasan dan keazaman untuk berubah.

“Saya mesti berubah. Maka, segala peluang yang disediakan sama ada oleh LZS mahu pun pihak kerajaan akan saya rebut. Jika diikutkan, sejak menjadi asnaf zakat sudah banyak kursus yang saya ikuti. Misalnya kursus keusahawan, kursus jahitan dan sebagainya lagi.

“Alhamdulillah, LZS optimis dengan usaha saya. Lalu pada tahun 2008, LZS telah membekalkan dua buah mesin jahit, iaitu mesin jahit tepi dan mesin jahit lurus. Saya manfaatkannya dengan menjalankan perniagaan kedai jahitan. Pada awal 2009, pihak kerajaan juga telah menyalurkan sebuah lagi mesin jahit lurus kepada saya dan ia dapat membantu banyak kerja saya di kedai jahit.”

Kini, Sharifah bercita-cita untuk terus memajukan dirinya sehingga dapat mengeluarkan dirinya daripada belenggu kemiskinan. Kedai jahitannya di Kota Warisan, Sepang hari ini menjadi tumpuan ramai orang, sama ada Melayu, Cina dan India. Beliau juga turut dibantu seorang pekerja tetap dan dua pekerja sambilan. Kedai jahitannya menerima semua jenis tempahan pakaian, termasuklah juga jahitan ubah suai dan apa-apa yang berkaitan.

“Saya bersyukur sangat kepada Allah, zakat telah banyak membantu saya. Kepada semua pembayar zakat, saya berdoa semoga Allah SWT membalas amalan mereka dengan pahala yang berlipat kali ganda, ditambahkan rezeki dan diberikan keberkatan hidup.
“Dengan berpegang kepada prinsip menjaga hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah, saya yakin bahawa saya akan berjaya. Apa yang utama, saya mesti rajin berusaha, berdoa dan disusuli rajin mengambil peluang. Doakan saya semoga berjaya.” Ujar beliau menamatkan bicara.
Nota: Sheerah Collection boleh dikunjungi di Kota Warisan, Sepang atau dihubungi di talian 017-6224329.

Related Post

Leave a Reply