• Sat. Jan 16th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

KISAH RAYA, SAYA & OPAH

Byadmin

Aug 29, 2012

Alhamdulillah, selamatlah sudah kita melalui Ramadan dan selamat juga meladeni 1 Syawal. Sayang sungguh, pagi 1 Syawal yang lalu, saya ditimpa sakit perut, memulas-mulas…penyudahnya, saya terpaksa mengunci diri dalam tandas masjid. Tidak sempatlah saya bertakbir puas-puas sebelum solat didirikan.

Semuanya gara-gara saya meminum teh herba yang direndam adik perempuan saya pada sebelah malamnya. Adik saya memang nak menguruskan badan, saya pula kononnya nak melawaskan perut, ambillah habuan. Akhirnya, ke tandas masjid juga sudahnya.

Lebih malang lagi, air di bilik air pun habis. Nasib baik ada sebekas air di dalamnya, boleh guna buat beristinjak…jika tidak…

Okaylah, itu kisah lucu campur menyesal di pagi raya. Nak buat apa lagi. Moralnya, lain kali jangan gatal-gatal minum teh herba menjelang pagi raya.

Tahun ini, saya raya di Banggol Belimbing, Lenggong dahulu dan kemudian ke Kuala Kangsar atau tepatnya di Salak Utara, Sg. Siput. Alhamdulillah, saya beruntung kerana setiap tahun, jadual berhari raya antara saya dan isteri tidak pernah tergantung. Tahun lepas rumah isteri saya, tahun ini rumah saya, tahun depan tukar lagi dan begitulah selagi diizinkan Allah.

Untungnya juga, sebab rumah saya dan rumah isteri (maksud saya rumah ibu bapa kitaoranglah), dekat…adalah dalam julat 45 km sahaja. So, sekejap sahaja dah sampai. Ibarat kata orang-orang tua, pagi keluar, petang sempat lagi balik ke rumah menutup reban ayam. Moralnya, bagi yang belum beristeri atau bersuami, carilah pasangan yang dekat, supaya setiap tahun masa berhari raya, kedua-dua rumah dapat dikongsi bersama, sure ceria…he…he….

Usai solat, saya dan keluarga ke rumah Opah Sam. Opah saya kini makin tua, tapi wajahnya tetap comel dan ceria menyambut kehadiran anak, cucu dan cicitnya. Setakat tahun ini, usia opah sudah 82 tahun. Opah ada lima anak, 21 cucu dan lapan orang cicit. Kira hebat juga opah, sempat menimang cicit-cicitnya. Saya harap usia opah terus dipanjangkan Allah, diberikan kesihatan, kekuatan dan keselamatan dunia hingga akhirat.

Hakikatnya, saya dan opah amat rapat. Sebelum menikah, saya memang tinggal dengan opah. Selepas emak dan abah saya berpisah (sekitar tahun 1975), emak membawa saya diam bersama tuk dan opah. Kata opah, saya pernah panggil tuk dan opah dengan nama abah dan emak; tapi opah tak nak, sebab saya ini cucu bukannya anak.

Saya membesar di bawah redup mata opah. Selepas emak menikah kali kedua pada tahun 1982, saya hanya duduk sebentar bersama abah baru dan kemudian kembali duduk bersama tuk dan opah. Opah saya memang garang tapi amat penyayang. Alhamdulillah, ketegasan opah itulah yang membekas dalam diri saya. Saya fikir, jika opah memanjakan saya, mungkin saya sudah hanyut entah ke mana.

Tuk meninggal dunia tahun 1987, kala saya sedang belajar di tingkatan satu di SM King Edward 7 di Taiping. Berderai air mata saya kala dikhabarkan tuk sudah meninggal dunia. Pengalaman saya dan tuk amat banyak. Sebagai cucu sulong tuk dan opah, saya memang paling rapat dan akrab dengan mereka. Insya-Allah, saya akan karang sebuah cerpen mengenai tuk nanti (cerpen mengenai Opah telah tersiar dalam majalah Anis pada tahun 1997 dahulu).

Saya bersekolah di Taiping tidak lama, hingga tahun 1988 sahaja dan selepas itu saya balik bersekolah di Lenggong. Saya tidak merasakan ia satu kerugian, kerana di SM Dato’ Ahmad, Lenggong itulah, saya belajar banyak perkara. Alhamdulillah, walau di sekolah luar bandar, saya berjaya hingga dapat masuk UKM pada tahun 1994.

Habis belajar universiti, saya melangsungkan perkahwinan pada tahun 1998 dan pada awalnya saya akan tetap tidur buat semalam di rumah opah. Namun, saya kasihan kepada isteri saya yang kena menjaga auratnya 24 jam di rumah opah. Ini kerana, acik (anak bongsu opah) yang sudah berkahwin dan mempunyai suami dan anak-anak lelaki, semuanya bukan mahram bagi isteri saya dan aurat wajib terjaga.

Sejak itu, saya akan pulang ke rumah emak. Rumah emak sekampung dengan opah, hanya kira-kira lima minit sahaja sudah sampai jika bermotosikal. Di dalam hati, saya masih rindukan rumah opah. Kerana di situlah saya membesar, bersekolah rendah dan menengah hingga masuk universiti dan akhirnya bernikah.

Eh…panjang berjela la pula saya cerita pasal opah dan rumah opah.

Apa-apa pun, saya mahu catatkan kisah ini, kerana bagi saya, dalam hidup ini ada dua insan yang amat bererti dan saya cintai selamanya, pertama emak dan kedua opah…dan kini, pastinya yang ketiga ialah, isteri saya yang tercinta… Selamat hari raya!

Related Post

Leave a Reply