• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kita semakin tua untuk sakan berhari raya…

Byadmin

Sep 14, 2009

Semalam di surau, kami sudah pun mengadakan Majlis Khatam al-Quran. Seronok sangat kerana pada tahun ini juga, dua anak lelaki saya turut sama membaca al-Quran. Bagi saya, kejayaan melentur peribadi dan akhlak anak-anak adalah dakwah terbaik kepada masyarakat. Jika kita asyik bercakap mengenai kepentingan mendidik anak-anak; tetapi anak sendiri pun ‘hampeh’…maka kita ‘gagal’ daripada satu aspek. Dan saya amat bersyukur kepada Allah SWT, justeru dua anak teruna saya ni sehingga kini mendengar kata. Walaupun matanya terpejam celik (pejamnya lebih banyak) sewaktu membuntuti saya ke surau di waktu Subuh, namun mereka masih ikut juga. Alhamdulillah…

Tahun ini Majlis Khatamul Quran ini diadakan dengan lebih meriah. Tahun ini juga mencipta sejarah apabila kaum muslimat buat julung-julung kalinya mengadakan majlis tadarus al-Quran sesama mereka. Semalam, mereka turut diraikan dengan kain batik sebagai buah tangan. Buat anak-anak kecil, kami menyediakan jajan sebagai umpan.

Dan…tidak lama sahaja lagi, warga kota khasnya Kuala Lumpur pasti akan berpusu-pusu meninggalkan kota KL, pulang dengan seribu harapan dan sejuta keceriaan menyambut lebaran. Bahkan sudah ada yang merancang untuk pulang lebih awal bagi mengelakkan jem di lebuh raya. Maklumlah, tahun ini cuti hari raya agak singkat sebelum satu Syawal, maka pastilah lebih ramai orang akan menggunakan lebuh raya dalam jangka masa yang lebih kurang sama.

Kasihan juga apabila ada kawan-kawan yang terpaksa menyambut raya di KL. Antaranya, dek kerana ibu bapa sudah tiada di kampung. Atau pelbagai alas an lain. Saya terkenangkan diri sendiri, syukur alhamdulillah, masih punya ibu bapa dan ibu bapa mertua. Sejak saya menikah kira-kira 11 tahun dulu hingga kini, kami masih tidak miss pulang berhari raya di kampung. Bahkan pada tahun ini sahaja, kami akan menghabiskan cuti 9 hari semuanya! Alhamdulillah…

Bagi menyambut lebaran ini, saya turut membuat persiapan rapi yang lain. Rumah yang sudah beberapa tahun tidak bertukar wajah, kali ini saya cat baharu. Memang berbeza nampaknya dan saya jadi teruja untuk segera pulang ke rumah.

Namun, dalam keseronokan kita menanti kehadiran satu Syawal yang tidak lama sahaja lagi, saya jadi sayu juga untuk meninggalkan Ramadan. Pada bulan inilah, badan kita menjadi ringan bagi mengerjakan ibadah. Amalan sunat terasa mudah, amalan wajib tidak lagi payah. Al-Quran sebuah dapat dikhatam. Solat sunat berbelas rakaat dapat ditunaikan. Maknanya, inilah bulan penuh kedamaian hati dan ketenteraman jiwa.

Selalu apabila saya pulang agak lewat setelah menghadiri mana-mana jemputan tazkirah, saya akan membuka radio IKIM.Fm. Saya asyik mendengar bacaan solat oleh imam jemputan di Masjid Jalan Duta. Mendayu dan mengalun jiwa. Alhamdulillah, pada 10 September kelmarin, saya sekeluarga kecuali si kecil Hanim sudah ke Masjid Jalan Duta dan kami betul-betul dapat berimamkan si imam berkenaan. Memang mengasyikkan sekali hingga saya berasa tidak puas berdiri di belakangnya!

Satu soalan mudah tapi tidak bisa dijawap oleh kita, adakah kita bakal berjumpa lagi hingga ke Ramadan yang akan dating. Bahkan saya sering risau membayangkan, betapa halnya kemeriahan Syawal apabila ibu bapa dan atuk nenek di kampung sudah lagi tiada. Memang sukar digambarkan…lalu, ia sedikit sebanyak menghilangkan ghairah melampau saya dalam menyambut hari raya.

“Ya, fikir saya…cukuplah…aku semakin tua untuk seronok sakan berhari raya!”

Related Post

Leave a Reply