• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kita serumpun

Byadmin

Jun 15, 2011

Kala berkunjung ke Sumatera Barat tidak berapa lama dahulu, saat berbual di dalam kenderaan yang membawa kami ke Bukit Tinggi, sang pemandu pelancong yang berketurunan Melayu-Minang bertanya, siapakah dari kalangan kami berketurunan Minang (atau Indonesia?). Saya pada awalnya menyatakan, tiada. Malah saya hanya tahu, garis keturunan saya adalah dari silsilah Pattani, Selatan Thailand dan bercampur pula dengan jalur dari India. Namun, jawapan atih saya membuka sesuatu dimensi yang baharu bagi saya. Rupa-rupanya, jalur sebelah opah saya adalah dari garis keturunan Indonesia juga, iaitu dari Kepulauan Sulawesi, tepatnya Melayu-Bugis.

Jika menyebut Melayu-Bugis, apa yang terbayang pada fikiran saya ialah sosok pelaut yang gagah dan berani. Salah seorang keturunan Bugis yang saya kenal, adalah Allahyarham Sasterawan Negara Arena Wati. Beliau adalah pelaut yang kemudiannya banyak menumpahkan pengalamannya dalam karya-karyanya. Rupa-rupanya, ramai orang terkenal di Malaysia dan juga Indonesia berketurunan Bugis. Antaranya mantan Presiden BJ Habibi, mantan Timbalan Presiden Jusuff Kalla dan sebagainya lagi.

Daripada aspek lain, padanlah saya memiliki suatu sifat ‘suka melawan’ jika sesuatu itu saya rasa tidak kena pada diri, rupa-rupanya sifat pelaut memang begitu. Berani dan tegar melawan arus, bertaruh nyawa di lautan menjelajah dunia demi mencapai cita-citanya. Tak sangka, rupa-rupanya dalam urat nadi saya ini ada darah Bugis yang memang dikenali dalam sejarah Melayu sebagai pelaut dan pemberani yang ‘degil’ itu.

Dalam diskusi lebih luas, di Malaysia ini, khususnya di Semenanjung Malaysia, saya rasakan lebih 60 peratus daripada orang Melayu adalah daripada keturunan Indonesia. Mungkin sedikit sahaja di sebelah Utara Semenanjung termasuklah di Pantai Timur yang berasal dari Selatan Thailand, yakni Pattani maksud saya. Selebihnya mungkin campuran, sama ada keturunan Mamak-India ataupun sebagainya.

Tidak percaya? Cubalah anda bertanya kepada rakan-taulan di sekitar anda, dari mana asal-usul ibu bapanya. Pasti ada dari Pulau Jawa, Pulau Kalimantan, Pulau Sulawesi dan lain-lainnya. Bukankah dahulu orang-orang Indonesia bebas ke Tanah Melayu. Mereka datang membawa harapan baru untuk membina kehidupan yang lebih baik di sini. Akhirnya, ramai yang terus kekal beranak-pinak dan menjadi warga negara saat Malaysia menjulang kemerdekaan pada 1957.

Dan tidak pelik juga bagi saya, kenapa satu satu waktu dahulu Presiden Soekarno melalui idea Indonesia Raya (tahun 1962-1966) begitu beriya-iya mahu ‘mengambil Malaysia’ (dengan insiden Ganyang Malaysia), kerana mungkin baginya orang Melayu di Malaysia adalah orang Melayu Indonesia. Namun, mujurlah cubaan itu tidak menjadi, bak kata kenalan saya, seorang warga professional Indonesia yang kini sedang berkhidmat di Malaysia: “Sudah, yang ada ini sekarang pun sudah tidak mampu dijaga!” (begitulah kira-kiranya). Maka, bayangkan jika Malaysia berada di bawah Indonesia…

Walau apa pun, ini bermakna, kita dan Indonesia adalah serumpun. Serumpun dari erti bangsa dan bahasa. Bangsa, kita boleh jadi berketurunan Melayu-Jawa, Melayu-Sunda, Melayu-Minang, Melayu-Bugis, Melayu-Banjar dan sebagainya. Bahasa kita walau pelbagai dialeknya, namun hakikatnya adalah Bahasa Melayu juga.

Saya sempat menelusuri susur galur perkembangan Bahasa Melayu, sama ada di sebelah Indonesia mahu pun di Malaysia. Sungguh pun Indonesia boleh mengangkat bahasa Jawa sebagai bahasa utama, tetapi itu tidak berlaku. Tetap Bahasa Melayu yang digunakan. Malah, bahasa Melayu dari Riau tetap dijadikan sebagai standard bagi seluruh bahasa Melayu di rantau ini.

Namun begitu, senario pasca kemerdekaan, masing-masing Malaysia dan Indonesia seakan-akan sudah tidak memelihara kebersamaan bahasa ini. Indonesia telah mengubah bahasa Melayu kepada Bahasa Indonesia pada tahun 1945 manakala di Malaysia pula, sekejap-sekejap berubah, mula-mula Bahasa Melayu kemudian jadi Bahasa Malaysia dan kemudian kembali kepada Bahasa Melayu dan kini ada ura-ura mahu menukarkannya kepada Bahasa Malaysia lagi sekali. Bukankah dalam Perlembagaan Malaysia, sudah jelas disebut bahawa Bahasa Melayu itu sebagai bahasa rasmi Malaysia?

Bahasa Melayu hakikatnya adalah bahasa untuk rakyat nusantara dan menjadi lingua franca di Malaysia, Indonesia, Brunei, Timor-Leste juga sebahagian rakyat di Singapura, Thailand dan Filipina (walau kini bahasa Melayu semakin terpinggir di sana). Zaman kegemilangan Bahasa Melayu adalah pada era Kesultanan Melaka, Acheh dan juga beberapa kerajaan lama lain. Kala itu, orang Arab pun kena menggunakan Bahasa Melayu untuk berurusan dengan kita. Orang Portugis, Belanda dan sesiapa sahaja. Cuma penjajahan yang akhirnya melunyaikan Bahasa Melayu ini.

Kadang kala, saya suka membaca karya lama kita di Malaysia atau mendengar lagu-lagu lama (misalnya lagu Fatwa Pujangga karya S. Effendi), kerana lenggok-bahasa dan penggunaan istilahnya masih asli seperti di Indonesia. Misalnya, dahulu kita sering terjumpa kalimah ‘toko’, ‘rumah sakit’ dan sebagainya. Kalimah-kalimah ini masih kekal di Indonesia. Di Malaysia, ‘toko buku’ sudah berubah kepada kedai buku dan ‘rumah sakit’ sudah pun menjadi hospital.

Bagi saya, sepatutnya kita di rantau nusantara ini harus saling mengukuhkan, sama ada daripada aspek bangsa dan bahasa. Kita patut cemburu dan rasa iri dengan lestarinya Bahasa Inggeris. Pergilah ke rantau mana pun di Barat, sama ada UK, New Zealand hatta ke Amerika dan Australia (yang hakikatnya duduk di Asia), masih kekal nama bahasa itu dengan Bahasa Inggeris. Mereka tidak pula menukarnya kepada Bahasa Amerika, Bahasa UK dan Bahasa Australia.

Saya juga merasa terkilan, justeru kedua-dua Negara sama ada Malaysia mahu pun Indonesia makin lama makin meminggirkan tulisan Jawi. Jika kita menonton filem yang bernuansakan era 1920-an, jelas Indonesia adalah Negara yang memartabatkan Jawi. Misalnya filem Sang Pencerah. Namun, kala saya mengunjungi Negara ini, hamper tidak berjumpa lagi dengan sebarang papan tanda yang menggunakan tulisan Jawi. Jika di Malaysia, sudah seperti hidup segan mati tidak mau. Masih ada, tapi makin sukar dijumpa (kecuali di sebelah Pantai Timur). Khabarnya, hanya Negara Brunei yang masih melestarikan tulisan Jawi ini di negaranya.

Related Post

Leave a Reply