• Tue. Jan 19th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kota Bharu, Budaya Melayu, Pasar Khadijah dan Nasi Kerabu

Byadmin

Nov 20, 2011

Sudah lama saya ingin masukkan entri ini. Kisahnya, kira-kira pertengahan Julai 2011 lalu, saya dan isteri serta anak bongsu kami, Ilham sempat ke Kota Bharu. Sudah lama tidak mengunjunginya. Kali terakhir adalah pada tahun 2000. Jujurnya, Kota Bharu kian berubah wajah. Paling mengesankan ialah, wajah PUTIK (Pusat Tarbiyyah Islam Kelantan), sebuah institusi milik PAS yang tersergam megah menyambut kehadiran tetamu di Lapangan Terbang Ismail Petra, Kota Bharu yang baru dan gah. Saya terfikir, ia lambang keunggulan PAS yang menerajui Kelantan selama lebih 20 tahun.

Kami disambut wakil Jabatan Pertanian Kelantan (kami ke sana sebenarnya atas urusan UKM sedang menjalankan kajian kesan penggunaan racun serangga terhadap para petani di Kelantan dan isteri saya terlibat sebagai salah seorang penyelidiknya bersama beberapa orang pensyarah UKM yang lain). Barang-barang kami dimasukkan ke dalam van dan kami melanjutkan perjalanan ke hotel.

Baharu sahaja memulakan  perjalanan, bunting berwajah Tuan Guru Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan menghiasi pemandangan. Tertera aktiviti ‘Gi Geteh’ yang bermaksud, program kayuhan basikal yang akan dilancarkan oleh YAB Tuan Guru. Tidak sangka, di sebalik serban dan jubah, Tuan Guru yang amat disayangi di Kelantan Serambi Mekah ini, kerajaannya juga aktif menganjurkan aktiviti fizikal seperti ini – berbasikal untuk beriadah.

Sebelum sampai ke hotel, kami singgah untuk menikmati makan tengahari di sebuah restoran yang memang terkenal dengan keenakan nasi kerabunya. Namanya Restoran Yati Ayam Percik, terletak di pinggir jalan besar menuju pusat bandar.  Sesampai sahaja di restoran itu, mata saya meleret kepada deretan kuih-muih dan lauk-pauk masakan Kelantan yang tersaji di atas meja.

Bak sebuah pameran, kelihatannya amat menyelerakan. Saya tidak mampu mengenali semua jenis makanan itu, namun yang pasti liur saya mulai kecur dengan aroma dan rupa pelbagai jenis masakan yang amat mengiurkan. Ada pulut berinti manis, pulut ikan masin, taik itik, lompat tikam dan sebagainya.

Setelah mengambil tempat duduk, kami memesan hidangan nasi kerabu berlaukkan ayam percik. Amat murah rupanya nasi kerabu di sini. Sepinggan nasi kerabu tanpa tambahan lauk lain, hanya RM1.60; berbanding RM2.50 jika di Kuala Lumpur. Habis menikmati makanan, kami dibawa ke Hotel Royal Guest House, yang terletak betul-betul di pusat bandar Kota Bharu.

Kota Bharu bagi saya adalah lambang sebuah bandar Melayu. Di sini, tulisan jawi didaulatkan seiring tulisan rumi. Setiap papan tanda kedai atau papan iklan besar, mesti menggunakan dua jenis tulisan – rumi dan jawi. Saya tidak nampak lagi keadaan seperti ini di tempat-tempat lain, kecuali di Kota Bharu khasnya dan Kelantan amnya. Benarlah menurut teman sepejabat, Kelantanlah satu-satunya negeri yang memastikan tulisan Jawi berdaulat.

Bagi mengisi masa lapang, kami mengambil kesempatan mengunjungi Pasar Besar Khadijah. Pasar ini amat popular di sini. Ia menempatkan pasar basah dan pasar kering. Di bahagian bawah, dijual sayur-sayuran dan buah-buhan, di bahagian atas penuh dengan makanan kering dan kain serta batik beraneka ragam. Kami jenuh mencari kain yang paling cantik, jika ditawar dengan baik, harganya juga tidaklah semahal di Kuala Lumpur.

Namun, suasana di bahagian atas Pasar Besar Khadijah amat merimaskan. Pengaliran udara amat terbatas. Udara panas mendominasi dan peluh mercik di dahi. Saya teringat, kala di Jakarta dan berada di Komleks Tanah Abang, suasanya amat jauh berbeza. Bangunan besar dan megah itu, dilengkapi pendingin udaranya menyejukkan suasana. Saya mengharapkan, kerajaan Kelantan khususnya Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandaraya Islam, dapat membuat improvisasi ke atas bangunan yang sudah pun menjadi ikon pelancongan di bandar raya Islam ini.

Tidak lama di sini, esoknya hari Ahad, kami harus segera pulang ke Kuala Lumpur. Kenangan yang walau sebentar di sini, amat mengesankan hati. Khususnya kala iringan azan dan bacaan imam masjid yang syahdu, mengejutkan kami untuk solat Subuh. Ini kerana, Masjid Muhammadi Kota Bharu, hanya beberapa puluh meter sahaja dari hotel kediaman kami.

Insya-Allah, jika diizinkan mahu rasanya ke sini lagi. Khususnya mengikuti kuliah mingguan Tuan Guru di Dewan Zulkifli, yang khabarnya melimpah-ruah dengan lautan manusia, di bumi Serendah Sekebun Bunga, Kota Bharu, Serambi Mekah yang mulia.

Related Post

Leave a Reply