• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kucing dalam hidup saya

Byadmin

Nov 10, 2009

Semalam saya telah melakukan satu tindakan nekad. Enam ekor kucing saya masukkan ke dalam kotak. Jam 10 malam, saya ke Ampang. Kemudian saya tinggalkan kucing-kucing itu di SPAC…sebuah pusat jagaan haiwan. Dengan harapan, kucing-kucing saya itu akan selamat di sana.

Sebenarnya, saya amat menyukai kucing. Sejak kecil saya telah begitu rapat dengan kucing. Kucing-kucing pula mudah mesra dengan saya. Bagaikan ada chemistry antara saya dan kucing. Kucing yang liar pun kadang-kala mudah jinak di tangan saya.

(Inilah kira-kiranya rupa Siti saya…)

Ada pun kucing yang saya hantar ke SPAC semalam, ialah Siti dan lima ekor anaknya. Siti adalah kucing kacukan, antara spesies Malaysian cat dan Persian cat. Ciri-ciri jelas Persian-nya boleh dilihat pada bulu-bulunya yang lebat, khasnya pada bahagian ekor dan misai yang melentik panjang.

Semasa menjumpai Siti kira-kira enam tahun lalu, dia amat daif sekali. Saya dan isteri baru pulang dari Pusat Perubatan Ko-Hilal di Taman Melawati. Semasa mahu pulang, saya dapati ada seekor ibu kucing sedang menyusukan anaknya di bawah kereta saya.

Saya cuba menghalaunya. Takut nanti mati dilenyek tayar. Kasihan, kedua-duanya kelihatan begitu tidak bermaya. Perutnya kempis. Bulunya kusam tidak terurus. Saya angkat keduanya dan sisihkan di atas simen di koridor kedai.

Semasa mengangkat Siti itulah saya perasan akan cirri-ciri kecantikan kucing ada padanya. Lalu hati saya tergerak untuk membelanya. Paling pelik, ibunya yang saya lihat daif tadi hilang ghaib dengan tiba-tiba. Mungkin nalurinya tahu, saya akan mengambil anaknya sebagai anak angkat.

Siti menumpang kasih pada Putih, seekor kucing yang datang menumpang di rumah kami di Serendah. Putih pula sabar menyusukan Siti. Akhirnya Siti membesar dan mulai menunjukkan kecantikannya. Orang yang datang ke rumah kami turut memuji akan kecantikan Siti.

Tidak lama kemudian, Siti mulai mengandung. Inilah yang saya tak tahan. Mula-mula beranak, Siti melahirkan 4 ekor anak. Begitulah setiap kali Siti beranak, dia akan melahirkan 4-5 ekor anak. Saya mulai rimas. Letih dan cuak melayannya.

Terkini, seputar sebulan lalu Siti melahirkan anak lagi, lima ekor. Walhal anak-anaknya yang terdahulu masih kecil. Siti mulai mengandung sedangkan anaknya sedang menyusu. Siapa yang tak bengang…! Gatal betul si Siti ni!!!

Saya terpaksa nekad. Di rumah sudah ada sembilan ekor kucing. Wangian najisnya bagaikan aroma pagi yang akan mematikan mood ceria kami sekeluarga. Akhirnya saya terpaksa menghantar Siti dan lima ekor anak kecilnya ke tempat lain.

Maka, itulah kisah Siti dalam hidup saya…!

Nota: Catatan ini diambil daripada blog pertama saya http://u-hah.blogspot.com yang ditulis pada 7 Okt 2008.

Related Post

Leave a Reply