• Wed. Jan 20th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kucing-kucingku…

Byadmin

May 2, 2010

img_0067Entah kenapa, saya amat meminati kucing. Sedari kecil, saya menjadikan kucing teman setia. Dahulu, kucing saya bernama Beleh. Memang beleh sungguh kucing saya itu…kurus melidi sahaja. Oh ya, ‘beleh’ bagi orang sebelah utara bermakna ‘tidak bermaya, kurus dan tidak cergas.’ Beleh ini punyalah setia kepada saya. Sayangnya, setiap kali dia beranak, maka anaknya tak pernah hidup. Semuanya dimakan oleh kucing jantan. Sedar-sedar sudah tinggal kepala sahaja.

“Aksi Muslih…minta dikeluarkan dari sangkarnya…”

Semasa saya memasuki sekolah berasrama di Taiping, Beleh seakan merajuk. Akhirnya, dia mati dilanggar kereta di jalan raya. Walhal kata arwah tok cerut saya, Beleh mana suka pergi ke jalan raya. Mungkin sudah ajal agaknya. Tapi, kata oranglah kan, kucing memang ada intuisi (gerak hati) yang kuat dengan tuannya. Kucing juga mudah makan hati bila tuannya seakan-akan sudah tidak memperdulikannya lagi. Saya tak pastilah, adakah Beleh sengaja ‘membawa dirinya’ kerana merasakan saya sudah tidak memperdulikannya lagi.

Tapi, itu semua cerita lama. Sejak kematian Beleh, sudah banyak ekor kucing yang saya pelihara. Antaranya bernamaimg_0072 Bu, Enggerebu, Mawi, Putih, Shaklee, Shaklee Jr, Man-man, Amin, Aman, Amal, Siti, Soleh, Solehah, Muslih dan Musliha. Di antara kucing jantan dan betina, yang betina lebih setia sebenarnya. Memang waktu musim mengawan, si kucing jantan akan lebih menarik perhatian kucing-kucing betina saya; tetapi selepas dari itu, kucing betina saya akan kembali manja dengan saya.

“Musliha mempamerkan lidahnya…”

Namun, saya paling letih apabila kucing-kucing saya ini menghadiahkan saya ‘seketul dua ketul atau selonggok dua’ najis mereka di atas sofa. Memang ‘terbakar’ saya dibuatnya. Manakala bagi yang jantan, bila sudah ‘dewasa’ maka mulalah membuat tanda kononnya mereka berkuasa di kawasan berkenaan (walhal itukan rumah saya!). Maka, pantang lepa, mulalah ‘creet!’…sudah dipancutnya. Lepas itu, untuk memastikan kuku mereka tajam, maka sofa sayalah menjadi mangsanya. Sabar sahajalah…sudah sayang, tapi dalam sayang, saya ‘pulas’ jug telinga kucing-kucing saya.

Semasa ke Kuching Sarawak baru-baru ni, saya mendapat banyak informasi mengenai kucing semasa melawat Muzium Kucing. Baharulah saya sedar, rupa-rupanya pemimpin dunia pun ramai yang memiliki kucing sebagai teman istimewa mereka. Misalnya, Sir Winston Churchill sendiri tak salah saya memiliki kucing yang sentiasa menemaninya, termasuk dalam mesyuarat peperangan. Di kalangan sahabat nabi sendiri, Abu Hurairah r.a sendiri terkenal sebagai ‘bapa kucing’ kerana kasih-sayangnya yang begitu mendalam kepada anak-anak kucing.

Kini, di rumah saya ada dua ekor kucing comel yang saya ambil semasa menginap di Home Stay Felda Trolak di Slim River. Masa saya mengambilnya, isteri saya bising-bising. Maklumlah, rupanya amat naif sekali. Tapi, saya nekad mengambilnya juga. Alhamdulillah, kini kedua-duanya sihat dan ceria…

Related Post

Leave a Reply