• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kuliah Pagi Jumaat

Byadmin

Aug 7, 2009

Pagi ini di HQ, macam selalu ada Kuliah Pagi Jumaat. Mari kita berkongsi ilmu bersama-sama al-Fadhil Ustaz Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, mantan pensyarah USIM.

Manusia khususnya orang Islam kena ada pemikiran yang boleh membawa kebaikan. Maksudnya, corak berfikir. Ada tiga corak pemikiran: Pertama, pemikiran yang sistemik. Orang yang berpemikiran sistemik, dia dapat olah kepayahan jadi sebaliknya. Misalnya, dua orang manusia masuk penjara. Seorang melihat keluar dan nampak tanah, dia teringat kat anak isteri dan meraung kepada warder supaya melepaskannya. Seorang lagi lihat keluar tapi nampak langit, cantik, biru dan berawan, maka dia rasa kebebasan dan di situ datang kekuatan. Maknanya, pemikiran sistemik mengajar manusia jadi kuat walau berhadapan masalah. Ada manusia seperti ini, misalnya ulama yang dipenjarakan. Mereka mengubah penjara menjadi ruang berkarya, ambil sahaja Buya Hamka sehingga terhasilnya Tafsir al-Azhar dan Sayid Qutb sehingga lahirnya Tafsir Fi Zilal al-Quran.

Nombor dua, pemikiran yang mati. Yang ini payah, dia mudah menyerah kalah. Datang sedikit masalah, belum apa-apa sudah menyerah kalah. Ini adik beradik golongan Jabariyyah yang sudah pupus. Tapi lagi bahaya corak pemikiran ketiga, iaitu Pemikiran yang Mematikan. Ini kerana, orang yang berpemikiran seperti ini, dia akan mematikan pemikiran orang lain. Misalnya, jika seseorang terfikir mahu melakukan sesuatu inovasi, maka idea itu segera dimatikan, tidak diberikan galakan bahkan dianggap bodoh, tidak praktikal dan sebagainya. Ini pemikiran paling bahaya kerana ia  membunuh kemahuan dan kemajuan orang lain. Sebaliknya pemikiran sistemik boleh mendorong perubahan positif kepada orang lain, yang negatif menjadi positif.

Kata ustaz lagi, orang yang berjaya ialah mereka yang suka berfikir di luar kebiasaan, melanggar sunnah alam. Sunnah yang luar biasa. Kata orang zaman ini, berfikir di luar kotak. Misalnya, jika mahu ke KL maka kita boleh jalan kaki, tapi nak cepat lagi naik basikal, nak cepat lagi motokar, cepat lagi naik kapal terbang dan jika nak cepat lagi tumpang kapal terbang peribadi orang. Nampakkan? Maknanya, orang seperti ini selalu berfikir bagaimana untuk sampai cepat ke KL di luar kebiasaan orang lain.

Orang yang hebat juga, ialah mereka yang dapat menyusun kerja yang banyak sehingga habis dikerjakan; bukan orang yang banyak kerja kerana semuanya tak habis dibereskan. Ada bezakan kat sini? Ustaz menceritakan suatu kisah, bagaimana seorang doktor merawat pesakitnya seorang pengarah. Semasa proses terapi, si doktor banyak menerima panggilan masuk menerusi telefon di pejabatnya. Si doktor segera mengangkat telefon dan jawapan yang diberikan ialah: “Ya, saya buat!” Kemudian, si doktor pun terus melakukan apa yang dipinta hanya dalam masa beberapa minit. Kemudian dia datang meneruskan sesi terapinya. Begitulah, beberapa kali sehingga banyak kali juga sesi terapi itu terganggu. Namun, si doktor tetap melayan dengan jawapan dan tindakan yang sama.

Usai terapi, pengarah berkenaan menyatakan: “Saya sudah mendapat jawapan atau ramuan berguna bagi membantu menyelesaikan masalah saya. Iaitu, setiap pekerjaan yang diberi atau kita dapati, maka selesaikan dengan segera. Jangan bertangguh. Tetapi, bolehkah saya melihat pejabat tuan doktor pula?” (Sesi terapi itu dilakukan di bilik lain)

Kata doktor: “Dipersilakan.”

Apabila sampai di pejabat doktor itu, pengarah berkenaan mendapati ada sebuah meja besar di dalamnya; namun di atas meja itu bersih tanpa ada sehelai kertas pun. Yakinlah pengarah itu bahawa sikap tidak bertangguh memang menghasilkan kecekapan. Maka, dia pun pulang dengan hasil terapi jiwa yang sangat-sangat meyakinkan.

Dalam konteks kerja jangan bertangguh ini, Abdullah bin Umar r.a. pernah menerima wasiat secara langsung khusus untuk dirinya, kata nabi: “Jadilah kamu seperti orang asing atau seperti orang yang bermusafir.” Abdullah bin Umar r.a. merumuskan bahawa, apa yang dimaksudkan dengan pesanan Nabi Muhammad SAW itu ialah: ‘Jangan membazir masa!” Ini kerana, seseorang yang asing dalam sebuah negara yang baharu diziarahinya, pastilah tidak boleh hidup bersantai, mesti berusaha keras untuk survive. begitu juga bagi seorang yang bermusafir, mana boleh berelaks-relaks sehinggalah dia tiba ke destinasinya!

Nota: Al-Fadhil Ustaz Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri adalah lulusan BA. Universiti Madinah, MA. Universiti Ilmu-ilmu Islam, Syria dan Ph.D Universiti Sains Malaysia (USM). Merupakan Ahli Majlis Fatwa bagi Negeri Sembilan Darul Khusus dan juga Ahli Majlis Fatwa Negeri Terengganu. Mantan Pensyarah Kanan USIM dan kini memberikan ilmu dan menulis sepenuh masa.

Related Post

Leave a Reply