• Fri. Jan 22nd, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Kuliah Zakat

Byadmin

Jun 26, 2009

Berkerja di sektor agama, memang menyeronokkan. Nak-nak pula, macam saya yang memang tugas asasinya dakwah. Dakwah pula lebih terfokus kepada zakat. Zakat pula ialah rukun Islam. Hui…besar sekali faedahnya, baik kepada saya baik kepada umat. Syukur alhamdulillah, saya ditempatkan di institusi zakat seperti LZS ini. Itulah agaknya hikmah, kenapa sejak habis belajar di UKM, saya sukar kekal di sesuatu tempat kerja. Rupa-rupanya, Allah SWT sudah siapkan tempat terbaik buat saya, iaitu di Lembaga Zakat Selangor.

Antara tugas saya di LZS, ialah menyampaikan kuliah maghrib mengenai fikah zakat. Banyak masjid dan surau yang saya kunjungi. Rata-ratanya, umat Islam di mana-mana pun, masih belum mempunyai tasawwur yang jelas mengenai zakat. Mereka mengetahui bahawa zakat itu wajib, kerana zakat itu rukun Islam; tetapi sekadar itu sahajalah. Masih ramai yang menganggap diri mereka tidak tertakluk kepada zakat, bahkan ramai beranggapan mereka sudah terlepas daripada hukum zakat, hanya dengan menunaikan zakat fitrah.

Ramai yang tidak menyedari, zakat itu sendiri terbahagi dua. Pertama, zakat fitrah dan kedua zakat harta. Zakat fitrah dikenakan kepada semua orang Islam, termasuklah orang miskin. Asal sahaja, orang itu memiliki makanan daripada malam hari raya sehinggalah ke hari esoknya. Jumlahnya pun tidak banyak, hanya sekadar harga 2.7kg makanan asasi atau disebut segantang Baghdad. Jika di Malaysia, tidak ada yang mencecah RM10…ada tak de pun sekitar RM4.50 – RM7.50 seorang. Jika sebuah keluarga ada lima orang, baru mencecah kira-kira RM30.00…isk…memadaikah zakat itu untuk dibanggakan?

Sebaliknya, zakat harta dikenakan kepada orang yang kaya. Jika ramai orang enggan berzakat, maka itu tandanya mereka ramai yang miskin. Tapi, hakikatnya di hadapan mata kita, ramai yang dilihat kaya. Bagaimana tu?

Itulah sebabnya kita menyatakan, kena berzakat. Ini kerana, kaya pada sisi Islam ialah orang yang harta milik sempurnanya, mencapai paras nisab dan kekal selama setahun dalam miliknya. Maka, itulah orang kaya. Maka, orang kaya wajib berkongsi kekayaan dengan orang lain yang memerlukan. Maka, inilah dia mauduk yang perlu dibincangkan, iaitu zakat harta yang kita mencipta kekayaan dengannya.

Anda jangan terkejut ya, saya pernah berjumpa seorang anak gadis yang usianya sudah menjangkau 25 tahun, tetapi dengan tulus mengakui dia tidak tahu apa itu zakat! Aduh…panas juga cuping telinga saya mendengarnya…tapi…sabar….jika saya marah pun, apa yang dapat. Lalu saya menerangkan kepada gadis berkenaan, apa itu zakat dan kedudukan zakat di sisi Islam.

Kesimpulan awalnya, tugas sebagai pendakwah memang memberikan aruhan besar lagi signifikan kepada umat Islam. Maka, marilah sama-sama kita berdakwah…walaupun hanya dengan sebaris aksara!

p/s: Saya kena pergi ke Morib…ada kursus Audit pulak…

Related Post

Leave a Reply