• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Lelaki berhias emas, dapat dua kelebihan

Byadmin

Feb 26, 2011

Iya, ini kisah benar. Saya tidak menipu. Ia kisah lelaki (yang beragama Islamlah…) yang memakai perhiasan daripada emas. Anekdot ini seorang teman saya yang nukilkan. Ia cukup menarik dan sering saya ungkapkan kembali kala menyampaikan kuliah zakat, di mana-mana.

Soalannya berbunyi begini. Emas yang dipakai itu wajib dizakatkan. Jadi, bagaimana pula hukumnya, jika seorang lelaki yang memakai emas. Apakah wajib atau tidak dia menunaikan zakat emas perhiasannya apabila semua syaratnya sudah lengkap?

Maka, berdengung-dengunglah kadang-kala bunyi suara audiens atau jemaah. Selalunya, akan ada dua kelompok jawapan. Pertama, mereka mengatakan tidak wajib bagi si lelaki itu berzakat. Alasannya, kerana emas itu adalah perhiasan yang diharamkan kepada lelaki. Mereka beriya-iya mempertahankan jawapan ini, kendati pun saya mengulang-ulang pertanyaan adakah mereka sudah mantap?!

Manakala kelompok kedua, mereka ‘rasa-rasa’ macam wajib berzakat. Alasannya, kerana emas itu memang wajib dizakatkan.

Saya kemudiannya akan menyatakan begini: “Tuan-tuan dan puan-puan, ini saya nak beri ‘fatwa’ baru ni. Sila pegang dan faham sungguh-sungguh. Jangan sampai ada yang salah dengar dan salah faham.”

Maka, tertegunlah para pendengar. Memasing memasang perhatian. Yalah, apalah agaknya yang bakal saya ‘fatwa’kan…

Saya menyambung: “Mana-mana lelaki Islam yang memakai emas sebagai perhiasannya, tidak kiralah rantai atau gelang atau apa sahaja, maka apabila perhiasan itu sudah melebihi ‘uruf (adat kebiasaan setempat), maka wajiblah bagi lelaki berkenaan mengeluarkan zakat.”

“Ustaz, apa pasal pula wajib ustaz, bukankah dia haram memakainya?” Celah salah seorang pendengar. Saya tekerisin. Tak sabar nampaknya beliau.

“Iya, memang hukum memakai perhiasan emas bagi laki-laki muslim adalah haram. Kecuali atas sebab-sebab tertentu yang diizinkan syarak.” Jeda seketika.

“Tetapi, dalam kes ini, kewajipan zakat itu masih lagi tertakluk ke atas diri lelaki yang berkenaan. Ini kerana, syarat wajib zakat ialah Islam dan oleh kerana lelaki itu Islam, dia masih wajib menzakatkannya.

“Maka, suka saya nyatakan, apabila dia sudah wajib berzakat dan dia pun berzakat, maka layaklah baginya beroleh pahala. Ini kerana, definisi bagi amalan fardu atau wajib itu, apabila dilakukan maka beroleh pahala bagi si pelakunya dan berdosa akan dia jika ditinggalkannya dengan sengaja. Maka, berpahalah akan lelaki berkenaan…”

Tetapi, saya tidak membiar lama dan menambah lagi…

“Tuan-tuan dan puan-puan, bukan sahaja si lelaki itu memperolehi pahala kerana telah menunaikan zakt; tetapi dia juga akan mendapat kelebihan di akhirat kelak.”

Para audiens kian tegang menanti kesudahan…

“Insya-Allah, pada saat orang lain berada dalam kegelapan di akhirat, si lelaki berkenaan pula akan mendapat syafaat dan kurniaan daripada Allah, iaitu dia diberikan kelebihan dengan duduk di tempat yang dipenuhi cahaya yang terang benderang…sebabya dia ketika itu mendapat cahaya daripada api kerana dia sendiri pun sedang dibakar di dalam api neraka!”

Wallahua’lam…

Related Post

Leave a Reply