• Sun. Jan 24th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Luluskah pakaian muslimah sekarang?

Byadmin

Apr 19, 2011

Pakaian fungsi umumnya ada dua. Pertama, melindungi tubuh si pemakai sama ada aurat mahu pun kecelaannya. Kedua, menjadi perhiasan di dunia supaya menjadi mudah mendekati manusia lain atas apa sahaja niat dan matlamatnya.

Kenapakah saya mempertikaikan sama ada sudah lulus atau belum pakaian muslimah sekarang ini? Ya, ini kerana mutakhir ini, andai kita meneropong kepada keadaan muslimah di sekitar kita, maka corak berpakaian mereka sudah memeningkan kepala. Benar mereka bertudung, tetapi tudung itu gagal mencerminkan identity sebenar ‘kemuslimahan’ mereka. Tudung sudah menjadi suatu ‘trend’ yang dipakain sebagai fesyen. Tudung yang gagal melindungi aurat si pemakai walaupun zahirnya seakan sudah melindungi.

Firman Allah: “Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya.” (an-Nur:31). Dan Nabi SAW menerangkan lagi: “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.”( Hadis riwayat Abu Dawud)

At-Thabari di dalam tafsirnya menegaskan, perhiasan yang biasa dilihat manusia ialah wajah dan dua telapak tangan mereka. Maka, muslimah yang salihah faham tujuan sebenar menyarungkan pakaian ke tubuh mereka.

Tubuh muslimah, berdasarkan ayat di atas dan al-hadis, adalah aurat keseluruhannya kecuali dua telapak tangan (termasuklah belakangnya) dan juga muka mereka. Mudah cakap, seseorang muslimah wajib melindungi setiap inci batang tubuh mereka, kecuali muka dan tangan setakat yang diizinkan.

Kenapalah Islam begitu prihatin dengan tubuh wanita ini? Tidak lain dan tidak bukan, kerana wanita itu adalah perhiasan dunia yang amat mudah menarik perhatian sesiapa sahaja. Jangankan seorang lelaki mudah jatuh hati dengan kecantikan wanita, para wanita juga boleh tertarik dengan kecantikan wanita lain.

Manakala, ‘perhiasan hidup’ ini pula amat ‘fragile’. Jika tidak dijaga ia mudah relai, mudah rosak dan merosakkan! Maka, Islam pun datang membawa solusi. Antaranya, tutuplah perhiasan itu agar ia tidak mendatangkan fitnah dan kerosakan kepada sesiapa pun. Misalnya Nabi SAW diperintahkan Allah menerusi ayat-Nya: “Wahai Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, ‘Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya.” (al-Ahzab:59).

Maksud menghulurkan jilbab ini adalah, melabuhkan pakaian mereka (sama ada jubah atau apa sahaja yang sesuai) hingga menghalang kelihatannya bentuk tubuh wanita. Maka, cubalah kita perhatikan para muslimah hari ini, kadangkala mereka bertudung tetapi baju mereka ketat, seluar mereka sendat, hingga kita yang melihat terasa nafas menjadi sendat. Inilah yang dimaksudkan, adakah lulus corak pakaian mereka? Jawapannya pastilah ‘FAIL.’

Begitulah juga dalam aspek bertudung. Tudung sepatutnya bukan sekadar ‘bubuh’ sahaja, main sarung sahaja. Tudung yang dikehendaki di sisi agama, ada kaedahnya. Allah SWT menegaskan: “Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka” (an-Nur :31).

Maknanya, kain tudung yang dipakai perlu menutupi dada mereka. Tujuannya, supaya dapat menutup ‘perhiasan’ yang diciptakan Allah SWT khusus buat wanita, iaitu payudara mereka. Bukankah perhiasan ini yang sering menjadi titik tumpuan lelaki yang ada penyakit dalam hatinya?

Tetapi, kecenderungan mengenakan tudung sekadar berhias akhirnya mendatangkan ‘bala’ kepada kaum lelaki. Berapa ramai orang lelaki mengeluh dalam hatinya tatkala wanita di hadapannya mengenakan tudung yang singkat, sehingga ‘terjojol’ perhiasan di dada mereka. Lebih malang lagi apabila si wanita mengenakan baju yang ketat dan sendat. Lebih malang lagi (dua kali ganda malang) bila leher baju itu pula lebar macam kepala ular sawa. Lebih dan terlebih malang bagi lelaki, bila wanita itu dengan sengaja mempamerkan belahan dada mereka!

Inilah yang dinamakan ‘FAIL’ lagi sekali. Tudung sifatnya menudung bukannya mendedah. Jika tudung itu tidak menudung, maka apakah namanya tudung seperti itu?

Kesimpulannya, kembalilah kepada kaedah dan tatacara berpakaian yang dikehendaki Islam. Alangkah indahnya hidup kita, jika kita semuanya saling menjaga aurat dan pakaian kita. Tidak timbullah istilah mata kerangjang lagi, kerana tiada ruang bagi si lelaki ‘mengkeranjangkan’ matanya. Tiada lagi istilah ‘gangguan seksual’ di tempat kerja, kerana si lelaki sudah tak ada peluang ‘menjamu mata.’ Apa yang ada ialah kedamaian, ketenangan dan ketenteraman. Si wanita aman, si lelaki lagi aman. Baharulah segalanya aman, insya-Allah.

Related Post

Leave a Reply