• Sun. Apr 11th, 2021

HAMIZUL ABDUL HAMID

Aku Budak Lenggong

Makngah Limah kembali ke rahmatullah

Byadmin

Oct 16, 2010

Foto kenangan: Dari kanan allahyarham Tok Long Munah, allahyarham Makngah Limah dan Opah. Mereka adalah tiga opah pingitan tidak lama dahulu. Kini, tinggal opah terus meniti hari-harinya…

Makngah Limah adalah anak saudara pada arwah tok saya. Usianya saya anggarkan dalam julat 70-80 tahun. Pada hari raya baru-baru ini, saya menziarahinya di rumah anak perempuannya di Lenggong. Makngah Limah yang selalunya ceria menyambut kedatangan anak-anak dan cucu-cucu saudaranya, saat itu terlantar di tengah rumah. Dia sakit dan uzur. Kasihan saya melihatnya.

Makngah Limah adalah model seorang isteri yang setia. Sangat setia sebenarnya. Saat arwah Pakngah Wahin, suaminya masih ada, saya yang tinggal berselebahan rumahnya menyaksikan sendiri kesabarannya menanggulangi kehidupan bersama-sama suaminya itu.

Pakngah Wahin adalah manusia yang disukai oleh ramai orang. Sering saya melihat, rumahnya tidak sepi dikunjungi orang. Ada sahaja orang yang mahu bertandang. Ada yang mahu meminta pandangan, belajar ilmu agama, belajar ilmu perubatan Islam dan tradisional dan meminta tolong apa-apa yang patut. Tak kurang juga yang datang sekadar bersembang mengisi masa lapang.

Mereka datang tak tentu masa. Bila mereka datang, Makngah Limah akan menyediakan menu utama, iaitu kopi ‘o’ hitam yang manis, sepiring biskut empat segi atau sepiring biskut lutut. Bila yang datang itu atas keperluan dan hajat mahu berubat, maka Makngah Limah akan mencari apa-apa ramuan yang perlu. Saya melihat, Makngah Limah akan menanggung cangkul dan mencari akar lalang, mencari dedaunan atau apa-apa sahaja yang diperlukan.

Pakngah Wahin selalu uzur. Di kakinya, tepatnya di buku lalinya ada bonggol bulat yang kian membesar. Pakngah Wahin mengidap penyakit gout. Maka, Makngah Limah melayannya dengan sabar. Sepatah pun saya tak pernah mendengar atau terdengar dia merungut atau mengomel.

Dalam usia tua mereka, Makngah Limah sabar menuntun suaminya berwuduk. Sesabar dirinya mengikut kala suaminya ke bukit menoreh getah. Bila Makngah Limah solat, saya suka mendengar suaranya berdesis membaca ayat demi ayat. Pada wajahnya, ada tanda di dahinya. Tanda sujud yang nyata. Memang Makngah Limah taat solat seperti mana dia taat akan suaminya.

Sering saya membawa sepinggan nasi dari rumah opah atau terus datang dan makan bersama Makngah Limah dan Pakngah Wahin di rumah mereka. Mereka hanya berdua. Anak-anak, duduk berasingan. Saya suka sambal belacan Makngah Limah. Jelas terasa pedas dan belacannya.

Bila Pakngah Wahin meninggal dunia, Makngah Limah tidak betah tinggal sendiri. Dihimpit usia tua, sakit-sakit dan kian uzur, maka Makngah Limah diam bersama anaknya. Bila pulang ke kampung, sayu melihat pintu rumahnya yang terkatup rapi. Tiada lagi wajah Pakngah Wahin yang setia menyapa di jendela dengan secangkir kopi hitam, tiada juga Makngah Limah yang tersenyum simpul memberi salam.

Kini, mereka berdua sudah gemulah. Kesayuan saya terhadap memori silam pasti tambah membekas. Pintu rumah Makngah Limah yang satu masa dahulu meriah dengan kunjungan ramai orang, kini menjadi sunyi sesunyi-sunyinya.

Saya tidak pasti, adakah pintu kayu itu akan terkatup selamanya, kerana tiada lagi Makngah Limah yang akan membukanya. Semoga Makngah Limah bahagia. Dia akan bertemu suaminya di alam barzakh. Dalam solat, saya terbayangkan itu. Dalam doa, saya mendoakan mereka.

“Ya Tuhan kami, sejahterakanlah Makngah Limah dan Pakngah Wahin…juga seluruh mereka yang terrcinta…” Amin.

Nota: Abah menelefon pagi tadi, kira-kira jam 9 pagi mengkhabari pemergian Makngah Limah. Dari kejauhan, saya hadiahkan sebuah al-Fatihah.

Related Post

Leave a Reply